Pages

Followers

Wednesday, December 26

Obsesi Sorga!

(PERHATIAN: Ini merupakan entri yang berat untuk dihadam. Jika sudah baca sedikit, anda dimestikan untuk baca sehingga ke hujung. Saya serius!)

Aku terlalu tertanya, kenapa para sahabat beria-ia berkorban apa sahaja untuk mendapat redha Allah. Bilal Rabbah sanggup berpanasan didera dan ditindih batu. Keluarga yasir diseksa hebat. Dan beberapa lagi cerita yang amat menakjubkan. Ya, aku berasa amat pelik untuk seorang manusia, meninggalkan harta mereka untuk berhijrah.

Juga, saya rasa pelik bila seorang manusia tidak kisah fizikal mereka dikecam hebat. Lagi pelik, bila sekumpulan manusia yang sedikit serta berkelengkapan serba-serbi tidak sempurna, jadi amat berani untuk bertempur dengan kelompok musuh yang jauh sangat ramainya (perang badar). Pelik! Macam tak logik pun ada. 

Tapi jika nak dibandingkan dengan aku, memang para sahabat jauh lebih qawiy. Mereka fasih lagi faqih tentang erti hidup. Ke mana hala tuju, ke mana nak dituju. Dan aku yakin, tujuan itu adalah untuk masuk syurga bertemu Allah. Tapi pelik juga. Kenapa nak beria-ia sangat masuk syurga?

Ada apa dalam tu? Kompem ke best dalam tu? Anda pernah menapak ke syurga? Para sahabat tak pernah pun masuk syurga. Jadi, kenapa? Kenapa sanggup berkorban jiwa dan raga untuk syurga? Anda sendiri, betul-betul ke nak masuk syurga ni? Aku? Hm. 

Pelik! Ya, inilah kepelikan! Kenapa nak masuk syurga walhal di dunia sudah cukup sempurna ada pelbagai benda? Ada muka buku, ada burung biru, ada kawan, ada famili, ada cerita korea, ada macam-macam. Jadi, apa poinnya untuk ke syurga? Ada faedah ke? Kat dunia ni ada katil yang empuk, ada makanan yang lazat meletup, ada seribu satu nikmat yang Allah dah bagi. Jadi, kenapa nak ke syurga? Apa je yang ada kat syurga tu? 

Lagi, korang ingat senang ke nak masuk syurga? Kena jadi baik, kena jadi alim, kena jadi skema, kena jadi budak surau, kena ikut usrah, kena baca al-Quran tiap hari. Lagi, kena buat dakwah, kena butang baju sampai atas, tak boleh pakai seluar jeans, tak boleh buang masa tulis belog. Er. Banyak lagi lah yang kena buat kalau nak masuk syurga ni.

Payah! Serius susah! Anda tengok jeala zaman Islam mula menapak dulu. Siap kena pulau dengan keluarga sendiri! Kena baling batu! Rasulullah, masa nak dakwah penduduk taif, kena halau, kena baling batu sampai diriwayatkan terompah baginda bertakung darah. Uish! Susah. Anda serius nak masuk syurga ni?! 

Hah! Yang dari tadi duk angguk-angguk tu, betul nak masuk syurga? Seronok betul mengangguk ya. Haih. Cuba tengok apa anda tengah buat sekarang ni? Baca belog? Bukak youtube? Buka fesbuk? Dengar lagu entah apa-apa? Anda betul-betul serius tak ni nak masuk syurga? Anda rasa, anda serius tak?

Cuba tengok zaman mekah dulu, lepas tu bandingkan dengan kehidupan anda sekarang ni. Dah cukup berkorban ke akhi? Dah cukup buat dakwah? Pernah tinggal jahiliah? Entah? Anda jawab lah sendiri. Hm. Jadi, sekarang anda masih serius nak masuk syurga? Hm. Persoalan sekarang, kenapa nak sangat masuk syurga neh? Kenapa kita perlu obses untuk masuk syurga? Kenapa? 

Hm. Anda pernah pergi merantau? Atau senang kira, tinggal di asrama nun jauh di hujung dunia. Ecece. Lelebih pulak. Hihi. Pernah? Saya pernah. Masa tu, lama jugak lah tak balik kampung. Dan setiap hari rasa macam sangat rindu kat kampung dan kat semua yang ada di kampung; emak, ayah, abang, dan adik. Semualah! Memang sangat rindu.

Dan bila sampai satu masa tu, lepas tengok kalendar baru perasan rupa-rupanya seminggu je lagi nak cuti. Sumpah! Rasa seronok berganda-ganda masa tu. Senyum tak hengat dunia. Walaupun durasinya seminggu, perasaan tidak sabar-sabar itu selalu aje mengetuk-ngetuk pintu hati. Tak sabarnya nak balik kampung! Nak jumpa ayah. Nak jumpa emak. Nak jumpa adik-beradik. Nak makan masakan emak. Nak tengok TV. Nak rehat puas-puas. Nak macam-macam lagi. Serius tak sabar!

Hah. Anda pernah dengar frasa kampung akhirat? Ya, sedar tidak sedar, sebenarnya kita ni dalam perjalanan menuju kampung akhirat. Samaada jalan berliku mahupun lurus, penamatnya cuma dua; Syurga atau Neraka. Er. Anda faham tak ni? Kita on the way ke kampung! Dah lama sangat kita kat dunia ni, akhi.

Akhi, tak rasa rindu ke nak balik kampung? Jumpa mereka-mereka yang sudah lama menunggu kita di sana. Percayalah, ahli-ahli syurga sedang tunggu kita, akhi. Tapi kalau akhi tak nak balik syurga, akhi nak ke masuk neraka? Neraka tu pengakhiran paling teruk, akhi. Fikirkanlah. 

Jadi, kenapa nak masuk syurga? Sebabnya, syurga itu kampung, dunia ni ibarat RnR je. Persinggahan sementara mengumpul bekal takwa dan bekal pahala. Sebelum seterusnya meneruskan perjalanan ke syurga. Tapi, kalau tersilap jalan, neraka lah alamatnya. Nau’dzubillah. Akhi tak nak masuk neraka kan? Hm. 

Jadi, kenapa perlu pengorbanan dalam nak masuk syurga ni? Rilek-rilek sudah lah. boleh? Hamboi! Banyak hensem muka anda. Buat pembedahan plastik kah? Er. Kalau imbas kembali cerita para sahabat. Mereka susah payah sekali mempertahankan aqidah dan keimanan yang mereka ada. Sehinggakan mereka sanggup bergadai nyawa untuk menegakkan kebenaran dan menyebarkan apa yang betul. Persoalan sekarang, kenapa perlu perngorbanan? 

Okeh. Saya agak-agak anda semua pernah belajar biologi. Tak kira sekolah menengah atau pun di kolej serta di universiti. Jika betul, kompem anda pernah belajar atau ada dengar-dengar pasal penciptaan manusia. Dari zaigot ke embrio dan seterusnya.

Apa-apa pun, kesemuanya bermula dengan kisah pengembaraan sperma menuju telur ovum. Itu aje. Jangan fikir jauh-jauh sangat! Saya pelempang nanti baru tahu! Dan pada kebiasaannya, orang akan cakap bahawa, “Hah. Kita manusia ni dulu kecik je, besar sperma je. Macam berudu. Dan dari berudu tu lah kita membesar dan jadi manusia yang sedang baca belog ni.” Er. Heheh. 

Saya nak tanya. Betul ke sperma yang berjaya itu adalah diri kita? Benarkah sperma yang terpilih itu merupakan diri kita yang sekarang, yang tengah baca belog ni? Jika betul, anda pernah terbaca tak bahwa ruh manusia ini ditiup ke dalam jasad (kalau tak silap) 40 hari selepas proses kejadian manusia?

Kiranya, senang cerita, sperma itu bukan kita dan kita bukan sperma tu. Er. Anda faham. Macam berbelit sahaja kan? Wah! Ini mengagumkan! Sungguh osemness! Bila difikir kembali, menurut logik akal, jika ada sebuah kereta di kilang yang belum dipasang siap, akan adakah pemandunya? Mestilah tiada!

Dan pabila, sempurna siap dipasang sebuah kereta itu, barulah ada pemandu yang masuk. Memandu kereta kemana sahaja yang ingin dituju. Dan begitu jugalah dengan diri kita ni. Sperma, telur ovum dll tu kiranya macam bahagian-bahagian kereta. Selesai dipasang, barulah kita, dalam bentuk ruh, ditiupkan ke dalam kenderaan berupa jasad seorang manusia ni. 

Kiranya, fizikal kita ni hanyalah kenderaan. Hanya sekadar alat. Lebih kurang macam robot mecha gundam dan kita lah pemandunya. Dan untuk pandu ke mana? Ke mana lagi kalau bukan untuk balik ‘kampung’. Dan pabila disebut alat. Biasanya, alat ni akan digunakan untuk menuju matlamat.

Pasti ada tujuan penciptaan alat. Contoh: Cermin mata (alat) untuk membantu orang rabun (matlamat), kasut (alat) untuk tendang bola (matlamat). Dan sekali lagi, matlamat jasad ini (alat) tercipta adalah untuk menuju ‘kampung’ (matlamat). 

Saya tanya sekali lagi, kenapa perlu perngorbanan? Pandu jeala ‘kenderaan’ tu leklok sampai ‘kampung’. Boleh je kan? Hm. Betul. Memang boleh. Tak salah pun. Dan bila dah sampai ‘kampung’ mesti lah kita nak keluar dari kenderaan kan?

Ahah! Jika kereta ada pintu. Boleh keluar masuk senang camtu je. Jasad kita pun ada pintu jugak. Satu-satunya pintu yang tersedia adalah dengan MATI. Selagi tak mati, selagi tu lah tak boleh keluar dari ‘kenderaan’ ni. Selagi tu jugak lah tak boleh jejak ‘kampung’. 

Hm. Dah sampai ‘kampung’ tapi tak boleh nak keluar dari ‘kenderaan’? Begitulah apa yang dirasakan para sahabat. Mereka dah jelas dengan matlamat hidup. Mereka seakan-akan dah nampak syurga depan mata. Begitu hebat tarbiyyah dari murabbi yang agung, Muhammad saw.

Sebab tu mereka tidak kisah dan tidak gentar untuk mati. Teringat juga satu quote yang agak menarik sebuah dialog musuh Islam. Mereka berkata, “Heish. Kita tak boleh kalahkan tentera Islam sebab mereka berjuang untuk mati.” Ya, mereka tak khuatir untuk mati. Sebab mereka begitu dambakan syurga. 

Kita pula bagaimana? Baru dicubit sedikit sudah mencebik muka buat-buat manja. Baru dirotan, sudah report kepada ibu dan abah di rumah. Haih. Para sahabat dahulu bermati-matian untuk masuk syurga. Kita pula? Hm. Dan pabila menyebut pasal mati. Sesungguhnya cara untuk keluar dari ‘kenderaan’ ini adalah melalui mati (bukan bunuh diri ya). Dan sebaik-baik mati adalah mati syahid. Zass! 

Mari. Apa tunggu lagi, akhi? Jum kita ber’kenderaan’ ke kampung Sorga! :D

MANUSIA SEBENARNYE SEDANG TIDUR TETAPI AKAN BANGUN APABILA IA AKAN MATI..
-Saiyidina Ali Bin Abi Talib-

(p/s: Wowowo! ‘Balik kampung’! Wowowo! ‘Balik kampung’! Hati riaang! Em. Oh ya. Semuga banjir surut secepat yang mungkin. Ameen.)

Sunday, December 16

Aku Budak Usrah (A.B.U.) – Part IV

‘Eh, aku kat mana ni?’ pening. 

Aku berada di satu dimensi yang ternyata asing bagiku. Keliling ku pandang, cuma ada pepasir yang bertandang. Penuh, sejauh mata memandang. Pepasir putih yang halus lagi mulus. Aku berjalan seorang. Terik mentari bagai sangat membahang. Peluh. Penat. Aku duduk berteduh di sebuah pepohon yang melebar dedaunnya. Angin yang berhembus mengusap lembut tubuhku memberi satu rasa lega yang amat ku syukuri. 

Dari jauh, ku lihat ada satu jasad yang juga berjalan seorang, nun jauh terkehadapan sana. Sekilas pandang, seperti seseorang yang sebaya dengan ku. Tubuhnya kurus dan tinggi. Berambut lurus lagi penuh lebat hitam berkilat. Tertanya aku, ‘Siapakah dia?’ Aku cuba merapatinya. Mengejar walau dalam langkah yang tidak terkejar. Namun, ku cuba juga. 

“Tunggu!” ku laung dengan harapan dia berpaling menunggu tibaku. Tidak berhasil. Dia masih menapak tanpa henti. Aku terus melangkah merentasi dataran berpasir yang penuh bukit-bukau itu. Dan aku rebah dek kepenatan yang teramat. Pandanganku kabur. Ku lihat hadapan, dia sudah tiada. 

Entah kenapa. Aku terasa pilu. Kesedihan memalu-malu setiap kali degup jantungku. Siapa dia? Aku masih keliru. 

“Arip. Bangun Arip. Perjalanan kita masih panjang,” kelihatan dia tiba-tiba ada di sebelah ku menyapa penuh lembut. Aku terkedu, langsung tidak tahu apa ingin ku katakan. Aku amati wajahnya. Eh, Farid! 

“Arip, Allah pernah berfirman: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (ugama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan mengukuhkan kedudukanmu.” (47:7). 
Sekarang, sudah tiba masanya untuk Arip menolong ugama ini, satu-satunya ugama yang diredhai Allah,” abang Farid terus menambah. 

“Sekarang, Farid kena pergi dahulu. Arip jangan pernah rasa seorang sebab ikhwah Arip masih ada, setia menemani di atas jalan yang sumpah panjang ini. Dan yang paling penting Allah akan selalu ada untuk jaga Arip,” dia mengakhiri kata dengan sekuntum senyuman yang penuh ikhlas, tiada maksud tersirat. Hatiku bertambah sayu. 

Dan di saat Farid perlahan-lahan melangkah pergi, jauh dan terus menjauh, aku pun terjaga. “Masya Allah. Mimpi rupanya!” aku mengeleng-ngelengkan kepala. Hm. Melihatkan waktu masih awal, aku merebahkan diri kembali, berselimut setelah selesai bertahajud. 

*** 

Ayam berkokok menandakan tibanya pagi. Sinar suria yang tak pernah gundah meliputi Bumi. Aku menggeliat. Melawan nafsu tidur untuk bangkit dari lena. ‘Huargghhh!’ 

Hari ini seperti semalam. Abah seperti biasa telah bergegas ke pejabat di awal pagi lagi. Aku tidak sendiri. Di meja makan, aku bersarapan bersama adik-adikku dan juga Ibu. Air Milo kegemaranku dan mee goreng menjadi taruhan. Dengan nama Allah aku mulakan. Terlihat aku, beberapa pucuk surat di penjuru meja. Aku mengambilnya dan membelek satu persatu. Penuh harapan, agar nama ku tertera di atas sampulannya. 

Melihatkan sepucuk sampul surat berwarna cokelat. Tertera namaku, ‘SYAKIR ZAMRI’. Sedikit gembira, senyuman terukir di raut wajah ku. Segera, aku membukanya. Meneliti setiap satu apa yang terkandung. Mataku tertumpu kepada 3 huruf yang sengaja ditebalhitamkan. 

‘Wah, ini surat tawaran ke KMB!’ Hatiku melonjak keseronokkan. Hajat ku tercapai akhirnya. Sekian lama menanti, semenjak keputusan SPM diumumkan, kini, jawapan menjadi milikku. Alhamdulillah. 

*** 

Seusai mengemas bagasi, aku membaringkan diri di atas katil. Pusingan bilah kipas sedikit memeningkan. Aku mengalihkan pandangan, mengarah ke komputer riba yang baru dibeli Abah. Warnanya putih. Walaupun mungkin senang kotor, aku yakin akan tetap menjaganya penuh bersih. 

‘Wah, leganya! Semua dah siap kemas! Tunggu nak pergi daftar je nanti. Eksaitednya!’ laungku dalam hati. Abah dan Ibu mungkin sedang tidur. Hari sudah lewat malam. Khuatir pula akan mengganggu tidur mereka. 

‘Wah, bestnye!!!’ aku ‘menjerit’ lagi. 

Melihat skrin komputer riba, tertera nombor 1 pada tab friend request. Klik! aku membukanya. Dan terpampang satu profil manusia yang langsung tidak pernah ku kenali. 

‘Eh, siapa pula ni?’ tetikus digerakkan mencari maklumat tambahan mengenai tuan punya profil. 

‘Hm. Bakal senior KMB rupanya,’ pantas, aku klik butang confirm. 

*** 

Di surau, malam selepas pendaftaran Tahun 1, seperti biasa selesai berMaghrib, aku akan duduk di suatu sudut untuk membaca mushaf al-Quran. Baru sahaja ingin ku mulakan ayat pertama, satu jasad datang menerpa aku. 

“Eh, Kamal! Guane cuti? Lama dok jupe mung!” kata lelaki tersebut seraya bersalaman dengan aku. 

“Eh, Amat! Aku okeh je,” aku tersenyum, cuba mengimbas satu-persatu wajah mereka-mereka yang pernah ku kenali. Amat masih tidak berubah, semenjak dari sekolah rendah dahulu lagi. 

“Jom, malam ni makan kat kafe. Aku belanja. Guaner? Bereh?,” Amat memperlawa. 

Sedang kami seronok berborak, mataku tertumpu kepada seorang lelaki yang sedang berada di sebalik tiang surau. Dia duduk seorang. Memandangnya, jelas, seperti aku kenal. Aku meminta diri dan Amat pun pergi. Aku pula segera ke arah lelaki tersebut. Kami bersalaman. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Syakir Zamri, pelajar Tahun satu, kursus perubatan. 

‘Syakir Zamri?’ satu nama yang seperti biasa pernah ku dengar. 

Kami berdua berborak kencang. Masing-masing memperkenalkan diri, dan bercerita mengenai apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran. Aku, sedikit bisu, kerana perasaan malu masih menjadi benteng perbualan. 

Melihat aku yang kurang bercakap, Syakir kemudian bertanya kepada ku, “Siapa nama abang ya? Terlupa pula,” dia tersengih sendirian. 

Haish. Inilah norma kehidupan yang lazim ku lalui. Baru bagitahu nama, terus lupa. Ingin sahaja aku tempeleng dirinya yang tidaklah sebesar mana itu. 

“Nama aku Ariff.. Ariff Kamal,” perasaan geram terpaksa aku kaburi dengan senyuman yang langsung tidak palsu. 

“Ariff? Ya, Allah! Abang lah Ariff Kamal! Dah lama saya cari abang!” dia kelihatan sangat teruja. Dan aku tidak tahu kenapa. Pelik. Sedikit kaget. 

“Hari tu kan kita pernah bersembang kat muka buku baru-baru ni,” Syakir menjelaskan penuh ceria. 

‘Eh, muka buku? Syakir Zamri? Oh, dia ni lah junior yang aku target tu!’ dalam hati, aku berkata penuh rasa teruja. 

*** 

‘Ya, Allah. Apalah abang Farid tengah buat sekarang ya? Tiba-tiba pula rasa rindu,’ aku mengomel sendiri. 

Banyak kenangan yang tercipta. Dan yang paling penting adalah hubungan persaudaraan yang merebat hati-hati kami. Masih teringat pesan abang Farid, “Hubungan persaudaraan ni lagi osem kerana tiada tertaut dengan pertalian darah, cuma ada ikhlasnya kecintaan terhadap Allah.” Jelas. Kata-kata itu masih tersemat dalam sanubari diriku. 

Dua SEM telah berlalu. Abang Farid telah pun pergi menyambung pelajaran ke University Cork Dublin nun jauh di Ireland sana. Hm. ‘Semoga berjaya wahai akhi. Semoga berjaya di dunia dan di akhirat. Kini, aku sudah punya pegangan. Dua tujuan hidup yang pasti. Yakni menjadi ahli Abid dan khalifah.’ Masih segar juga, penerangan panjang lebarnya di malam itu berkenaan matlamat hidup seorang muslim: 

“Allah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di muka Bumi, untuk memakmurkan Bumi itu sendiri. Menjalankan sistem Islam sebagai suatu manhaj yang syumul. Allah nak kita, sebagai khalifah, memurnikan kehidupan di muka Bumi dengan tersematnya Islam sebagai ad-Deen. Dan Allah juga tidak menciptakan kita melainkan untuk beribadah kepadanya. Selain ibadah untuk Allah, semuanya salah. Semuanya mesti terlaksana hanya ikhlas semata-mata kerana Allah sahaja. Tidak lain dan tidak bukan hanya kerana Allah. Bila kita benar-benar faham akan dua tujuan hidup ni, barulah jiwa tidak rasa kosong. Hidup pula akan jadi lebih bermakna secara total. Kerana, kita hidup dan mati hanya kerana Allah Azza Wa Jalla. Kita bernafas, kita makan. Malah, kita berliqa’ sebentar tadi pun kerana Allah. Kita buat apa yang Allah suka dan jauhi apa yang Allah benci,” Abang Farid kemudiannya menghabiskan penerangannya dengan seungkap kata yang penuh makna: 

“Arip. Kita hidup ni, bukan selama-lamanya di dunia. Kat sana nanti, kat akhirat nanti, itulah kehidupan yang sebenar. Nak masuk Syurga atau Neraka, ada di tangan kita. Dan abang harap sangat. Nanti, kita akan sama-sama masuk Syurga sambil berborak kencang seperti hari yang bakal berlalu.” 

‘Sekarang, baru aku faham kenapa kau sanggup bersusah payah. Ukhuwah fillah ya akhi. Jika tidak bertemu kita di dunia ini, semuga bertemu kita di Syurga nanti.’ Hm. Aku senyum sendiri. 

Perlahan, bahuku sengaja di tepuk. Aku berpaling. Syakir sengaja memanggilku ingin bertanya soalan. Hm. Aku tersenyum lagi. Syakir merupakan antara beberapa junior yang sengaja ku pilih untuk di usrahkan. 

Tanpa membuang masa dia pun lantas bertanya, “Abang Arip tak bosan ke asyik buat usrah je?” 

Lagi, aku tersenyum. Aku membuka al-Quran kecil yang sedia ada ku bimbit dari tadi. Seusai membelek penuh santun, aku menghulurkannya kepada Syakir agar dia membaca: 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di Bumi…” (2:30) 

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (51:56) 

“Jadinya, apa? Saya tak faham lah,” kelihatan Syakir yang kebingungan. 

Hm. Aku tersenyum senang. 

*** 

-thepenulisjalanan-

(p/s: Alhamdulillah! Selesai menulis cerita Aku Budak Usrah (A.B.U.). Untuk sesiapa yang terlepas mana-mana bahagian boleh klik kat sini: Part I, Part II, Part III. Masya Allah. Seronoknya selesai menulis. Harap meninggalkan kesan di hati kepada yang membaca. Jazakallah. Sekian)

Saturday, December 15

Aku Budak Usrah (A.B.U.) – Part III

Kehidupan di bumi KMB benar, amat mencabar. Setiap hari aku dihadapkan dengan pelbagai teori saintifik yang harus dicerna secepat yang mungkin. Setiap hari aku didatangkan dengan kerenah dan ragam teman manusia yang berbagai. Setiap hari juga aku mengeluh sendiri. Hm. Mungkin nasib ku memang di arah begini. Bosan. Setiap hari hidup seperti sedia ada diprogramkan. Aku macam robot. 

Bangun pagi, pergi kelas, balik bilik, buat kerja. Buat kerja dan terus buat kerja. Haih. Mengeluh lagi ku sendiri. Agak-agaknya, sampai bila lah aku nak jadi macam ni? Nanti selepas habis belajar, aku akan disibukkan dengan kerja pula. Cukup duit, aku akan kahwin dan disibukkan dengan anak bini pula. Selepas itu, mati. Ini.. Ini.. Ini satu kitaran bodoh! Hm. Tak akan lah benda ni je aku nak buat sampai mati. Haih. Bosannya hidup. 

Aku teringat, tentang kisah tika ku masih kecil sekolah rendah. Setiap kali ditanya apa cita-citaku, aku pantas menjawab, “Nak jadi doktor!” tanpa sebarang keliru atau buntu. Penuh yakin sahaja aku memberi jawapan. Kini, aku bertanya soalan yang sama kepada diriku, ‘Apa cita-cita aku? Apa matlamat hidup aku? Dan yang paling penting, apa tujuan hidup aku? Hm.’ Jelas, aku tidak punya jawapan skemanya. 

Kemudian, telefon ku menyanyi. Sedikit, hati ku terhibur dek alunan bunyi yang dimainkan. Sengajaku biarkan ia berlagu tidak mahu diangkat. Menenangkan dan menghiburkan. Aku tenggelam dalam imaginasi alunan perasaan. Tenggelam. Hanyut. Sehinggalah telefonku terdiam. Ia kemudiannya mengeluarkan bunyi keluhan menandakan ada mesej: 

“Salam. Arip, jom malam hujung minggu ni kita berbulatan kat bilik Farid. Jangan lupa bawa al-Quran dan hati yeh. In sha Allah dipermudahkan :)” 

‘Hm. Tak habis-habis dia ni,’ keluhan bercampur rasa ingin berontak. Setiap minggu, abang Farid akan memanggilku dan beberapa yang lain untuk berbulatan bersamanya. Ulang suara: Setiap minggu! 

'Apa dia ingat aku tak ada benda lain nak buat ke?’ Geram. Sudahlah aku semakin mula bosan dengan kehidupan di KMB. Ditambah pula dengan bulatan mingguan yang dibuat. Bosan! Hm. Walaupun di rumah aku dimanjakan Mama, dalam jiwaku terbit satu sisi yang suka memberontak walau dalam diam. Ya, aku gemar memberontak! 

Tapi bila difikirkan kembali. Boleh sahaja jika aku tidak datang ke majlis bulatan yang diadakan. Bukan ada yang nak marah pun. Hm. Entahlah. 

*** 

Malam itu, bulatan atau disebut liqa’ terlaksana dengan penuh damai. Walaupun ada dua usrah mate yang tidak hadir, langsung tidak merencatkan perlaksanaannya. Selesai berliqa’, setelah semua telah pergi, aku menahan abang Farid. Aku ingin bertanya sesuatu padanya. Satu soalan yang hampir mustahak. 

“Er. Farid, tak bosan ke asyik buat liqa’ je?” aku bertanya. 

Farid sedikit terkejut namun masih tersenyum dengan soalan yang ku ajukan. Dia diam, berfikir sejenak. Mungkin sedang menyusun ayat, aku menduga. Kerana dia selalu begitu. Sentiasa berhati-hati dengan apa yang keluar dari mulutnya. Oleh sebab itu juga aku senang menerima jawapan daripadanya. Setiap katanya terkandung hikmah. 

“Hm. Kenapa pulak nak bosan?” Farid menjawab dengan persoalan. Satu jawapan yang kurang seronok didengari. 

“Yalah. Setiap minggu jumpa kitorang. Lepas tu, ada yang tak datang. Kalau datang pun, buat dengar tak dengar je,” aku menjawab penuh cermat. 

“Hm. Sebab itu lah, kita hidup kena ada matlamat yang jelas,” ringkas dia membalas. Aku terpinga. Apa pulak kena-mengena dengan matlamat hidup segala bagai ni? Konpius. 

“Hm. Arip pernah tak rasa hidup Arip macam tak ada makna? Meaningless,” Farid menambah. 

“Pernahlah jugak. Kenapa?” aku masih konpius. 

“Biasanya, orang yang rasa hidup diorang tak ada makna ni, adalah orang yang tak cukup jelas dengan matlamat hidup diorang,” lagi, Farid membuat ku terpinga menunggu jawapan. 

“Jadi, apa matlamat hidup kita sebenarnya?” aku semakin kurang sabar. 

“Em. Cuba bukak al-Quran tu kejap,” Farid memuncungkan mulutnya mengarah ke al-Quran kecil berwarna putih yang ku pegang. Aku menurut penuh akur. Zip al-Quran poket, cermat ku buka. 

“Cuba bukak surah 2 ayat 30 dengan surah 51 ayat 56,” padat, Farid memberi arahan. 

Aku membelek helaian al-Quran kecil penuh tertib. Mencari dua ayat yang disuruh tadi. Hm. Membelek dan membelek lagi. Dan aku berhasil menjumpai ayat-ayat tersebut: 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di Bumi.” (2:30) 

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (51:56) 

“Jadinya, apa? Saya tak faham lah,” aku yang sedia ada konpius, bertambah semakin bingung. 

*** 

‘Wah, sudah hampir 1 SEM aku kat sini! Peperiksaan dah selesai. Sekarang masa untuk cuti pula. Yeah!’ aku menjerit gembira dalam diam. 

Setibanya di rumah, aku pantas mendapatkan Mama yang menunggu ku di muka pintu banglo mewah bertingkat dua itu. Mama kelihatan amat gembira dengan kepulanganku. Tidak kurang juga Papa, dia juga ternyata ceria menyambut pulang anak tunggalnya. Selesai membayar tambang teksi, aku segera ke bilik tidur ku di tingkat atas. 

Pintu dibuka dan aku terus melompat ke atas katil empuk itu. ‘Ah, seronoknya! Lama betul aku tak balik rumah.’ 

Melihatkan jarum jam Seiko menunjukkan hampir pukul 7, aku segera mandi dan bersiap untuk ke surau yang terletak tidak jauh dari rumah. Malam itu aku mengenakan seluar jeans kelabu dan baju T serta memakai snow cap untuk ke surau. Laju, aku menuruni tangga. 

Seperti biasa, sebelum keluar rumah, aku akan berjumpa Mama dahulu untuk beritahu akan keluar ku. Kemudian, barulah aku keluar menunggang motor Suzuki biru, hadiah ulang tahun kelahiran ku yang ke-18. Setibanya di surau, imam telah mula mengangkat takbir. Aku laju menuju saf pertama tidak mahu melepaskan peluang mendapat ‘bonus’ berganda. 

Selesai solat, aku duduk di penjuru surau. Melihatkan suasana yang lengang, sepi dari kehadiran remaja, aku berfikir panjang. Namun, lamunanku terhenti di saat disapa pak cik-pak cik surau. 

Salah seorang daripada mereka berkata, pedas memerli, “Kamu ni nak pergi solat ke nak pergi shopping mall? Tak ada baju lain ke nak pakai?” 

Pelik. Aku agak panas dengan kata-kata pak cik yang aku tak kenali tersebut. Ingin sahaja aku membalas kata. Tapi aku bersabar, mengenangkan aku hanyalah seorang pemuda yang tak reti ilmu ugama. Mungkin benar apa yang dia kata. Tertunduk, aku mendengar bicaranya. 

“Heish. Macam manalah Islam nak naik semula, kalau kamu ni pakai macam ni ke surau. Orang bukan Islam pun pandang sebelah mata je dekat kamu. Surau ni tempat orang buat ibadat kamu tahu?!” pak cik tersebut sedikit meninggikan suara. 

Lagi, aku bersabar. Mulut ku kunci rapat. Telinga ku tahan tenat, pedih disambar kata-kata yang langsung menghambat. 

“Pak cik bukan apa, kamu tu orang Islam. Pak cik pun orang Islam. Nanti sebab kamu, imej Islam tercemar,” pak cik tersebut menambah lagi. 

Hm. Sabar ku memuncak mengatasi batas limitasi. Aku diam sejenak. Memandangnya tajam. 

“Pak cik. Pak cik sihat?” aku bertanya lembut, bertopengkan wajah budak baik, di sebalik hati yang memberontak. 

“Er. Pak cik sihat je,” pak cik tersebut menjawab perlahan, kaget dengan soalan aku. 

“Em. Alhamdulillah. Baguslah,” aku menambah penuh sinis. Aku, lalu membawa diri ke luar surau. Merah padam menyala muka pak cik itu. Rakan-rakan pak cik tersebut geli hati melihat tingkah ku. Kelihatan, pak cik tersebut bermuka tidak puas hati namun tunduk malu pada diri sendiri. 

Di ruang itu, aku membuka mushaf al-Quran, membaca penuh tartil. 

*** 

Kenyang. Aku merebahkan diri ke atas katil. Masakan Mama memang tidak pernah mengecewakan. Selalu sahaja berhasil membuat aku seronok melahap makanan. Namun, memikirkan perilaku aku di surau sebentar tadi, membuat ku sedikit kurang senang. Rasa serba salah kerana berlaku agak kurang ajar dengan pak cik tersebut. Hm. 

‘Mungkin aku salah. Mungkin aku benar,’ fikirku sendiri. 

Walaubagaimanapun, aku masih tidak boleh menerima kritikan pedas pak cik tersebut. Manakan ada remaja-remuji yang ingin berkunjung ke masjid atau surau jika dilayan sebegitu rupa. Remaja ini golongan manusia yang suka memberontak dan dalam proses mencari hala tuju dalam kehidupan. Jika diramah seperti itu, bagaimana mungkin golongan pewaris tampuk pemerintahan di masa hadapan ini akan lekat hatinya di masjid dan surau? Remaja memerlukan bimbingan, kritikan yang membina. Bukan kutukan, kritikan yang menghancur moral seorang yang berdarah muda. Hm. 

‘Ah! Apa-apa pun, benda dah berlaku,’ aku menghentikan monolog dalaman diriku. Satu ayat al-Quran yang pernah dibentangkan dalam liqa’, tiba-tiba menjengah tiba melewati laman pemikiranku: 

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini” (25:63) 

Harapnya, aku sungguh menepati ciri-ciri Ibadurrahman yang termaktub dalam surah al-Furqan. Ameen. 

‘Hm. Agak-agak, apa abang Farid tengah buat sekarang ya?’ fikiran ku melayang mengarah pula kepada murabbi ku. 

Pejam celik, pejam celik rupa-rupanya sudah 1 SEM aku ni ikut usrah. Perubahan? In sha Allah ke arah yang lebih baik. Banyak ilmu yang dapat ku peroleh. Dan setiap satunya sangat-sangat berguna sebagai pedoman hidup. Pemandu arah ke jalan yang lurus. Tidak dapat ku bayangkan hidup ku kini jika tidak menyertai bulatan usrah tersebut. 

Mungkin sahaja aku masih bermain-main dengan angan-angan yang langsung tak hebat. Mungkin sahaja aku masih terperangkap dalam kitaran bodoh. Mungkin sahaja aku masih terpinga-pinga mencari satu titik tuju, matlamat hidupku. Hm. Matlamat hidup? Aku tersenyum. 

Perlahan-lahan, mata ku memejam membawa ku melayari bahtera mimpi ke lembah penuh imaginasi. Wah!

***

-thepenulisjalanan-

(p/s: Alhamdulillah. Selesai A.B.U - part III. Selamat membaca!)

Wednesday, December 12

Semuga Terus Thabat dan Kuat!










(p/s: Hm. Semuga terus thabat dan kuat. Er. Ulang ayat sama lagi. Hahah)

Sunday, December 9

Aku Budak Usrah (A.B.U.) – Part II

Berat. Hatiku berat untuk ke KMB yang menawarkan diploma IB sebagai taruhan. Kursus Perubatan yang didambakan menjadi pemangkin semangat untuk menapak ke sana pula. Haih. Mengeluh panjang. Panjang lagi. 

Jika dibenak fikiran, aku sebenarnya mahukan UIAM sebagai destinasi. Ya,lah. Perkataan ‘ISLAM’ sudah jelas tertera pada nama nya. Pasti suasana dan penghidupan di sana lebih islamik. Bukan seperti KMB yang beerti Kolej MARA Banting. Langsung tiada ciri tarbawiy pada namanya. 

Tapi entah. Seusai solat istikharah, hati ku tergerak untuk pergi ke KMB pula. Benar-benar berlawanan dengan akal pemikiranku. Apa-apa pun, etlis aku kini punya jawapan. Tidak perlulah aku garu-garu kepala sambil pura-pura menjawab telefon dan makan kit kat jika ditanya Mama dan Papa lagi. Heh. :P 

Tarikh pendaftaran yang kian menghampiri memaksaku untuk mempersiapkan diri dari segi fizikal, mental dan ruhi. Eh, kenapa ruhi? Cikgu aku pernah kata, bahwa, kebanyakkan pelajar lepasan SPM biasanya akan berubah sementelah memasuki alam per-kolej-an atau per-universiti-an. Dan, jelas, aku tak mahu berubah ke arah yang buruk. 

Walaupun aku ni bukanlah budak sekolah agama, aku tetap yakin bahawa Islam adalah paksi utama yang mengacu penghidupan yang sejahtera. Aku yakin. 

*** 

Seusai mengemas bagasi, aku membaringkan diri di atas katil. Pusingan bilah kipas sedikit memeningkan. Aku mengalihkan pandangan, mengarah ke komputer riba yang baru dibeli Papa. Warnanya hitam. Susah sikit nak kotor. Al-maklumlah, aku ni jenis yang cerewet sedikit. Tak suka kalau barangan ku kelihatan tidak bersih. 

“Wah, leganya! Semua dah siap kemas! Tunggu nak pergi daftar je nanti. Eksaitednya!” laungku sekuat hati. Papa dan Mama tiada di rumah, pergi kerja. Aku pula anak tunggal. Sekuat mana pun aku menjerit, pasti tiada yang terkesan. 

“Wah, bestnye!!!” aku menjerit lagi. 

Melihat skrin komputer riba, tertera nombor 1 pada tab friend request. Klik! aku membukanya. Dan terpampang satu profil manusia yang langsung tidak pernah ku kenali. 

‘Eh, siapa pula ni?’ tetikus digerakkan mencari maklumat tambahan mengenai tuan punya profil. 

‘Hm. Bakal senior KMB rupanya,’ pantas, aku klik butang confirm. 

Lalu, di dindingnya aku tulis: Thnx coz add. 

Dia pantas membalas: Wc :) 

Kemudian, bermulalah sesi perkenalan aku bersama insan asing entah dari mana datang. Katanya, dia merupakan senior KMB yang bertugas untuk mengalu-alukan kedatangan junior baru. Aku turut di invite ke grup Official KMB. Di akhir kata, dia memberi aku no telefon h/p nya agar mudah untuk aku menghubungi bertanyakan apa-apa yang berkenaan. 

‘Wah, ini sangat mantap!’ Mataku bersinar terang penuh teruja. 

*** 

Berat. Sekali lagi berat untuk aku berangkat melepaskan pandangan dari arah Papa dan Mama. Aku ini anak tunggal. Dan aku amat rapat dengan Mama. Memandangkan ini merupakan pengalaman pertama ku hidup berjauhan dengan Papa dan Mama, aku sedikit sebak. Namun, rasa sedih yang menghambat perasaan cepat-cepat aku buang, sebelum air mata kejantanan membasahi pipi ku. Ahaks! 

Aku melambaikan tangan ke arah mereka dengan sekilas senyuman. Samar-samar, bayang dan kelibat mereka hilang dari pandangan. Aku beralih berjalan pulang ke bilik. Sayu. 

Di sini, aku duduk di bilik A244. Biliknya tidaklah sebesar bilikku di rumah sana. Bilik ini hanya mampu memuatkan dua katil saiz single, dua loker dan dua meja. Sempit. Pemikiranku melayang jauh ke bilik di rumah. Besar. Ceria. Dan dipenuhi dengan buku-buku komik kegemaranku. Sangat membahagiakan. Umpama syurga di atas dunia. 

“Assalamualaikum, kau ni siapa?” satu suara datang menerjah dari belakang. 

“Er. Aku Ariff. Kau ni siapa pulak?” aku kembalikan soalan padanya. 

“Aku Firdauz. Firdauz Jauhar. Kau duduk bilik ni jugak ke?” sedikit senyum dia bertanya ringkas. 

Perlahan aku mengangguk. 

Di sinilah, bermulanya persahabatan ku dengan teman sebilikku itu. Firdauz merupakan bekas pelajar Sekolah Sains Seremban atau lebih dikenali sebagai SASER. Dia berasal dari Kelantan. Mukanya panjang dan amat petah berbicara. Mukanya yang mesra membuatkan dirinya mudah mendapat kawan. 

Tidak sepertiku. Aku sedikit malu untuk memulakan perbicaraan atau mencari kenalan baru. Aku lebih selesa bersendiri, hidup dalam dunia imaginasi ku. Jika diimbau kembali, di sekolah lama, Iman seorang sahajalah kenalan ku. Sahabat yang lain hanya setakat ku tahu namanya sahaja. Tidak lebih dari itu. Namun, aku bukan sombong. Cuma malu untuk membuka mulut. Mungkin dek terlalu dimanja Mama, aku sedikit inferior terhadap mereka yang di sekeliling ku. Hm. 

*** 

Di surau, seperti biasa selesai berMaghrib, aku akan duduk di suatu sudut untuk membaca mushaf al-Quran. Baru sahaja ingin ku mulakan ayat pertama, satu jasad datang menerpa aku. 

“Eh, Kamal! Mung belajo sini jugok ghupenye! Lama dok jupe mung!” kata lelaki tersebut seraya bersalaman dengan aku.

'Kamal? Sudah lama aku tidak mendengar orang memanggilku dengan nama kedua.' Aku segera berpaling. Satu jasad yang agak gempal sedang duduk bersila tersenyum panjang di sebelah aku.

“Er. Kau ni Amat, kan?” sedikit bingung, aku cuba mengimbas satu-persatu wajah mereka-mereka yang pernah ku kenali. Aku yakin, dia ialah Amat, kenalan ku di sekolah rendah dahulu. 

“Oh, ye doh orh! Mung bakpe cakap KL nge aku ni? Lupa cakap ganu doh ke?” Amat memerliku. 

Aku sebenarnya, merupakan anak kelahiran Terengganu. Pernah menetap di negeri penyu hampir 15 tahun. Disebabkan Papa dan Mama bukanlah orang Terengganu, semenjak berpindah rumah, aku tidak lagi menggunakan loghat Terengganu dalam percakapan harian ku. 

“Er. Aku boleh je nak cakap Terengganu. Takut orang tak faham je. Heheh,” aku membalas dengan tawa kecil. 

Sedang kami seronok berborak, bercerita mengenai kisah kanak-kanak kami di Sekolah Kebangsaan Bukit Besi, datang pula seorang lagi lelaki. Memandangnya, jelas, bukan yang aku kenal. Kami bersalaman. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Farid Dahlan, pelajar Tahun dua, kursus kejuruteraan. 

‘Farid Dahlan?’ satu nama yang seperti biasa pernah ku dengar. 

Kami bertiga berborak kencang. Masing-masing memperkenalkan diri, dan bercerita mengenai apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran. Aku, sedikit bisu, kerana perasaan malu masih menjadi benteng perbualan. 

Melihat aku yang kurang bercakap, Farid kemudian bertanya kepada ku, “Siapa nama kau ya? Terlupa pula,” dia tersengih sendirian. 

Haish. Inilah norma kehidupan yang lazim ku lalui. Baru bagitahu nama, terus lupa. Kalau di ikutkan hati, ingin sahaja aku tempeleng dirinya yang tidaklah sebesar mana itu. 

“Nama aku Ariff.. Ariff Kamal,” perasaan geram terpaksa aku kaburi dengan senyuman palsu. 

“Ariff? Ya, Allah! Kau lah Ariff Kamal! Dah lama aku cari kau!” dia kelihatan sangat teruja. Dan aku tidak tahu kenapa. Pelik. Sedikit kaget. 

Amat juga seperti aku, hairan, “Abang dah lama kenal Ariff ke?” tanya Amat pada senior tersebut. 

“Tak adalah kenal sangat. Cuma pernah lah jugak bersembang kat muka buku baru-baru ni,” Farid menjelaskan. 

‘Eh, muka buku? Farid Dahlan? Oh, dia ni lah senior yang add aku kat muka buku tu!’ dalam hati, aku berkata penuh rasa teruja. 

*** 

-penulisjalanan- 

p/s: Alhamdulillah! Siap A.B.U. bahagian kedua. Teruskan membaca, ya. Entah kenapa, aku pun turut teruja untuk menghabiskan keseluruhan cerita. Harapnya, anda pun begitu juga. Aman tanpa perang :)

Saturday, December 8

Umur 12

“Mak, esok hari apa eh?” tanya adik.

"Esok hari Jumaat,” jawab emak ringkas.

“Eh, Jumaat!?” adik sedikit kaget.

'Hm.. Sindrom budak sekolah tengah cuti: hari, tarikh semua dilupa...' ngomelku dalam diam.

“Kenapa?” emak bertanya penuh hairan.

“Tadi kawan adik ajak main futsal esok pukul 11.00. Adik tak ingat pulak esok hari Jumaat…” adik berhenti seketika meneguk air. 

“Kalau hari Jumaat (tengah hari) macam mana nak main? Kan kena solat Jumaat,” adik mengakhiri kata.

Aku yang duduk di sebelah tersenyum kagum dengan cara adik berfikir. 

Kenapa aku kagum? Sebab aku dapat lihat keinginan adik untuk mendengar khutbah Jumaat. Dia tak mahu main futsal kerana khuatir akan keletihan dan langsung terlelap pula.

Kenapa aku kagum? Sebab aku dapat lihat adik tahu mana satu keutamaan yang lebih utama. Adik lebih utamakan pencipta dari yang dicipta. Adik dahulukan kewajipan daripada kawan-kawan.

Kenapa aku kagum? Sebab adik baru berumur 12 tahun. :)

Nak lagi kagum? Di bawah ini ada satu status yang dipost adik aku. Sila baca:


Kenapa aku kagum? Sebab aku dapat lihat adik punya naluri seorang dae'i di situ. Kalau di compare dengan aku, amat jarang pula post status berunsur tarbawiy seperti itu. 

Kenapa aku kagum? Sebab aku dapat lihat yang adik rasa izzah dengan title Muslim. Dan inshaAllah bukan setakat ada rasa itu (izzah) malah turut beramal dengannya.

Sekali lagi, kenapa aku kagum? Sebab adik baru berumur 12 tahun. ;)

Kita bagaimana pula ya?

Oh, adik. Anda membuatkan abangmu insaf seketika. Hm. Harapnya, bukan untuk seketika cuma, tapi untuk selama-lamanya :')

(p/s: inshaAllah adik akan masuk sekolah tahfiz -apakebendeentah-. jom, doakan adik berjaya masuk. ameen. oh, ya. befday adik selasa baru-baru ni. saje nak cakap. bye)

Tuesday, December 4

Aku Budak Usrah (A.B.U.) - Part I

Ayam berkokok menandakan tibanya pagi. Sinar suria yang tak pernah gundah meliputi Bumi. Aku menggeliat. Melawan nafsu tidur untuk bangkit dari lena mimpi. ‘Huargghhh!’

Hari ini seperti semalam. Papa dan mama seperti biasa telah bergegas ke pejabat di awal pagi lagi. Aku sendiri. Di meja makan, aku bersarapan. Air Milo kegemaranku dan nasi goreng menjadi taruhan. Dengan nama Allah aku mulakan. Terlihat aku, beberapa pucuk surat di penjuru meja. Aku mengambilnya dan membelek satu persatu. Penuh harapan, agar nama ku tertera di atas sampulannya. 

Melihatkan sepucuk sampul surat berwarna cokelat. Tertera namaku, ‘ARIFF KAMAL’. Sedikit gembira, senyuman terukir di raut wajah ku. Segera, aku membukanya. Meneliti setiap satu apa yang terkandung. Mataku tertumpu kepada 4 huruf yang sengaja ditebalhitamkan.

‘Wah, ini surat tawaran ke UIAM!’ Hatiku melonjak keseronokkan. Hajat ku tercapai akhirnya. Sekian lama menanti, semenjak keputusan SPM diumumkan, kini, jawapan menjadi milikku. Alhamdulillah. 

Sungguh, aku berasa sangat senang. Ingin sahaja aku berlari ke gagang menelefon mama untuk berkongsi rasa gembira. Pasti Mama akan turut melompat kegirangan. Pasti. 

Mataku kemudian tertumpu pula kepada sepucuk surat yang lain. Sampulnya berwarna putih. Dan, jelas, namaku betul dieja padanya. Sedikit hairan, aku perlahan-lahan membukanya.

‘MasyaAllah. Ini surat tawaran ke KMB!’ Aku semakin seronok berganda-ganda. Kali ini, aku betul-betul gembira! Manakan tidak, dalam satu hari, dua surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran telah ku terima. Ini sangat mantap! Yess! Wohoo!

'Tapi apa bendakah KMB ini?' menggaru kepala, aku naik hairan. 'IB? Uish. Apa pulak ni?' Hm..

***

Baru je nak gembira sedikit, sekarang aku kembali runsing. 

Tadi, setelah tibanya petang, aku bergegas berlari-lari anak mendapatkan Mama dan Papa yang baru sahaja pulang. Aku menunjukkan kedua surat tawaran yang ku terima. Jelas, mereka juga turut gembira, bangga punyai anak seperti aku. 

Namun, baru aku sedar. Bahwa aku hanya boleh pilih satu sahaja dari dua tawaran tersebut. Mama dan Papa tidak mahu memaksaku. Mereka sedar, aku sudah besar dan ini jalan cerita hidupku. Samaada berliku-liku atau berbatu-batu. Samaada beronak duri atau dipenuhi pelangi. Semuanya kini terletak di tanganku. Mereka memberiku sepenuh kuasa untuk membuat pilihan.

Mama pernah kata, "Mama tak boleh nak paksa Arip buat pilihan. Ni pasal masa depan Arip. Cuma, Mama nak nasihat Arip, supaya betul-betul jelas dengan mana hala tuju hidup Arip. Mama nak Arip cari apa matlamat hidup Arip yang sebenar."

‘Matlamat hidup? Haish! Runsing! Runsing!’ hati ku menjerit kebingungan. Manakan mampu aku membuat keputusan yang penting seperti ini.

Masih segar dalam ingatan, pertama kali aku dihadapkan dengan dua pilihan dalam kehidupan. 

“Arip! Arip nak aiskerim cokelat ke aiskerim vanila?” tanya Papa ketika kami sekeluarga di taman permainan.

Aku yang masih kanak-kanak dengan selambanya memilih aiskerim vanila sebagai pilihan. Er. Entah. Bila difikirkan kembali, mungkin langsung tiada kaitan dengan situasi aku di ketika ini. Hadoi! -.-‘

***

Tarikh melapor diri semakin rapat dan kata putus masih tiada dalam genggaman eratku. Haish!

Seminggu sudah berlalu. Dan hampir setiap masa lapangku tanya mereka yang lebih berpengalaman tentang kedua-dua tawaran yang dihadapkan. Ku tanya guru, senior, serta abang-abang dan saudara-mara yang berkaitan.

Walaubagaimanapun, segala usahaku hanya mencambah kekeliruan. Aku semakin buntu. Pertanyaanku dibalas dengan seribu satu kelebihan dan kekurangan kedua-dua tawaran. Ada yang cakap begini. Ada yang cakap begitu. Masa semakin cemburu. Dan aku hampir kalah pada waktu.

Terduduk, aku termenung panjang. Ke awangan pemikiranku melayang tinggi nun jauh di angkasa raya.

Telefonku menyanyi. Menandakan ada kenalan yang menghantar mesej. Aku mengambil Nokia 3310 dengan tertib. Tertera nama sahabatku, IMAN SHAFEEI. Hm. Cepat sahaja dia membalas mesej ku sebentar tadi.

Iman ni macam pak ustaz sedikit. Selalu sahaja dia memberi tazkirah di sela waktu antara maghrib dan isya’ di surau sekolah dahulu. Walaupun kami berlainan kelas mahupun bilik, entah bagaimana, kami menjadi kawan rapat. Iman selalu sahaja menasihati ku dalam segala macam hal. Aku pula selalu membantunya dalam pelajaran. Sudah 5 bulan lamanya, kami tidak bersua beramah mesra, ketawa mengenangkan cerita-cerita lama. Kenangan oh kenangan.

Aku membaca mesejnya:

Arip, saya dengar kamu dapat dua tawaran untuk melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah. Cumanya, kalau kamu sukar membuat pilihan, saya syorkan kamu untuk solat sunat istikharah. InshaAllah. Nanti Allah tunjuk jalan. ^.^ 

Terima kasih, Iman. Sekali lagi, kau ternyata memberi ku jawapan tatkala aku bingung memikir haluan. Inilah Iman yang aku kenali. Nasihatnya selalu sahaja kena dengan situasi yang aku hadapi.

***

Malam itu, sebelum mata terpejam melayari dunia mimpi, aku berdiri membentang sejadah. Menghadap kiblat, aku bersolat istikharah. Penuh harapan agar Allah tunjukkan jalan.

[Tamat A.B.U. - Part I]

-penulisjalanan-

p/s: Dah lama aku tak update belog. Puncanya adalah kekeliruan matlamat dalam penulisan. Baru-baru ni aku temui jawapan. Dan inshaAllah aku akan kembali mengangkat mata pena! Er. Maksud aku, mengangkat papan kekunci! Hihi. Oh, ya! Ini merupakan hasil cerpen pertama seratus peratus karya penulis jalanan. Harapnya, taruhan ini menjadi saksi yang bisa menyentuh hati sidang pembaca. Ameen. Segala kritikan mahupun kutukan dialu-alukan. Jazakallah aku dahulukan. :)