Pages

Followers

Sunday, December 9

Aku Budak Usrah (A.B.U.) – Part II

Berat. Hatiku berat untuk ke KMB yang menawarkan diploma IB sebagai taruhan. Kursus Perubatan yang didambakan menjadi pemangkin semangat untuk menapak ke sana pula. Haih. Mengeluh panjang. Panjang lagi. 

Jika dibenak fikiran, aku sebenarnya mahukan UIAM sebagai destinasi. Ya,lah. Perkataan ‘ISLAM’ sudah jelas tertera pada nama nya. Pasti suasana dan penghidupan di sana lebih islamik. Bukan seperti KMB yang beerti Kolej MARA Banting. Langsung tiada ciri tarbawiy pada namanya. 

Tapi entah. Seusai solat istikharah, hati ku tergerak untuk pergi ke KMB pula. Benar-benar berlawanan dengan akal pemikiranku. Apa-apa pun, etlis aku kini punya jawapan. Tidak perlulah aku garu-garu kepala sambil pura-pura menjawab telefon dan makan kit kat jika ditanya Mama dan Papa lagi. Heh. :P 

Tarikh pendaftaran yang kian menghampiri memaksaku untuk mempersiapkan diri dari segi fizikal, mental dan ruhi. Eh, kenapa ruhi? Cikgu aku pernah kata, bahwa, kebanyakkan pelajar lepasan SPM biasanya akan berubah sementelah memasuki alam per-kolej-an atau per-universiti-an. Dan, jelas, aku tak mahu berubah ke arah yang buruk. 

Walaupun aku ni bukanlah budak sekolah agama, aku tetap yakin bahawa Islam adalah paksi utama yang mengacu penghidupan yang sejahtera. Aku yakin. 

*** 

Seusai mengemas bagasi, aku membaringkan diri di atas katil. Pusingan bilah kipas sedikit memeningkan. Aku mengalihkan pandangan, mengarah ke komputer riba yang baru dibeli Papa. Warnanya hitam. Susah sikit nak kotor. Al-maklumlah, aku ni jenis yang cerewet sedikit. Tak suka kalau barangan ku kelihatan tidak bersih. 

“Wah, leganya! Semua dah siap kemas! Tunggu nak pergi daftar je nanti. Eksaitednya!” laungku sekuat hati. Papa dan Mama tiada di rumah, pergi kerja. Aku pula anak tunggal. Sekuat mana pun aku menjerit, pasti tiada yang terkesan. 

“Wah, bestnye!!!” aku menjerit lagi. 

Melihat skrin komputer riba, tertera nombor 1 pada tab friend request. Klik! aku membukanya. Dan terpampang satu profil manusia yang langsung tidak pernah ku kenali. 

‘Eh, siapa pula ni?’ tetikus digerakkan mencari maklumat tambahan mengenai tuan punya profil. 

‘Hm. Bakal senior KMB rupanya,’ pantas, aku klik butang confirm. 

Lalu, di dindingnya aku tulis: Thnx coz add. 

Dia pantas membalas: Wc :) 

Kemudian, bermulalah sesi perkenalan aku bersama insan asing entah dari mana datang. Katanya, dia merupakan senior KMB yang bertugas untuk mengalu-alukan kedatangan junior baru. Aku turut di invite ke grup Official KMB. Di akhir kata, dia memberi aku no telefon h/p nya agar mudah untuk aku menghubungi bertanyakan apa-apa yang berkenaan. 

‘Wah, ini sangat mantap!’ Mataku bersinar terang penuh teruja. 

*** 

Berat. Sekali lagi berat untuk aku berangkat melepaskan pandangan dari arah Papa dan Mama. Aku ini anak tunggal. Dan aku amat rapat dengan Mama. Memandangkan ini merupakan pengalaman pertama ku hidup berjauhan dengan Papa dan Mama, aku sedikit sebak. Namun, rasa sedih yang menghambat perasaan cepat-cepat aku buang, sebelum air mata kejantanan membasahi pipi ku. Ahaks! 

Aku melambaikan tangan ke arah mereka dengan sekilas senyuman. Samar-samar, bayang dan kelibat mereka hilang dari pandangan. Aku beralih berjalan pulang ke bilik. Sayu. 

Di sini, aku duduk di bilik A244. Biliknya tidaklah sebesar bilikku di rumah sana. Bilik ini hanya mampu memuatkan dua katil saiz single, dua loker dan dua meja. Sempit. Pemikiranku melayang jauh ke bilik di rumah. Besar. Ceria. Dan dipenuhi dengan buku-buku komik kegemaranku. Sangat membahagiakan. Umpama syurga di atas dunia. 

“Assalamualaikum, kau ni siapa?” satu suara datang menerjah dari belakang. 

“Er. Aku Ariff. Kau ni siapa pulak?” aku kembalikan soalan padanya. 

“Aku Firdauz. Firdauz Jauhar. Kau duduk bilik ni jugak ke?” sedikit senyum dia bertanya ringkas. 

Perlahan aku mengangguk. 

Di sinilah, bermulanya persahabatan ku dengan teman sebilikku itu. Firdauz merupakan bekas pelajar Sekolah Sains Seremban atau lebih dikenali sebagai SASER. Dia berasal dari Kelantan. Mukanya panjang dan amat petah berbicara. Mukanya yang mesra membuatkan dirinya mudah mendapat kawan. 

Tidak sepertiku. Aku sedikit malu untuk memulakan perbicaraan atau mencari kenalan baru. Aku lebih selesa bersendiri, hidup dalam dunia imaginasi ku. Jika diimbau kembali, di sekolah lama, Iman seorang sahajalah kenalan ku. Sahabat yang lain hanya setakat ku tahu namanya sahaja. Tidak lebih dari itu. Namun, aku bukan sombong. Cuma malu untuk membuka mulut. Mungkin dek terlalu dimanja Mama, aku sedikit inferior terhadap mereka yang di sekeliling ku. Hm. 

*** 

Di surau, seperti biasa selesai berMaghrib, aku akan duduk di suatu sudut untuk membaca mushaf al-Quran. Baru sahaja ingin ku mulakan ayat pertama, satu jasad datang menerpa aku. 

“Eh, Kamal! Mung belajo sini jugok ghupenye! Lama dok jupe mung!” kata lelaki tersebut seraya bersalaman dengan aku.

'Kamal? Sudah lama aku tidak mendengar orang memanggilku dengan nama kedua.' Aku segera berpaling. Satu jasad yang agak gempal sedang duduk bersila tersenyum panjang di sebelah aku.

“Er. Kau ni Amat, kan?” sedikit bingung, aku cuba mengimbas satu-persatu wajah mereka-mereka yang pernah ku kenali. Aku yakin, dia ialah Amat, kenalan ku di sekolah rendah dahulu. 

“Oh, ye doh orh! Mung bakpe cakap KL nge aku ni? Lupa cakap ganu doh ke?” Amat memerliku. 

Aku sebenarnya, merupakan anak kelahiran Terengganu. Pernah menetap di negeri penyu hampir 15 tahun. Disebabkan Papa dan Mama bukanlah orang Terengganu, semenjak berpindah rumah, aku tidak lagi menggunakan loghat Terengganu dalam percakapan harian ku. 

“Er. Aku boleh je nak cakap Terengganu. Takut orang tak faham je. Heheh,” aku membalas dengan tawa kecil. 

Sedang kami seronok berborak, bercerita mengenai kisah kanak-kanak kami di Sekolah Kebangsaan Bukit Besi, datang pula seorang lagi lelaki. Memandangnya, jelas, bukan yang aku kenal. Kami bersalaman. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Farid Dahlan, pelajar Tahun dua, kursus kejuruteraan. 

‘Farid Dahlan?’ satu nama yang seperti biasa pernah ku dengar. 

Kami bertiga berborak kencang. Masing-masing memperkenalkan diri, dan bercerita mengenai apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran. Aku, sedikit bisu, kerana perasaan malu masih menjadi benteng perbualan. 

Melihat aku yang kurang bercakap, Farid kemudian bertanya kepada ku, “Siapa nama kau ya? Terlupa pula,” dia tersengih sendirian. 

Haish. Inilah norma kehidupan yang lazim ku lalui. Baru bagitahu nama, terus lupa. Kalau di ikutkan hati, ingin sahaja aku tempeleng dirinya yang tidaklah sebesar mana itu. 

“Nama aku Ariff.. Ariff Kamal,” perasaan geram terpaksa aku kaburi dengan senyuman palsu. 

“Ariff? Ya, Allah! Kau lah Ariff Kamal! Dah lama aku cari kau!” dia kelihatan sangat teruja. Dan aku tidak tahu kenapa. Pelik. Sedikit kaget. 

Amat juga seperti aku, hairan, “Abang dah lama kenal Ariff ke?” tanya Amat pada senior tersebut. 

“Tak adalah kenal sangat. Cuma pernah lah jugak bersembang kat muka buku baru-baru ni,” Farid menjelaskan. 

‘Eh, muka buku? Farid Dahlan? Oh, dia ni lah senior yang add aku kat muka buku tu!’ dalam hati, aku berkata penuh rasa teruja. 

*** 

-penulisjalanan- 

p/s: Alhamdulillah! Siap A.B.U. bahagian kedua. Teruskan membaca, ya. Entah kenapa, aku pun turut teruja untuk menghabiskan keseluruhan cerita. Harapnya, anda pun begitu juga. Aman tanpa perang :)

4 comments: