‘Eh, aku kat mana ni?’ pening.
Aku berada di satu dimensi yang ternyata asing bagiku. Keliling ku pandang, cuma ada pepasir yang bertandang. Penuh, sejauh mata memandang. Pepasir putih yang halus lagi mulus. Aku berjalan seorang. Terik mentari bagai sangat membahang. Peluh. Penat. Aku duduk berteduh di sebuah pepohon yang melebar dedaunnya. Angin yang berhembus mengusap lembut tubuhku memberi satu rasa lega yang amat ku syukuri.
Dari jauh, ku lihat ada satu jasad yang juga berjalan seorang, nun jauh terkehadapan sana. Sekilas pandang, seperti seseorang yang sebaya dengan ku. Tubuhnya kurus dan tinggi. Berambut lurus lagi penuh lebat hitam berkilat. Tertanya aku, ‘Siapakah dia?’ Aku cuba merapatinya. Mengejar walau dalam langkah yang tidak terkejar. Namun, ku cuba juga.
“Tunggu!” ku laung dengan harapan dia berpaling menunggu tibaku. Tidak berhasil. Dia masih menapak tanpa henti. Aku terus melangkah merentasi dataran berpasir yang penuh bukit-bukau itu. Dan aku rebah dek kepenatan yang teramat. Pandanganku kabur. Ku lihat hadapan, dia sudah tiada.
Entah kenapa. Aku terasa pilu. Kesedihan memalu-malu setiap kali degup jantungku. Siapa dia? Aku masih keliru.
“Arip. Bangun Arip. Perjalanan kita masih panjang,” kelihatan dia tiba-tiba ada di sebelah ku menyapa penuh lembut. Aku terkedu, langsung tidak tahu apa ingin ku katakan. Aku amati wajahnya. Eh, Farid!
“Arip, Allah pernah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (ugama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan mengukuhkan kedudukanmu.” (47:7).
Sekarang, sudah tiba masanya untuk Arip menolong ugama ini, satu-satunya ugama yang diredhai Allah,” abang Farid terus menambah.
“Sekarang, Farid kena pergi dahulu. Arip jangan pernah rasa seorang sebab ikhwah Arip masih ada, setia menemani di atas jalan yang sumpah panjang ini. Dan yang paling penting Allah akan selalu ada untuk jaga Arip,” dia mengakhiri kata dengan sekuntum senyuman yang penuh ikhlas, tiada maksud tersirat. Hatiku bertambah sayu.
Dan di saat Farid perlahan-lahan melangkah pergi, jauh dan terus menjauh, aku pun terjaga. “Masya Allah. Mimpi rupanya!” aku mengeleng-ngelengkan kepala. Hm. Melihatkan waktu masih awal, aku merebahkan diri kembali, berselimut setelah selesai bertahajud.
***
Ayam berkokok menandakan tibanya pagi. Sinar suria yang tak pernah gundah meliputi Bumi. Aku menggeliat. Melawan nafsu tidur untuk bangkit dari lena. ‘Huargghhh!’
Hari ini seperti semalam. Abah seperti biasa telah bergegas ke pejabat di awal pagi lagi. Aku tidak sendiri. Di meja makan, aku bersarapan bersama adik-adikku dan juga Ibu. Air Milo kegemaranku dan mee goreng menjadi taruhan. Dengan nama Allah aku mulakan. Terlihat aku, beberapa pucuk surat di penjuru meja. Aku mengambilnya dan membelek satu persatu. Penuh harapan, agar nama ku tertera di atas sampulannya.
Melihatkan sepucuk sampul surat berwarna cokelat. Tertera namaku, ‘SYAKIR ZAMRI’. Sedikit gembira, senyuman terukir di raut wajah ku. Segera, aku membukanya. Meneliti setiap satu apa yang terkandung. Mataku tertumpu kepada 3 huruf yang sengaja ditebalhitamkan.
‘Wah, ini surat tawaran ke KMB!’ Hatiku melonjak keseronokkan. Hajat ku tercapai akhirnya. Sekian lama menanti, semenjak keputusan SPM diumumkan, kini, jawapan menjadi milikku. Alhamdulillah.
***
Seusai mengemas bagasi, aku membaringkan diri di atas katil. Pusingan bilah kipas sedikit memeningkan. Aku mengalihkan pandangan, mengarah ke komputer riba yang baru dibeli Abah. Warnanya putih. Walaupun mungkin senang kotor, aku yakin akan tetap menjaganya penuh bersih.
‘Wah, leganya! Semua dah siap kemas! Tunggu nak pergi daftar je nanti. Eksaitednya!’ laungku dalam hati. Abah dan Ibu mungkin sedang tidur. Hari sudah lewat malam. Khuatir pula akan mengganggu tidur mereka.
‘Wah, bestnye!!!’ aku ‘menjerit’ lagi.
Melihat skrin komputer riba, tertera nombor 1 pada tab friend request. Klik! aku membukanya. Dan terpampang satu profil manusia yang langsung tidak pernah ku kenali.
‘Eh, siapa pula ni?’ tetikus digerakkan mencari maklumat tambahan mengenai tuan punya profil.
‘Hm. Bakal senior KMB rupanya,’ pantas, aku klik butang confirm.
***
Di surau, malam selepas pendaftaran Tahun 1, seperti biasa selesai berMaghrib, aku akan duduk di suatu sudut untuk membaca mushaf al-Quran. Baru sahaja ingin ku mulakan ayat pertama, satu jasad datang menerpa aku.
“Eh, Kamal! Guane cuti? Lama dok jupe mung!” kata lelaki tersebut seraya bersalaman dengan aku.
“Eh, Amat! Aku okeh je,” aku tersenyum, cuba mengimbas satu-persatu wajah mereka-mereka yang pernah ku kenali. Amat masih tidak berubah, semenjak dari sekolah rendah dahulu lagi.
“Jom, malam ni makan kat kafe. Aku belanja. Guaner? Bereh?,” Amat memperlawa.
Sedang kami seronok berborak, mataku tertumpu kepada seorang lelaki yang sedang berada di sebalik tiang surau. Dia duduk seorang. Memandangnya, jelas, seperti aku kenal. Aku meminta diri dan Amat pun pergi. Aku pula segera ke arah lelaki tersebut. Kami bersalaman. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Syakir Zamri, pelajar Tahun satu, kursus perubatan.
‘Syakir Zamri?’ satu nama yang seperti biasa pernah ku dengar.
Kami berdua berborak kencang. Masing-masing memperkenalkan diri, dan bercerita mengenai apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran. Aku, sedikit bisu, kerana perasaan malu masih menjadi benteng perbualan.
Melihat aku yang kurang bercakap, Syakir kemudian bertanya kepada ku, “Siapa nama abang ya? Terlupa pula,” dia tersengih sendirian.
Haish. Inilah norma kehidupan yang lazim ku lalui. Baru bagitahu nama, terus lupa. Ingin sahaja aku tempeleng dirinya yang tidaklah sebesar mana itu.
“Nama aku Ariff.. Ariff Kamal,” perasaan geram terpaksa aku kaburi dengan senyuman yang langsung tidak palsu.
“Ariff? Ya, Allah! Abang lah Ariff Kamal! Dah lama saya cari abang!” dia kelihatan sangat teruja. Dan aku tidak tahu kenapa. Pelik. Sedikit kaget.
“Hari tu kan kita pernah bersembang kat muka buku baru-baru ni,” Syakir menjelaskan penuh ceria.
‘Eh, muka buku? Syakir Zamri? Oh, dia ni lah junior yang aku target tu!’ dalam hati, aku berkata penuh rasa teruja.
***
‘Ya, Allah. Apalah abang Farid tengah buat sekarang ya? Tiba-tiba pula rasa rindu,’ aku mengomel sendiri.
Banyak kenangan yang tercipta. Dan yang paling penting adalah hubungan persaudaraan yang merebat hati-hati kami. Masih teringat pesan abang Farid, “Hubungan persaudaraan ni lagi osem kerana tiada tertaut dengan pertalian darah, cuma ada ikhlasnya kecintaan terhadap Allah.” Jelas. Kata-kata itu masih tersemat dalam sanubari diriku.
Dua SEM telah berlalu. Abang Farid telah pun pergi menyambung pelajaran ke University Cork Dublin nun jauh di Ireland sana. Hm. ‘Semoga berjaya wahai akhi. Semoga berjaya di dunia dan di akhirat. Kini, aku sudah punya pegangan. Dua tujuan hidup yang pasti. Yakni menjadi ahli Abid dan khalifah.’ Masih segar juga, penerangan panjang lebarnya di malam itu berkenaan matlamat hidup seorang muslim:
“Allah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di muka Bumi, untuk memakmurkan Bumi itu sendiri. Menjalankan sistem Islam sebagai suatu manhaj yang syumul. Allah nak kita, sebagai khalifah, memurnikan kehidupan di muka Bumi dengan tersematnya Islam sebagai ad-Deen. Dan Allah juga tidak menciptakan kita melainkan untuk beribadah kepadanya. Selain ibadah untuk Allah, semuanya salah. Semuanya mesti terlaksana hanya ikhlas semata-mata kerana Allah sahaja. Tidak lain dan tidak bukan hanya kerana Allah. Bila kita benar-benar faham akan dua tujuan hidup ni, barulah jiwa tidak rasa kosong. Hidup pula akan jadi lebih bermakna secara total. Kerana, kita hidup dan mati hanya kerana Allah Azza Wa Jalla. Kita bernafas, kita makan. Malah, kita berliqa’ sebentar tadi pun kerana Allah. Kita buat apa yang Allah suka dan jauhi apa yang Allah benci,” Abang Farid kemudiannya menghabiskan penerangannya dengan seungkap kata yang penuh makna:
“Arip. Kita hidup ni, bukan selama-lamanya di dunia. Kat sana nanti, kat akhirat nanti, itulah kehidupan yang sebenar. Nak masuk Syurga atau Neraka, ada di tangan kita. Dan abang harap sangat. Nanti, kita akan sama-sama masuk Syurga sambil berborak kencang seperti hari yang bakal berlalu.”
‘Sekarang, baru aku faham kenapa kau sanggup bersusah payah. Ukhuwah fillah ya akhi. Jika tidak bertemu kita di dunia ini, semuga bertemu kita di Syurga nanti.’ Hm. Aku senyum sendiri.
Perlahan, bahuku sengaja di tepuk. Aku berpaling. Syakir sengaja memanggilku ingin bertanya soalan. Hm. Aku tersenyum lagi. Syakir merupakan antara beberapa junior yang sengaja ku pilih untuk di usrahkan.
Tanpa membuang masa dia pun lantas bertanya, “Abang Arip tak bosan ke asyik buat usrah je?”
Lagi, aku tersenyum. Aku membuka al-Quran kecil yang sedia ada ku bimbit dari tadi. Seusai membelek penuh santun, aku menghulurkannya kepada Syakir agar dia membaca:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di Bumi…” (2:30)
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (51:56)
“Jadinya, apa? Saya tak faham lah,” kelihatan Syakir yang kebingungan.
Hm. Aku tersenyum senang.
***
-thepenulisjalanan-
terbaik ^^V membaca ABU ibarat mencantumkan puzzle yg memeningkan. kini terbentang 1 solusi yg sangat mapan. jzzk:)
ReplyDeleteJazakallah khoir.. :)
Delete