Pages

Followers

Sunday, April 15

Abang Si Pengemop Lantai

Bismillahi Arrahman Arrahim
Hari itu sungguh terik. Panas seakan tak kenal erti simpati. Peluhku tidak henti-henti membasahi baju Nike bundle yang baru ku beli. ‘Oh, panasnya!’ teriak aku, bergema hanya dalam hati. Tak mampu aku menjerit kerana tekak terasa kering amat perit. Aku meninjau ke seberang jalan. Kelihatan kelibat gerai minuman di situ. Sedikit gembira, tapi melihatkan duit poket yang amat sikit, niat ku terbatal. ‘Ah, lain kali jelah aku minum.’

Matahari semakin galak meningkatkan suhu sekeliling dengan gembira. Sedikit pening, kepala ku pusing. Dengan tidak semena-mena pergerakan aku seperti dikawal pemain boneka halimunan, mengarah jasadku lurus ke gerai minuman tadi. Jalan raya yang tadinya milik pemandu kenderaan, kini milik ku. Pantas sahaja aku melintas tanpa perlu menunggu tiang bermata tiga memancarkan sinar merah.

Tangan ku pula tiba-tiba bergerak, meraba-raba poket bahagian belakang. Aku cuba menghentikannya, tapi tak mampu. Terpaksa jua aku menuruti. Sekeping not berwarna merah terkeluar. Not merah itu kini bertukar milik. Aku dihadiahkan sekeping not hijau, 3 keping not biru dan kepingan-kepingan besi yang tiada ku pasti nilainya. Melihatkan sebotol minuman Pulpy di tangan, aku cuba membukanya. Dan, ‘Ah, leganya tekak aku rasa.’

Sinaran kebahagian jelas memancar-mancar dari setiap sudut ruang roma di muka ku. Aku ternyata berpuas hati. Minum lagi. Dan lagi dan lagi. ‘Eh, dah habis?’ aku terkesima berseorangan. Botol itu ku buang lurus ke dalan tong sampah kitar semula. Mencari teduhan, aku lekas duduk di bangku yang berdekatan. Tekak kembali berasa kering. Aku mengosok-gosok lembut tekak ku merayu agar bertahan sedikit lagi.

Aku mengeluarkan dompet ku dan menilai isi di dalamnya. ‘Alamak. Duit dah nak habis lah.’ Runsing. Wang hampir ketandusan. Tekanan kewangan betul-betul menguji tahap kewarasan ku ketika itu. Kalau aku tidak beragama, pasti saja aku sudah mengusha mak cik yang berbeg tangan Labucci. Lalu, memanaskan badan untuk meragut begnya. Alhamdulillah. Aku dilahirkan sebagai seorang muslim. :)

Oh, ya. Terlupa aku nak cerita. Sebenarnya, aku sedang menunggu seorang sahabat ku yang dari tadi sibuk membeli-belah. Jangan risau. Aku tak keluar dengan sahabat yang berlainan jantina ya. Mungkin belum tiba masanya lagi. Wahaha. Kebosanan menunggu, aku lantas merayau-rayau sekeliling bandar. Dan kini aku sedang terdesak untuk segera tiba ke kolej. “Woi, cepat lah sikit beli barang!” Uhuk.. Uhuk.. Uhuk.. Ergghh.. Sakitnya tekak~

Ketandusan wang membenarkan aku hanya untuk duduk diam-diam di bangku itu. Memerhati sekeliling, baharu aku perasan aku sedang duduk di hadapan premis KFC. ‘Woah! Sedapnya ayam!” Aku terliur. Tapi hanya bauan dan aroma sahaja yang dapat memuaskan nafsu kelaparan tahap ke lapan ku. Sedikit mengeluh tapi tak mengapalah. Aku terus berada di situ menanggung kebosanan yang tidak langsung melampau.

Dalam kesibukan ku memerhati indahnya suasana di dalam KFC, hadir satu jasad membawa baldi dan mop, berjalan gah ke pintu utama premis berkenaan. Dia lalu mengambil sekeping papan (?) bertulis ‘Lantai Licin’ dan meletaknya di situ. Sesudah meregangkan otot, dia terus mencapai batang mop yang dibawa. Matanya seakan bersinar. Dia mencelup mop ke dalam baldi dan pantas sahaja mengemop lantai.

Melihatkan fon telinga yang terpasang di kedua belah telinganya, aku yakin dia sedang mendengar lagu. Gerak-gerinya seperti seorang penari yang sedang asyik menghiburkan penonton dan menambat hati juri di atas pentas tarian. Berpusing-pusing. Moon walk. Dan kedengaran suara kecil menyanyi. Selang beberapa minit kemudian, selesai. Tugasnya sudah selesai. Lantai itu ternyata kelihatan amat lah bersinar. Dia tersenyum sedikit bangga. Dan entah kenapa, aku pun turut berbangga.

Namun, kegembiraan itu tidah bertahan lama. Tiba-tiba sahaja, wajah nya berubah masam. Jelas, dia amat geram. Beberapa remaja belasan tahun melalui lantai yang baru di mop. Disebabkan lantai belum seratus peratus kering, ia kembali menjadi kotor. Tekanan memainkan peranannya. Wajah abang pengemop lantai bertukar agresif. Dia mencapai mop dan mengemop kawasan itu kembali. Aku kagum.

Kemudian, lalu lagi beberapa pelanggan yang kurang budiman. Aku hanya melihat. Abang pengemop lantai sekali lagi melaksanakan tugasnya. Dan lalu lagi pelanggan yang lain. Abang itu tidak berputus asa. Mulut di kunci, tenaga pula di kerah dengan lebih hebat. Gerakan mop bertambah pantas. Sedihnya, masih ada pelanggan yang agaknya kurang mahir menghormati, melalui kawasan tersebut.

Abang pengemop lantai menukar strategi. Tangan kanannya erat memegang batang mop manakala tangan kirinya memegang papan ‘Lantai Licin’. Dia meneruskan usahanya bagi memastikan sinaran lantai itu kembali gemilang. Akhirnya, dia berjaya. Setiap kali ada yang ingin lalu, dia menunjukkan papan tanda itu dan menyuruh mereka keluar atau masuk melalui pintu masuk kedua. Mungkin strateginya, kini berjaya.

Hadir pula satu suara dari belakang. Satu suara yang agak selalu aku dengari. Oh, sahabat ku sudah selesai membeli-belah. Kami pun segera pulang kerana hari telah lewat petang. Aku sempat menoleh ke belakang. Abang pengemop lantai itu masih mengemop. Mungkin masih ada kelompok manusia yang tanpa segan-silu melalui kawasan tersebut. Aku tersenyum melihat kesungguhannya, ‘Semoga kau berjaya, saudaraku.’

~ Sebuah analogi yang dikarang semula hasil perkongsian cerita seorang akh. Lantai itu ibarat hati. Setiap kali dibersihkan, pasti ada anasir-anasir yang mengotori. Tidak pula kita harus berputus asa kerana hati itu seharusnya terjaga. Rancanglah strategi mu agar hati itu sentiasa kembali memberikan sinaran nya yang gemilang terang. Sekian.

Saturday, April 14

Kaching! Kaching!

Bismilillah Arrahman Arrahim

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.

Bila berbicara tentang harta, pasti semua ingat dunia. Materialistik, dan individualistik jadi pegangan. Erat tangan mu tak mahu lepaskan. Hoi, ingat harta itu bukan milik Tuhan? Kau hanya pinjam, guna tak mahu ucap kesyukuran. Belanja, belanja dan belanja hingga hati masuk syaitan. Lupa cerita akhirat, dunia kau tukar jadi kiblat. Cubalah kau guna untuk jalan kebaikan. Pasti dapat semula lebih dari yang kau belanjakan.

Harta itu sering dibazirkan. Tanpa perlu ada rasa jemu, nafsu itu terus-menerus mengasak jiwa-jiwa manusia untuk menghabiskan harta mereka tanpa perlu ada fakta yang jelas. Bazirkan, bazirkan, bazirkan. Terus jangan berhenti. Hingga akhir nanti tiada apa lagi untuk kau belanjakan. Di saat itu pasti sang akal ligat menghasilkan rotasi, mengerah setiap inci kudrat untuk menjana manifestasi yang baru. “Ah, bagaimana perlu lagi untuk aku mengumpul harta untuk dibelanja?”

Dan masa akan terus beredar dan berlalu tanpa mengenal erti tunggu. Harta yang kau peroleh dari harta itu akhirnya bertukar menjadi longgokan sampah yang tiada lagi digunakan, tiada lagi dibanggakan dan tiada lagi menjadi bahan tunjukkan. Ketika itu, pasti timbul bisikan terngiang-ngiang menyeru, “Apa lagi yang ditunggu? Pergi lah beli yang baru.” Hati menjadi punca jasad melaksana tuntutan nafsu durjana. Beli, beli dan beli. Mungkin akan tiba satu ketika nanti pabila dikau tertanya, “Mutlakkah harta ini milik ku?”

Jawapannya, “Tidak!”

Harta itu milik takdir tika kita masih hidup. Mungkin berlaku inflasi. Mungkin berlaku tragedi. Mungkin berlaku judi. Takdir itu amat misteri. Tiada lagi yang mampu merungkai, mengorek rahsia takdir Ilahi. Apa yang dirancang tak semestinya akan berjaya. Kerana Allah jualah sebaik-baik perancang. Jadi, harta itu bukan mutlak milik kita kerana ia samada lesap atau bertambah dalam kadar sekelip mata.

Harta itu milik pewaris tika tiba saat kematian. Pasti berlaku pembahagian atau berlaku perbalahan. Harta tinggalan menjadi rebutan. Jika tak dapat, nyawa dipertaruhkan. Kerana harta itu dipandang tinggi nilainya berbanding nyawa yang tiada harga. Tapi tidak kisahlah. Mana pula bahagian kita? Kita yang menternak harta, mereka pula sibuk bermandi peluh merebutnya. Apa boleh buat? Harta itu belum lagi mutlak milik kita.

Harta itu hanya jadi milik mutlak kita pabila dibelanjakan di jalan yang haq. Di saat harta itu terbelanja dengan nawaitu yang satu; membantu yang memerlu tanpa mengharapkan balasan yang beribu. Di saat harta itu disucikan dengan zakat, rahmat bakal menyinar penuh berkat. Di saat harta itu tidak dilangsungkan pada yang tidak perlu, akan kecewalah sang nafsu. Ketika itulah harta menjadi hak mutlak (!)

Harta yang terbelanja dengan benar akan menjadi harta mutlak kita untuk dibelanja walau di mana kita berada. Baik ketika hidup atau ketika mati.

Ia menjadi harta yang menghiasai. Sebagai perhiasan budi pekerti yang luhur lagi murni. Memberi cahaya kepada wajah dan mengukuh iman di hati. Sebarang kecelakaan pasti dapat dihindarkan, pabila menjadi hambaNya yang sungguh mensyukuri. Tiada yang dapat meragut keberkatan, mencuri kebahagiaan, mewarisi keimanan, merompak ketaqwaan, memonopoli keredhaan kerana itu semua urusan Ilahi. Asalkan niat ikhlas bertakhta di hati.

Ia menjadi bekalan ketika tiba saat perhitunggan. Maka beratlah timbangan amal kebajikan. Jangan kau lupa di akhir sana ada neraca keadilan, Al-Mizan. Setelah harta itu dicukupkan, nikmat syurga yang terbentang luas pastikan jadi ganjaran buat jiwa-jiwa hamba yang beriman. Pinta apa sahaja pasti kau dapat, kerana syurga itu milik Allah Yang Maha Hebat. Ayuh, tiada rugi dalam perbelanjaan di atas jalan kebenaran kerana kau sedang berurus niaga dengan Tuhan.

Sekian. :D

Friday, April 13

5S (Sisih-Sapu-Susun-Seragam-Sentiasa amal)

[ PERHATIAH: Ini adalah artikel promosi projek pemula gaya (baca: trend setter) 5S. Tiada yang mustahil! ]

Sisih.
Sisih segala kejahilian dalam sanubari hati hingga ke seluruh laman nurani. Pastikan ketiadaan penyakit hati yang kronik seperti dengki, syakwasangka, ujub dll. Jika ada, sila sisihkan dengan kadar yang ekstra cepat dan bergaya. Diingatkan juga, jangan benarkan sebarang item yang mampu menjerumuskan umat manusia ke dalam lembah berapi, Neraka Yang Menyala-Nyala, berada di dalam lingkungan jarak kehidupan rutin sebagai hamba Allah yang sejati.

Jika didapati kelibat apa-apa objek yang mencurigakan, keperluan untuk beraksi dengan cemerlang bagi menyisihkannya adalah amat vital. Tiada alasan sebagai pembela, sisihkan sahaja dengan hati yang riang ria gembira tidak kira masa. Sisih segala video, movie serta lagu sang kerapu tanpa malu-malu kucing Parsi. Recycle Bin (untuk lappy) yang tersedia, pasti mampu menerima penyisihan yang berlaku. Malahan pula, mereka pasti berasa bangga tidak ingat dunia kerana dapat berkhidmat dengan mesra.

Sapu.
Sapu habis segala saki baki kekotoran dan habuk-habuk jahiliah yang bertebaran merata-rata. Tidak dilupa sesawang jahiliah yang berasa diri mereka selamat di siling, sapu mereka habis-habisan. Gunakan keupayaan penglihatan yang sungguh nikmat bagi mengesan dan membersihkan ruang atau sudut yang tercemar. Jika kesan kekotoran terlalu amatlah sukar untuk ditangani, jangan segan untuk mempergunakan Hikmat Mop Basah Merata-Rata dan Hikmat Gosok Sampai Berkilat Gosok dengan senang hati.

Berusaha dengan gigih tanpa ada rasa pelik (!). Gunalah kelengkapan seperti penyapu, kain buruk basahan serta penyodok sesampah agar setiap aksi yang dilakukan insyaAllah bertambah efisien. Jangan pula lupa akan kekotoran najis-najis burung yang kental mencorakkan cermin-cermin tingkap nako. Sapu juga sampai selesa. Setelah selesai, anda patut berasa bersyukur. Minum sedikit air dan rehat buat seketika sebelum meneruskan lagi perjalanan yang sumpah panjang.

Susun.  
Susun segala strategi hebat-hebat bagi melawan seteru jahiliah yang tiba-tiba kian mengganas. Ingat, jahiliah yang tersusun akan mengalahkan haq yang tiada tersusun (!). Dalam menyusun atur gerakan yang versatile, komrad yang berhati mulia, berhati suci dan berhati-hati akan memudahkan lagi segala urusan. Tambahan pula, disebabkan jahiliah itu berbahaya untuk jiwa-jiwa manusia yang nipis ibarat kaca cermin mata, anda perlu bergerak dalam kumpulan.

Sesungguhnya, biri-biri putih yang seekor, pasti dibaham serigala kelaparan yang tidak pernah cukup makan. Sebaliknya, jika bebiri itu hidup dalam satu kawanan yang kukuh ukhuwahnya, nescaya serigala tiada lagi memberanikan diri untuk menerkam, mengigit dan makan tanpa baca doa makan. Malah, mungkin sahaja serigala itu akan teringin untuk jadi bebiri putih dan akhirnya turut menyertai kawanan bebiri tersebut. Eh, itu amat mencurigakan?

Seragam.
Seragamkan semua percaturan seperti yang telah dirancang. Jangan ada yang berlainan cara kerjanya, karena kita punya fikrah yang sama. Kita berjuang hanya untuk agama Allah. Kita berjuang hanya untuk mendakap redha Allah. Kita berjuang bukan atas urusan peribadi. Kita berjuang segalanya kerana Allah. Nawaitu setiap komrad perlu seragam. Pabila keseragaman jelas tercapai, jalan menuju sinar kejayaan pasti akan menyinar dengan gemilang. Ini pasti!

Tapi ingatlah, jalan ini penuh dengan onak duri ranjau beribu batu. Salah niat, pasti terundur kembali ke belakang. Oleh itu, seragamkan niat, kerana tujuan kita satu. Ayuh. Mari menuju seraya mengecap kejayaan yang telah dijanjikan. Ayuh. Jangan pula kita terlepas. Kerana peluang hanya mengetuk-ngetuk muka pintu sekali sahaja dan tidak pula berkali-kali. Mungkin sahaja peluang itu akan lesap jika dibiarkan tanpa genggam. Jadi, kembali seragamkan niat.

Sentiasa Amal.
Sentiasa amal apa yang dipelajari, jangan tahu cakap sahaja. Sesungguhnya Allah melihat pada amal, bukan pada berjaya atau gagal. Semoga segala usaha sisih, sapu, susun, seragam dan sentiasa amal kita diredhaiNya. Amiin. :)

p/s: Keep heart clean. Buat tanda aman.