Pages

Followers

Thursday, June 6

Amnesia

Panasnya mentari langsung memuncak. Aqil terus berlangkah. Merentas selang-selang jalan yang disibuki deretan kereta.

‘Uish. Panasnya!’ Aqil mengeluh.

Matanya meneropong di keliling. Mencari tempat duduk. Sudah penat kakinya berjalan. Sejak dari pagi tadi sampai sekarang pun belum berhenti. Di tambah pula dengan bahang matahari, Aqil jelas tampak keletihan. Mukanya yang membujur dibasahi peluh. Dia lantas mengambil sehelai kain dari poket belakang seluar jeans birunya. Seusai mengelap peluhan, dilipat kemas dan disimpan kembali kain itu. Dia terus meninjau sejauh yang mungkin. Berkerut dahinya mencari teduhan. Apabila gagal menampakkan tempat untuk melabuhkan punggung, Aqil terus melangkah lagi.

***

Kesibukan kota begitu mengasyik. Dari jauh kelihatan seorang pemuda lingkungan 20 tahun keluar dari kedai 7 Eleven. Di tangannya ada sebotol air mineral. Dia laju duduk di tangga hadapan sebuah pasaraya. Penutup botol dibuka kemas. Dia meneguk air penuh dahaga. Tekaknya mengering berikutan panas yang membahang.

‘Fuhh! Lega rasanya,’ Aqil bermonolog.

Botol itu kembali ditutup kemas. Masih lagi berbaki air walau sedikit cuma. Diletakkan botol dekat di tepi duduknya. Aqil pun mendongak ke atas, menduga di mana dia berada. Ternampak suatu tulisan besar.

‘Mega… urm… megamall?’ dahi Aqil sedikit berkerut.

Dia tertanya. Kenapa begitu ramai orang keluar masuk? Akibat rasa ingin tahu, Aqil terbawa ke dalam pasaraya tersebut. Luas. Begitu banyak kedai. Begitu banyak manusia. Aqil sendiri tidak tahu ke mana ingin dituju. Melihat pada sekumpulan remaja belasan tahun yang baharu sahaja menaiki tangga bergerak, Aqil menuruti mereka.

***

“Ya, bang. Nak tiket untuk cerita apa yeh?” tanya penjaga kaunter.

“Hm… Saya nak yang sama dengan diorang tuh,” Aqil menunjukkan ke arah kumpulan remaja tadi.

Selesai membayar, Aqil terus menapaki mereka. Namun, dia sedikit ketinggalan dan langsung ‘ditinggalkan’. Aqil bingung tidak tahu perlu ke mana. Bertambah bingung melihatkan tiket dipegangannya.

‘Uish… Nak masuk pintu mana neh?’

***

Air mineral diteguk lagi. Habis. Lalu dicampak buang ke dalam tong sampah biru. Gagal. Lontarannya tidak mengena sasaran. Aqil mengutip kembali botol itu dan membuangnya penuh cermat.

‘Hadoi… bosannya…’

Kedengaran derapan kaki berpusu-pusu orang berjalan. Baru keluar dari panggung wayang agaknya. Mungkin tayangan cerita sudah habis. Di keramaian orang itu, kelihatan kumpulan remaja tadi. Mereka berjalan menembusi orang-orang dan berkumpul di suatu ruang. Mereka berbisik sesama mereka. Saling ketawa dan bertepuk tampar lelaki perempuan. Mungkin bercerita pasal tayangan tadi. Sampai suatu ketika, mereka berlambaian tangan dan mengarah mengikut jejak masing-masing.

Salah seorang dari mereka meluru ke dalam lif. Dan Aqil juga ikut bersama.

***

‘Eh, dah malam rupanya.’

Gemilangnya pencahayaan di dalam pasaraya berjaya menipu Aqil akan gelapnya malam yang sudah membunuh siang. Aqil kini berada bersama seorang remaja. Tapi Aqil tidak berani ikut dekat-dekat. Dia cuba menjarakkan dirinya. Dia tidak tahu apa yang bijak dibuat. Khuatir juga jika sebarang tindakan, akan bawa padah pada dirinya. Oleh sebab itu, dia hanya menurut sahaja ke mana remaja tersebut berpergian. Ke McDonald di ikut sama. Ke kedai buku juga begitu.

Tepat jam 8.10 minit malam, remaja tersebut langsung keluar dari pasaraya itu dan menahan sebuah kenderaan yang tertulis kereta sewa di atasnya. Dia pantas masuk ke dalam. Aqil hanya memerhati. Kemudian, laju sahaja kenderaan itu meluncur hilang dalam kesuraman malam. Meninggalkan Aqil yang seorang. Dia terkedu.

***

Jika di kala siang, matahari menjadi sang enemi. Di malam pula, bulan menjadi peneman sepi. Aqil terus menjauh meninggalkan Megamall. Lelampu jalan serta cahaya dari kenderaan yang bergerak pantas menerangi langkahan Aqil. Dia terus berjalan bagai tiada arah tuju. Namun, orkestra yang berpusat di perut memberi signal merayu agar pergi mencari makanan. Dan Aqil pun ikut sahajalah.

***

“Burpp!”

Kenyang. Sepinggan nasi goreng USA dan air limau nipis ais berhasil mendiamkan merdunya simfoni sang perut. Datang seorang brader menghampiri. Dia mengambil pinggan dan cawan yang selesai digunakan dan mengelap meja penuh cermat. Dia menghantar semua pinggan mangkuk ke bahagian dapur dan datang kembali.

“Bang, malam ni kitorang tutup awal sikit. Sebab nanti ada match Man U lawan Man City. Abang ni pelanggan last kitorang,” brader tersebut berkata penuh bersahaja.

***

Kembali. Aqil berbalik ke pasaraya yang tadi. Orang tidak seramai sebelum ini namun masih agak ramai. Aqil masuk ke dalam. Sejuk. Dia menggigil sedikit. Ditinjaunya keliling ruang. Aqil berjalan. Dan melewati sebuah kaunter yang tertulis padanya, ‘Kaunter pertanyaan’.

“Abang, saya nak tanya boleh?” Aqil mula bicara.

“Hah. Apsal?” penjaga kaunter membalas tanya.

“Saya sebenarnya tak tahu nak pergi manalah, bang.”

“Kalau macam tu, kamu balik jelah ke rumah. Itu pun nak tanya aku.”

“Tapi… saya tak tahu rumah saya kat mana. Macam mana?”

***

- Iklan 10 minit. Baru suspen sikit. Heheh. Nyioh!

***

- Okay! Iklan dah habis. Selamat teruskan pembacaan! Wahaha. -

***

“Kamu ni mesti hilang ingatan.” Teka penjaga kaunter. “Hm… Kamu ada ingat mana-mana tempat tak?”

“Ada. Dua tempat.”

“Hah. Kat mana tuh?”

“Saya ingat dua tempat je. Shurga dengan Neraka. Tapi saya tak tahu nak pergi mana satu.”

‘Erk… Budak ni. Main-mainkan aku ke?’ monolog penjaga kaunter. Peluh kecil.

“Hm… Kalau abang, nak pergi mana satu yeh?” sambung Aqil lagi.

***

“So, in the first place why did you come here?”

“Saya… saya pun tak pasti,” terkebil-kebil Aqil cuba menjawab pertanyaan manager pasaraya tersebut.

“And… Now, you are telling me, that you don’t know where to go, right?”

“Er… Yeh, macam tu lah,” balas Aqil lambat, cuba memahami bahasa asing tersebut.

“Plus, you only remember two places, which are Heaven and Hell. Hm… Interesting indeed.”

“Encik… Encik rasa… saya patut pergi shurga ke neraka?” Aqil mula bertanya.

***

Malam gelap. Hujan renyai-renyai. Angin bertiupan begitu berbahasa. Bulan mengambang. Dan Professor Lupin dengan tiba-tiba sahaja bertukar menjadi serigala jadian. Suasana menjadi cemas. Harry Potter dan Hermione pantas lari ketakutan.

“Aqil tak nak tidur lagi ke?” tanya seorang perempuan tua.

“Belum lagi kot. Nanti sikit, lepas dah habis cerita ni, Aqil masuk tidur yeh. Ibu pergi lah tidur dulu,” balas Aqil begitu sopan.

“Okay. Nanti jangan lupa tutup kipas dan lampu yeh.”

Ibu pun berlalu pergi. Dia sangat bersyukur kerana akhirnya anak kesayangannya itu selamat pulang ke rumah. Mujurlah manager pasaraya tadi panjang akal. Diikutnya alamat pada kad pengenalan Aqil dan selamatlah tiba Aqil di kediamannya yang terletak di taman perumahan Bukit Rangin. Rupa-rupanya, Aqil adalah salah seorang daripada jutaan manusia yang mengalami masalah amnesia. Dia terlupa dia berasal dari mana dan dia juga terlupa tujuannya diturunkan ke dunia.   

-THE END-

enonimus: Aduhai. Terlupa kita nak masuk shurga.

Wednesday, May 15

Tempang


Hm. Letih betul berjalan. Perjuangan ini memang betul satu lorong yang sangat panjang. Terdetik juga di hati, mungkin jaraknya penghujung adalah tidak berpenghujung. Namun. Harus jiwa tertabahkan. Harus kuat dipegang. Perkara yang paling penting adalah detik sekarang, di atas petak kaki ini berpijak. Ke mana ia bakal melangkah? Ke mana tuju ini akan mengarah?

Jauh tersudut di hati. Kuat khuatir ku mengingat agar jangan sekali-kali ada niat untuk bertukar kiblat. Bebanan ekspetasi dan pengharapan yang terbahu adalah menggunung siksanya. Tersangat menyiksa sehingga tak terluahkan melalui kata-kata. Teramat kuat penangannya sehinggakan hanya air mata sahaja mampu beri pemaknaan atas segala yang dirasa.

Begitupun, erat ku genggami tali ini. Tak mahu terlepaskan.

Kerana sewaktu dulu jasad ini pernah bermain-main di tepian jurang api neraka. Namun, telah diselamat tarik tangan kembali ke atas landasan menuju sorga. Aku pernah melihat. Betapa kejinya dunia yang dipenuhi manusia bertopeng syaitan. Betapa jijiknya dunia yang menjanjikan kepelbagaian nikmat palsu. Sungguh. Setelah menyaksikan perihal kebenaran, tak mahu lagi sisa hidup ini disampahkan.

Kerana dulu aku hanyalah sampah. Dan pasti akan kekal sampah jika tidak dikutip sang murobbi. Dan pasti lagi sampah daripada sampah jika setelah dikutip, aku ingin kembali menjadi sampah. Aduhai.

Betapa hina, kerdil dan kecilnya diri ini. Sudah tidak tertahan dek ujian kecil yang menimpa. Belum lagi diseksa baring di atas pepasir yang panas sambil batu besar di letak pada dada seperti Bilal bin Rabbah. Belum lagi jasad ini terbakarkan seperti Khabbab. Belum lagi mata ini dikorek keluar seperi seorang sahabat yang aku tak ingat nama. Hm.

Bilal bila diseksa hebat, kata-kata mengagungkan keesaan Allah menjadi penguat. Khabbab bila merungut kelelahan, “Engkau gopoh,” Sang Nabi beri jawapan. Seorang sahabat bila dikorek mata, hanya laman Sorga yang ada di pandangan. Mereka semua mara ke hadapan, aku pula bersibuk hendak kembali ke belakang? Ironi.

Aku turut sedari. Manusia itu dicipta tempang. Tempang manusia bukan tiada kaki. Tempang manusia bukan cacat berjalan. Tapi tempang manusia sentiasa perlukan pada satu bentuk sokongan. Baik sokongan fizik, emosi mahupun sokongan ruhi. Ketiga-tiganya saling diperlukan. Tanpa ada antara satu yang dibiar terabaikan.

Tapi alangkah sedih, mengetahui hakikat ini aku masih menyubur ego dalam diri. Tak mahu di tolong. Tak mahu di bantu. Alasan ku, berasa malu kerana enggan diangap tidak kuat. Wahai. Bukankah manusia itu memang dicipta lemah? Jika sebelum ini, cinta itu dianggap buta. Ketahuilah ego itu lagi dasyat. Kerana ego itu adalah manifestasi rasa cinta pada diri sendiri yang tidak dipedomankan. Kerana ia bukan sahaja buta, malah turut membutakan.

 “Ya Allah Tuhan Yang Maha Melihat, bukakanlah tabir di balik penglihatan ku. Jangan Kau sengaja biarkan ego mengaburi rasionalku. Jangan kau jadikan pesona dunia menutupi indera ini dari mengimpikan penghidupan yang sebenar-benarnya, yakni kehidupan di akhirat sana. Aku mahu bertemuMu, melihat wajahMu di sorga sana.

Ya Allah Tuhan Yang Maha Halus, kuatkanlah hati ini seteguh apa yang paling teguh. Jangan kau biarkan aku goyah saat diuji. Jangan kau biarkan aku tewas saat dihalangi. Ku tahu Kau Maha Mendengar. Maka dengarkanlah doa ini. Doa dari hambaMu yang memerlukan secebis kekuatan dari himpunan kekuatanMu yang tak pernah padam.

Aku tak mahu lagi terjebak dalam kancah penuh hina. Oh, Tuhanku ya Allah, Engkau tsabatkan lah kaki ini di atas jalan para pejuang. Di atas jalan yang dibasahi merah darah para syuhada.”

Yakinlah! Allah telah membelah lautan tika menyelamatkan nabiNya Musa alaihisalam. Allah telah menyejukkan api ketika terbakarnya Ibrahim alaihisalam. Malah Allah jua telah membantu ahli badar tika berperang dengan musuh yang jauh beza bilangannya. Sirah nabawi bukan kisah dongeng mitos khayalan dahulu kala. Tiada yang mustahil kerana Allah itu Tuhan.

Ayuh! Hati, kuatlah!

“Demi waktu duha dan demi malam apabila telah sunyi. Tuhanmu tidak meninggalkan engkau dan tidak membencimu, dan sungguh, yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan. Dan, sungguh kelak tuhanmu pasti memberikan karunianya kepadamu sehingga engkau menjadi puas.”
(ad-Dhuha; 93:1-5)

***

enonimus: Kepada anda yang di luar sana, usahlah bersedih hati akibat dihurung permasalahan. Ketahuilah, Allah telah mengeluarkan kita dari banyak kepayahan sehingga menjadi diri kita yang sekarang. Bersyukurlah. Bersyukurlah. Dan jangan segan menangis kerana ia buat hati jadi lembut.

Friday, May 3

Ilustrasi

Kringgg!!!

Saat loceng terbunyikan, seluruh isi sekolah yang tadinya gegak gempita beransur sunyi. Kesemua pelajar pantas bergegas memenuhi ruangan kelas yang lompong. Baik dari perpustakaan mahupun kantin, semuanya lincah berjalan. Waktu rehat sudah tamat. Dan kini slot pembelajaran kembali bermula.  

Menjengah ke dalam kelas 5 Muntalaq. Semua pelajar sedang duduk setia menanti kemunculan sang guru. Masing-masing melihat jam yang di dinding. Menanti saat demi saat. Detik demi detik. Sang guru masih juga tidak menampakkan kelibat. Ini adalah satu keajaiban! Sang guru yang seorang ini manalah pernah lewat. Disiplin sang guru yang teliti sentiasa dikagumi sekalian anak muridnya. Namun. Kali ini dia terlambat pula.

Berbagai andaian permainan pemikiran yang berlegar dalam minda pelajar 5 muntalaq. Tidak kurang juga, seorang pelajar lelaki yang segak berkaca mata. Rambutnya terbelah dua. Tingginya menggalah. Namanya Fatih. Dia turut dilanda mainan prasangka. Tapi. Teringatkan makna ayat 12 dalam surah al-Hujurat, segala sangkaannya termatikan: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain…”

Huh. Fatih menghela nafas panjang. Dibiarnya putaran kipas menghapus panas di kelas. Air yang dibawanya diteguk, penghilang dahaga yang menggila. Fatih mendagu ke meja dan menunggu penuh setia.

Seketika kemudian, muncul lah kelibat sang guru. Dia kelihatan tenang seperti kebiasaan. Tiada langsung raut rasa bersalah terukir di wajahnya. Dia melangkah masuk penuh cermat dan meletakkan buku yang dibawa ke atas meja guru.

Dan sudah menjadi seperti ritual berkala, semua pelajar akan berdiri dengan otomatik dan patuhnya. Salam diucap dan doa diaminkan secara berjemaah. Kemudian, semua duduk ringkas, tanda ritual menyambut kehadiran sang guru sudah tamat.

Seorang pelajar memberanikan diri mengangkat tangan dan lantas bertanya, “Why you late today teacher?” Mendengarkan soalan tersebut, seantero kelas mula menumpukan perhatian pada bait-bait perkataan yang bakal terhambur dari mulut sang guru. Semua menanti penuh suspen.

Sang guru kehairanan. Melihat jam Seiko bertali hitam di tangan, dia langsung memberi jawapan, “Oh. I’m truly sorry for being late. Maafkan saya deh.” Sang guru tunduk stail jepun. Lalu memperjelaskan sebab dia kelewatan dan sumpah! saya malas nak tulis apa yang sang guru cakapkan. Hahah.

“Hm. Okay. Sekarang, semua orang letakkan sehelai kertas atas meja. Hari ni kita nak belajar melukis,” kata sang guru.

Dengan penuh eksaited, mereka mengeluarkan kertas A3 “PAPP!” ke atas meja. Segala alat lukis turut tersediakan. Masing-masing menanti arahan selanjutnya.

“Hari ni, saya nak kamu semua lukis satu benda yang kamu tak pernah lukis. Satu benda yang kamu semua tak pernah terfikir pun nak lukis…” sang guru sengaja berhenti bercakap. Dia langsung ke papan putih dan menulis satu perkataan yang memang tidak asing: S-Y-U-R-G-A. “…hari ni, saya nak kamu lukis syurga.”

Syurga? Alangkah anehnya sang guru. Bagaimana mahu lukis sesuatu yang tidak pernah terlihatkan? Gila atau hilang waraskah sang guru? Meminta sesuatu yang luar dari kebiasaan.

Semua murid tenggelam dalam kepelikkan. Tidak pernah langsung terfikirkan rupa sebuah laman kedamaian.

“Eh, kamu semua tunggu apa lagi ni? Cepat lah lukis,” sang guru cuba provoke sambil buat muka kerek. “Kamu semua ni nak masuk syurgakan?” Satu kelas menggangguk patuh mengiyakan soalan sang guru. “Kalau betul nak masuk syurga, tak kan lah kamu tak tahu kot macam mana rupa syurga? Kamu ni tak baca Quran ke?” provoke sang guru lagi.

Zass!

Satu kelas terkena libasan keinsafan. Semuanya tunduk. Memikirkan bilakah kali terakhir al-Quran dalam dekapan. Merenungkan bilakah kali terakhir ayat suci teralunkan.

“Okay. Saya bagi kamu masa 30 minit. Suka hati kamulah nak lukis macam mana, nak warnakan macam mana pun,” sang guru mengakhiri kata dengan penuh bijaksana. Dia mengeluarkan senaskhah al-mathurat dan membacanya penuh tartil.

Pelajar 5 Muntalaq kesuntukkan idea. Tiada buah fikiran yang bernas tertunas. Masing-masing mengerah sepenuh kudrat bagi etlis membuahkan sedikit bayangan perihal syurga, walau seciput cuma. Suasana menjadi kelam kabut. Semua menjadi resah gelisah. Tidak tahu apa yang mahu dicurahkan ke atas helaian A3 yang memutih. Pensil digenggam erat dan setiap cubaan mencipta lukisan dipadamkan kerana kepastian belum memihak.

Begitulah keadaannya. Sehinggalah seorang murid berkata kuat, “Weh, dalam syurga ada bidadari kan?” Kesemua yang lain mengangguk sambil buat tanda bagus kerana gembira dan setuju dengan pandangan tersebut.

‘Haih. Bidadari jugak yang diorang ni duk fikirkan,’ sang guru geli hati sendiri.

Dan ribut idea mula melanda seluruh isi kelas. Masing-masing tiba-tiba sahaja melontarkan idea osem yang entah dari mana muncul. Satu demi satu bidikan terkena sasaran. Ada yang menyebut perihal dipan-dipan dan ada juga yang berkata tentang sungai bawah kaki dan binaan mahligai yang indah tersegam. Dasyat! Satu kelas dah jadi macam ulama di ketika itu.

30 minit pun berlalu dengan sekejap sahaja. Terukir senyum gembira pada wajah mereka yang siap melakar gambaran keindahan syurga.

Walaupun saya tak ada kat kelas 5 Muntalaq, saya dengan sesuka hatinya berasa amat kagum dengan kehebatan hasil seni pelajar kelas tersebut. Baik lelaki mahupun perempuan, kesemuanya menghasilkan satu karya yang cukup indah di tatapan mata. Lebih indah daripada potret monalisa. Lebih indah juga daripada poster pilihanraya yang tertampal di sekeliling kota. Eh.

Dan sang guru pun meminta muridnya menjulang tinggi apa yang terhasilkan. Dan seperti yang saya cakap tadi, sang guru juga turut berasa kagum dengan indahnya lukisan. Dia tersenyum.

“Hm. Pandai pulak kamu melukis hari ni yeh,” sang guru sedikit memuji. “Mana kamu dapat idea nak lukis segala bagai neh?”

“Kitorang rujuk al-Quran lah cikgu,” seorang pelajar membalas sambil buat muka kerek. Rakan-rakan yang lain tertawa kecil.

“Tapi…” sang guru sambung berbicara. “Kamu rasa, macam ni ke bentuk syurga yang kamu nak pergi nanti? Kalau sayalah, tak akan mahunya pergi syurga yang rupa macam ni,” kata sang guru.

Satu kelas diam. Semua kebingungan. Aphal pulak cikgu ni? Tadi suruh orang lukis, ni nak komen-komen pulak. Kalau nak cantik sangat, lukis sendirilah. Murid-murid kembali mencuka muka. Tidak puas hati dengan komentar dari sang guru. Sudah puas otak diperah, tidak juga menjadi hasilnya. Kecewa sungguh.

“Kamu rasa, susah tak nak lukis syurga ni?” sang guru tetiba menguntum senyum, mengaju tanya.

Secara berjemaah, sekalian murid menjawab, “Susahhhhh.”

“Kamu rasa kenapa?” sang guru menambah tanya.

Dan bermulalah alunan merdu penuh harmoni simfoni orkestra jutaan cengkerik dari pelbagai arah. *Krikkk! Krikkkk!*

 “Sebenarnya kan. Syurga ni adalah satu keindahan yang luar dari batasan pemikiran. Kecantikkannya pasti tidak tergambarkan walau oleh seniman yang terpopular di dunia. Kemolekkannya tidak langsung sama mahupun pelanduk dua serupa dengan setiap apa yang ada atas bumi ni. Kesempurnaannya mengangkasa dan sungguh hiperbola lagaknya. Pasti tak akan ada walau seorang pun manusia yang mampu menghasilkan gambaran walau secebis kemasyuran syurga,” sang guru berfalsafah panjang.

Pelajar 5 muntalaq terlopong ternganga.

Seorang pelajar mengangkat tangan, “Apa poin cikgu? Saya tak faham,” soalan tersebut diakhiri dengan aksi menggaru kepala.

“Oh. Jujur kata, saya sendiri pun pasti tak akan berjaya menghasilkan pemandangan sebuah syurga. Dan melihatkan lukisan kamu tadi. Saya yakin, kamu pun akan setuju bahwa kamu semua tak reti nak lukis syurga…”

“Merujuk surah Muhammad ayat 15: perumpamaan taman surga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa; di sana ada sungai-sungai yang airnya tidak payau, dan sungai-sungai air susu yang tidak berubah rasanya dan sungai-sungai khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan sungai-sungai madu yang murni. Di dalamnya mereka memperoleh segala macam buah-buahan dan ampunan dari tuhan mereka…”

“Lagi. Dalam surah an-naba’, allah cakap, sungguh, orang-orang yang bertqwa mendapat kemenangan, kebun-kebun dan buah anggur, dan gadis-gadis montok yang sebaya dan gelas-gelas yang penuh…”

Semua pelajar serta anda semua pun masih setia suspen menunggu jawapan sang guru.

“Poin saya. Syurga itu tersangatlah indah. Sangat indah melebihi apa yang mampu terimaginasikan. Dan saya begitu kepingin menapaki syurga sambil berpimpinan tangan dengan kamu semua…”

Semua murid dan anda yang membaca tiba-tiba rasa terharu yang mendalam.

“Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, “Jika kamu impikan syurga, impikan lah syurga yang paling atas.” Begitupun masih. Saya sangat kepingin menyaksikan keindahan wajah Sang Pencipta bersama kamu. Saya amat kepingin berdampingan dengan Muhammad bin Abdullah bersama-sama dengan kamu semua…”

“… Jadi maafkan lah saya kerana terlambat tadi. Saya khuatir akibat berlaku zalim kepada kamu kerana terlewatkan kelas, kaki saya tak terlangkah pula melewati syurga.”

Air mata kejantanan mula perlahan mencurahi pipi Fatih. Dia menahan semampu-mampu. Wajah sang guru ditenung, direnung tajam. Sengaja dia biarkan manik-manik kaca yang keluar dari kelopak mata jatuh bercucuran. Insaf seketika. Menyesal sedalam-dalamnya. Istigfar di bibir. Erti keampunan dihayati. Demi syurga yang kini jadi obsesi.

Dan sebuah tepukan lembut menyapa bahu kanannya. “Woi, Fatih! Bangunlah. Asyik tidur je kau ni,” sindir Umar, teman sedarjahnya.

‘Eh! Mimpi rupanya aku ni,’ monolog Fatih berseorang. Dia mengesat air mata yang sedikit membasahi.

“Tu hah. Cikgu dah masuk,” tunjuk Umar ke arah cikgu yang di hadapan.

Melihat ke hadapan. Fatih kehairanan lalu bermonolog dalaman lagi. ‘Eh, apsal kaunselor masuk pulak ni? Dah tukar jadual ke?’

Baru ingin mula ritual menyambut kehadiran guru, kaunselor tersebut mengarahkan sekalian pelajar 5 muntalaq agar kembali duduk. Katanya ada pengumuman mustahak. “Hm. Pelajar semua…” kaunselor mulakan bicara. “… Cikgu kamu terlibat dalam sebuah kemalangan. Dan dia telah pun pulang ke rahmatullah.”

Amekaw!

Terus aje air mata kejantanan itu kembali tertumpah.

“Dan saya begitu kepingin menapaki syurga sambil berpimpinan tangan dengan kamu semua…”

***
[theEnonimus]

Selamat hari guru ;)