Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani[1]
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam[2] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani[3] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)[4] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan[5] Tunjukilah kami jalan yang lurus[6] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat[7]
Amiin.
* * *
Jelas. Masih teringat. Malam itu sesudah Mahgrib. Pertama kali aku membaca terjemahan surah al-Fatihah; surah yang sentiasa sedia terkumat-kamit. samaada di awal majlis atau dalam solat. Jiwa ini sungguh, rasa sayu. Syahdu mengenangkan kejahilan dalam hidup menjadi hamba. Alhamdulillah. Setelah 18 tahun bergelar muslim, terbuka hatiku untuk menghayati maksud surah Pembukaan ini.
Sebak. Saat itu, aku cuba menahan tangis. Lutut ku rangkul. Kepala ku benam menahan malu. Bukan malu kerana air mata jantan ku jatuh menyembah Bumi. Bukan kerana khuatir sahabat ku akan mentertawakan ku. TAPI. Malu. Malu kerana baru kini ku erti makna bacaanku. Bacaan yang sentiasa terlafaz. Adakah erti, hidupku selama ini? Ya, Allah.
Kedengaran pula sayup-sayup bacaan surah di sisiku. Sedikit menoleh. Abang Azam sedang asyik melagukan Kalamullah. Menyedari kehadirannya, aku bertambah cuba menahan perasaan. Tidak mahu menjadi bahan perbualan abang-abang pula. Cuba aku menahan rasa sebak. Namun, jelas aku tak mampu. Alunan bacaan al-Quran itu, benar-benar menusuk dalam.
Kemudian, dapat dirasai. Manik-manik kaca perlahan-lahan membasahi pipiku. Pantas aku mengelapnya. Kebetulan Isya’. Azan berkumandang memenuhi ruang langit malam gelita. Tersedu-sedan aku menahan tangis. Hiba. Sungguh hiba. Aku merasa sungguh hina.
'Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.’
No comments:
Post a Comment