Pages

Followers

Tuesday, October 15

Perkenalan


Dua hari di sini. Alir waktu bagai damai berjalan. Perlahan-perlahan sahaja ia berlalu. Sudah pasti tanpa menunggu toleh belakang walau sedetik. Waktu pagi, dipenuhi kekosongan yang lazim terisi dengan ketiduran.

Aku pula bukanlah spesis yang mahir tidur panjang (mungkin masih awal untuk aku kata kan begitu tapi ini lah aku sejak 20 tahun berhidupan). Seusai Subuh, tika rata-rata mereka kembali pejam mata, aku pula masih dalam kebingungan untuk buat apa. Tidur bukan pilihan utama. Terpaksalah aku mencari, untuk mengimbuhkan sesuatu yang tidak akan aku sesalkan di hari-hari selepas ini.

Buat masa sekarang. Menulis coretan (seperti yang anda bacakan sekarang) adalah antara pilihan ku. Selainnya pula, aku mencuba habiskan bacaan buku yang baru ku pinjam. Sebuah buku tentang hal ehwal kedoktoran bagi mereka yang masih belia dalam perihalan yang ini. Buku itu dinamakan 'How to Become A Good & Successful Medical Student' hasil tangan Prof Muhaya Haji Mohamad.

Dan juga seperti biasa, Kitab Agung itu tidak ditinggalkan. Tinggi harapku, agar selama berenam tahun di sini (dan juga di usia selanjutnya), lembaran 'ayat-ayat chenta' itu tidak hanya menjadi perhiasan kosongnya mejaku. Supaya ia tetap terus-menerus menjadi pedoman dalam perjalanan ku.  Kerana aku adalah manusia seperti kamu yang sungguh mendambakan sebuah kedamaian di laman Shurga. :)

Enonimes: dalam misi mencari ikhwah seperjuangan...

Perjalanan


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Aku selamat sampai.

***

Lama jugak lah aku tidak berperjalanan selama dan sejauh itu. Hampir 8 jam menerbang dan juga hampir 4 jam berbas (mungkin lebih, mungkin kurang kerana aku masih belum biasa dengan putaran jam waktu di sini).

***

Minggu lepas. Keputusan itu baru mahir terputus. Setelah di mana-mana juga mencuba pohon masuk universiti di tempatan. Akhirnya, kecewa yang mengundang cahaya juga Tuhan beri. Universiti punya syarat kelayakan yang tinggi lagaknya. Langsung tidak dapat melayakkan aku untuk menelusuri liku cabangan perubatan. Ku petik kata emas ibuku, "Mungkin Tuhan nak kamu belajar di sana dan bukan di sini. Pasti ada hikmah."

Dari minggu lepas juga lah, aku dan ibu mula ke sana ke mari mencukupkan barangan untuk ku bawa ke sana. Dari pakaian serta barangan mandi hinggalah ke gajet-gajet dan makanan segera. Jenuh juga memuatkan segala ke dalam bagasi. Aku ini selalu bermalasan. Syukur Tuhan anugerahi aku dengan sosok seorang ibu yang sungguh penyabar dan amat penyayang. Jika tidak mungkin sudah lama aku dibaling ditendang. Hahah.

***

Di hari yang ditunggukan, mulalah rerama mula bermain dalam perut kecil (?) ku. Tidak tentu arah juga sebentar. Manakan tidak. Kepergian aku ini menandai bermulanya chapter baru dalam kitab hidupku. Malah, perginya aku ini, adalah meninggalkan kedua orang tua dan adik usia kecilku di rumah. Rasa serba salah itu tidak boleh tidak berputar dalam pemikiranku. Namun, cuba aku jauhkan fikiran itu kerana aku tahu dalam ibu mungkin juga bersedih, dia pasti juga berasa gembira kerana kini aku bakal bergelandangan mengimbuhkan kerjaya yang dengan izinNya berjaya.

Pagi itu, aku, ibu dan adik kecilku menaiki penerbangan terus ke Kuala Lumpur. Bapaku ketika itu tiada. Dia berpergian ke Singapura bagi menjalani sebuah program perubatan. Katanya, dia bakal pulang pada petang hari itu, turut bersama di saat perginya aku nanti. 

***

4 jam sebelum berlepas. 

Bapa dan ibu dan adik sudah semua ada di sisiku. Menunggu detiknya menyumbat bagasi ke tempat yang sepatutnya. Menunggu saatnya nama terpanggil mengambil 'boarding pass' yang sedang diusahakan pihak pengurusan. Tika itu kami berempat sedang berdudukan di suatu tempat.

Ibuku mulai menelefon beberapa saudara terdekat. Dan langsung setiap kalinya itu menghulurkan telefon bimbit canggihnya kepada ku agar dijawabkan. Aku mustahil tipu. Sungguh aku tidak menyangka kata-kata mereka, saudara belah ibu dan bapa ku, walau ringkas dan juga bersahaja berbekas juga jauh dalam diriku. TImbul satu rasa tanggungjawab dan api kesungguhan mula membara. Rerama kecil yang riang berpermainan dalam perutku kini mulai menghilang kerana aku tahu, aku kini membahu sebuah harapan yang menggunung. 

***

Kemudian, tibalah pula detiknya aku terbang. Mula, kami dikumpulkan untuk sedikit penerangan ringkas dari pihak pengurusan. Katanya, kami akan transit selama mungkin 1 jam di Bangkok entah kenapa pun aku tidak mahu tahu.

Cerita yang menarik. Ketika itu, aku belum lagi mula bersahabatan dengan siapa-siapa. Kerana dahulu aku mendaftar lambat. Tidak berkesempatan untuk menyertai mereka yang lain sewaktu di kem bahasa arab (?) dahulu. Aku mulanya seorang. Sendiri. Aku fikir sudah pasti tidak mahu keluargaku melihat aku seakan sendiri (walau itu lah hakikatnya). Jadinya, pantas aku berbuat sibuk menghantar pesanan ringkas ke semua ikhwah yang masih di Malaysia, juga mereka pensyarah di kolej tempoh hari (padahalnya di ketika lain boleh sahaja aku berbuat demikian).

Masa itu jugalah. Kuasa Allah itu mempamerkan hebatNya. Datang seorang lelaki berkemeja ungu menghampiri tanya ku. Alangkah gembira melangitnya aku, rupanya dia lah bakal teman serumah ku di setahun pengajian aku nanti. Jika biasanya kita kata ini kebetulan, aku suka pula kata kan ini sebagai kuasa Tuhan. Kerana 'kebetulan' itu bukan satu perkataan.

Juga. Di detik yang sama, sambil-sambil aku mendengarkan sayup suara pemberi taklimat, telefon sesentuh mini aku bergetar (kerana aku diamkan ia). Bergetar panjang bagai tiada henti (okey, ini adalah sedikit pemelampauan). Satu persatu juga aku membaca teks ringkas yang terbalas hasil hantaran pesanan ringkas sementara tadi. Terharu. Gembira. Kesyukuran. Juga sedikit rasa bersalah.

Rasa bersalah kerana aku sebenarnya tidak gemar menghebahkan terbangnya aku ke rata-rata orang. Mereka-mereka yang baru tahu (akan perginya aku) agak kaget sebentar dengan SMS yang tersebarkan. Wahai. Sungguh jujur aku pohon maaf kerana tidak memberi tahu kalian di awal waktu. Kerana aku tidak suka perkara kecil seperti ini berubah besar. Cukuplah kalian tahu sedikit-sedikit walau di hujung waktu. Sekali lagi, maafkan aku dan terima kasih atas pesanmu.

Ingin jugalah aku berkongsi sedikit maklum balas dari mereka; ikhwah serta pensyarah di alam perkolejan:

"Wasalam wrb. Selamat menjadi golongan yang berkerja. Doakan ana dan ikhwah lain tsabat hingga ke akhir hayat kita. Ganbatte!"

" Ke _____ akhi?! Masha'Allah!! Semoga kita bertemu lagi nanti ;) Nanti sampai msg ana kat fb bila dah sampai ;)"

"Ke Egypt buat apa?"

"Salam ___. Aku mintak maaf tak dapat nak hantar. Aku ada usroh. Hm. Wassap aku duh dekat sana! T.T"

"Wasalam. Study hard, take care of urself n come back n b a gud doctor. In shaa Allah, i shall pray for ur success."

"Oh... there's nothing more that i can say other than bit taufiq wannajah. Allah pertemukan kita suau masa dulu. Allah pisahkan kita kini. Namun, pertemuan dan perpisahahn ini hanyalah sementara kerana kita akan bertemu lagi in shaa allah fi jannah. Sekian dahulu. Uhibbuka filllah akhi :D"

"Alhamdulillah. InsyaAllah. Tchr doakan kejayaan ____ di ____ nanti. Belajar elok2. Make sure attend semua class."

"Salam. Alhamdulillah. Nanti kat sana belajar rajin2. Btw sape ni?"

"So good to hear from you. I pray that this is what u want. Take care of urself. Keep in touch. Remember that in my book u are an extremely brave dan strong individual. ;)"

"Gtahu la awal2!"

***

Dan, kemudian. Bermulalah terbangnya aku, ke sebuah negeri kemenangan, El-Mansoura.

"Ya Allah. Semuga Kau kuatkan aku. Dan Kau rebatkan hati-hati kami di atas jalan yang Kau payungi ini hingga Shurga layaknya. Ku yakin ini bukanlah perpisahan. Tapi sebuah perjalanan. Kerana dengan hadirnya Kau di dalam hati-hati kami. Sudah mustahil untuk kami berpisah. Walau jasad berjauhan, ruh kami pasti saling bersapaan."

enonimes: entri yang tertunda akibat masalah sambung internet..

Sunday, September 8

Terbang


Aril. Dia terdiam membisu. Senyap tidak bersuara. Dari saat kakinya melangkah keluar rumah. Hingga kini dia juga tetap begitu. Melayan perasaan. Mengimbau cebisan memori yang berlalu sepi. Memori bahagia dan kecewa ketika bersama kumpulan penggerak di kolejnya dahulu.

Jiwanya terasa sebak. Kenangan itu sungguh indah dan bermakna buat dirinya.

Manakan tidak. Dia begitu cinta akan persaudaraan yang terjalin. Dia begitu sayang pada saudara-saudaranya itu. Mereka ibarat abang tapi bukan abang. Mereka ibarat adik tapi bukan adik. Mereka lebih dari itu. Mereka lebih istimewa daripada apa yang teristimewa. Kerana hati mereka terhubungkan dek aqidah sejahtera. Bukan terpaut kerana dunia, bukan kerana harta, TAPI kerana cinta pada Yang Esa.

‘Akhi, tunggu ana. Ana datang.’

Aril langsung memecut. Meluncuri kekosongan jalan raya. Ford Fiesta kuningnya pantas melaju. Menuju destinasi perpisahan.

***

‘Aduhh. Letihnya. Mati aku kalau hari-hari macam ni.’

Aril menapaki tangga satu demi satu. Biliknya di tingkat atas. Setiap langkahan yang diambil terasa begitu menyiksakan. Berat. Bagai ada satu bebanan halimunan yang terbahu.

Hari ini merupakan antara hari yang sangat sibuk. Banyak assignment yang perlu disudahkan. Kerana dateline hampir juga menjelmakan diri.

‘Aduhai. Kalau aku tahu jadi camni, dah lama aku settlekan semua kerja ni.’

Aril terhenti di hadapan biliknya. Lampu biliknya bertutup. Gelap. Mungkin teman sebiliknya masih belum pulang. Atau mungkin pula dia sudah tidur. Kerana kipas sedang ligat berputar laju. Perlahan-lahan sahaja Aril membuka pintu. Khuatir teman sebiliknya terjaga pula nanti.

‘SURPRISE!!’

Kaget. Aril terperanjat. Biliknya dilimpahi kenalan. Turut serta, mereka, ikhwah kesayangan. Dia tersenyum.

‘Ada kejutan untuk aku rupanya.’

Dan lagu selamat hari lahir pun kedengaran. Mengisi ruang-ruang kekosongan hening malam.

***

Sesak. Segala ruang dipenuhkan orang. Hampir mustahil untuk Aril mencari saudara kesayangannya. Aril cuba juga menembusi benteng manusia. Sedikit demi sedikit cuba melepasi.

‘Mana diorang ni?’

Aril menghala ke sebuah kumpulan manusia. Aril fikir mungkin dia ada di situ. Dia cuba mencari-cari. Menjenguk ke sana ke sini. Dalam himpunan manusia itu, Aril gagal jua menemukan.

***

“Weh, aku stress lah. Banyak lagi subjek aku tak cover ni. Adik-adik usroh aku pun, aku tak sempat nak buat sitting lagi minggu ni. Masak aku camni,” keluh Aril.

“Relaks lah. Jangan stress-stress sangat. Nanti bila otak blank, satu kerja pun kau tak boleh nak buat. Chill okay.”

“Kau apa citer sekarang? Cool jer aku tengok. Semua dah settle ke?” Aril menanya.

“Ahahah. Aku lebih kurang dengan kau je sebenarnya. Belambak lagi yang aku tak cover. Tapi setakat ni okaylah kot. Ada masa lagi… kan? Kita usaha sehabis upaya. Barulah berjaya.”

“Usroh adik-adik okay?” Aril menambah soal.

“Alhamdulillah lah. Adik-adik usroh aku semua okay je. Malam esok in sha Allah aku buat sitting dengan diorang. Kalau kau okay, apa kata kita buat liqa’ sekali? Nak?”  

“Hah. Okay jugak tu. Takdelah beban sangat aku nanti,” Aril menjawab gembira.

“Helllooo. Usroh bukan beban okayy. Usroh tu tanggungjawab.”

“Yealah… Yealah… Jom sambung belajar."

***

‘Beep! Beep!’ bunyi ada mesej baru masuk.

“Salam. Akhi. Ana terpaksa gerak dulu. Flight ana dah sampai. Ana minta maaf sebab tak sempat jumpa enta. Semuga kita berjumpa lagi lain kali. Kalau tidak di sini, di Shurga nanti hendaknya. Wslm. :’)”

Hampa. Tidak sempat jua akhirnya dia hendak bertemu. Aril kecewa. Dia berlalu penuh kesal. Malam itu Aril benar-benar rasa rindu. Rasa seperti sebuah kehilangan; kehilangan yang besar. Dan di saat itu juga dia teringat sebuah ungkapan dari Saiyyidina Umar al-Khattab:

Malam berlalu,
Tapi tak mampu kupejamkan mata dirudung rindu kepada mereka,
Yang wajahnya mengingatkan aku akan Shurga,
Wahai fajar terbitlah segera,
Agar sempat kukatakan pada mereka,
Ana uhibbuka fillah.

Perlahan air mata kembali mencurah. Membasahi pipi Aril. Dia cuba menahan sebak.

‘Akhi. Tak sangka. Dalam sekejap kita berjumpa. Allah temukan hati kita. Dari tak kenal. Sampai jadi serapat-rapatnya. Allah mesti ada perancangan yang lagi best, sebab tu dia tak jumpakan kita hari ni… kan? Mungkin Allah nak uji, siapa di antara kita yang segar keimanannya... 

Akhi, jika sebelum ni kita ramai, mungkin lepas ni kita sedikit. Lepas ni jugak. Mesti ada cabaran yang lebih hebat menanti. Ana harap enta terus kuat dan tsabat. Ana pun harap ana jadi kuat juga. In sha Allah. Akhi, nanti kita pasti akan jumpa lagi. Pasti. Terima kasih ya Allah sebab temukan aku dengan hambaMu yang taat...

Kau jagalah mereka sebaik-baiknya. Semuga Kau tempatkan kami di atas jalan kebenaran. Semuga Kau masukkan kami ke dalam ShurgaMu agar tiada lagi perpisahan. Sesungguhnya keranaMu ya Allah, kami bersaudara. Dan keranaMu juga ya Allah kami akan tetap bersaudara, walau dalam sebuah kejauhan. 

Pergi. Terbanglah akhi. Terbang! Sebarkan dakwah dalam perpisahan.’

-THE END-

enonimes: Semuga saudara-saudara ku yang akan berangkat terbang terus membina legasi gemilang. Semuga kita semua terus usaha membina sebuah kedamaian yang kita impikan. Ameen. ;')