Kehidupan di bumi KMB benar, amat mencabar. Setiap hari aku dihadapkan dengan pelbagai teori saintifik yang harus dicerna secepat yang mungkin. Setiap hari aku didatangkan dengan kerenah dan ragam teman manusia yang berbagai. Setiap hari juga aku mengeluh sendiri. Hm. Mungkin nasib ku memang di arah begini. Bosan. Setiap hari hidup seperti sedia ada diprogramkan. Aku macam robot.
Bangun pagi, pergi kelas, balik bilik, buat kerja. Buat kerja dan terus buat kerja. Haih. Mengeluh lagi ku sendiri. Agak-agaknya, sampai bila lah aku nak jadi macam ni? Nanti selepas habis belajar, aku akan disibukkan dengan kerja pula. Cukup duit, aku akan kahwin dan disibukkan dengan anak bini pula. Selepas itu, mati. Ini.. Ini.. Ini satu kitaran bodoh! Hm. Tak akan lah benda ni je aku nak buat sampai mati. Haih. Bosannya hidup.
Aku teringat, tentang kisah tika ku masih kecil sekolah rendah. Setiap kali ditanya apa cita-citaku, aku pantas menjawab, “Nak jadi doktor!” tanpa sebarang keliru atau buntu. Penuh yakin sahaja aku memberi jawapan. Kini, aku bertanya soalan yang sama kepada diriku, ‘Apa cita-cita aku? Apa matlamat hidup aku? Dan yang paling penting, apa tujuan hidup aku? Hm.’ Jelas, aku tidak punya jawapan skemanya.
Kemudian, telefon ku menyanyi. Sedikit, hati ku terhibur dek alunan bunyi yang dimainkan. Sengajaku biarkan ia berlagu tidak mahu diangkat. Menenangkan dan menghiburkan. Aku tenggelam dalam imaginasi alunan perasaan. Tenggelam. Hanyut. Sehinggalah telefonku terdiam. Ia kemudiannya mengeluarkan bunyi keluhan menandakan ada mesej:
“Salam. Arip, jom malam hujung minggu ni kita berbulatan kat bilik Farid. Jangan lupa bawa al-Quran dan hati yeh. In sha Allah dipermudahkan :)”
‘Hm. Tak habis-habis dia ni,’ keluhan bercampur rasa ingin berontak. Setiap minggu, abang Farid akan memanggilku dan beberapa yang lain untuk berbulatan bersamanya. Ulang suara: Setiap minggu!
'Apa dia ingat aku tak ada benda lain nak buat ke?’ Geram. Sudahlah aku semakin mula bosan dengan kehidupan di KMB. Ditambah pula dengan bulatan mingguan yang dibuat. Bosan! Hm. Walaupun di rumah aku dimanjakan Mama, dalam jiwaku terbit satu sisi yang suka memberontak walau dalam diam. Ya, aku gemar memberontak!
Tapi bila difikirkan kembali. Boleh sahaja jika aku tidak datang ke majlis bulatan yang diadakan. Bukan ada yang nak marah pun. Hm. Entahlah.
***
Malam itu, bulatan atau disebut liqa’ terlaksana dengan penuh damai. Walaupun ada dua usrah mate yang tidak hadir, langsung tidak merencatkan perlaksanaannya. Selesai berliqa’, setelah semua telah pergi, aku menahan abang Farid. Aku ingin bertanya sesuatu padanya. Satu soalan yang hampir mustahak.
“Er. Farid, tak bosan ke asyik buat liqa’ je?” aku bertanya.
Farid sedikit terkejut namun masih tersenyum dengan soalan yang ku ajukan. Dia diam, berfikir sejenak. Mungkin sedang menyusun ayat, aku menduga. Kerana dia selalu begitu. Sentiasa berhati-hati dengan apa yang keluar dari mulutnya. Oleh sebab itu juga aku senang menerima jawapan daripadanya. Setiap katanya terkandung hikmah.
“Hm. Kenapa pulak nak bosan?” Farid menjawab dengan persoalan. Satu jawapan yang kurang seronok didengari.
“Yalah. Setiap minggu jumpa kitorang. Lepas tu, ada yang tak datang. Kalau datang pun, buat dengar tak dengar je,” aku menjawab penuh cermat.
“Hm. Sebab itu lah, kita hidup kena ada matlamat yang jelas,” ringkas dia membalas. Aku terpinga. Apa pulak kena-mengena dengan matlamat hidup segala bagai ni? Konpius.
“Hm. Arip pernah tak rasa hidup Arip macam tak ada makna? Meaningless,” Farid menambah.
“Pernahlah jugak. Kenapa?” aku masih konpius.
“Biasanya, orang yang rasa hidup diorang tak ada makna ni, adalah orang yang tak cukup jelas dengan matlamat hidup diorang,” lagi, Farid membuat ku terpinga menunggu jawapan.
“Jadi, apa matlamat hidup kita sebenarnya?” aku semakin kurang sabar.
“Em. Cuba bukak al-Quran tu kejap,” Farid memuncungkan mulutnya mengarah ke al-Quran kecil berwarna putih yang ku pegang. Aku menurut penuh akur. Zip al-Quran poket, cermat ku buka.
“Cuba bukak surah 2 ayat 30 dengan surah 51 ayat 56,” padat, Farid memberi arahan.
Aku membelek helaian al-Quran kecil penuh tertib. Mencari dua ayat yang disuruh tadi. Hm. Membelek dan membelek lagi. Dan aku berhasil menjumpai ayat-ayat tersebut:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di Bumi.” (2:30)
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (51:56)
“Jadinya, apa? Saya tak faham lah,” aku yang sedia ada konpius, bertambah semakin bingung.
***
‘Wah, sudah hampir 1 SEM aku kat sini! Peperiksaan dah selesai. Sekarang masa untuk cuti pula. Yeah!’ aku menjerit gembira dalam diam.
Setibanya di rumah, aku pantas mendapatkan Mama yang menunggu ku di muka pintu banglo mewah bertingkat dua itu. Mama kelihatan amat gembira dengan kepulanganku. Tidak kurang juga Papa, dia juga ternyata ceria menyambut pulang anak tunggalnya. Selesai membayar tambang teksi, aku segera ke bilik tidur ku di tingkat atas.
Pintu dibuka dan aku terus melompat ke atas katil empuk itu. ‘Ah, seronoknya! Lama betul aku tak balik rumah.’
Melihatkan jarum jam Seiko menunjukkan hampir pukul 7, aku segera mandi dan bersiap untuk ke surau yang terletak tidak jauh dari rumah. Malam itu aku mengenakan seluar jeans kelabu dan baju T serta memakai snow cap untuk ke surau. Laju, aku menuruni tangga.
Seperti biasa, sebelum keluar rumah, aku akan berjumpa Mama dahulu untuk beritahu akan keluar ku. Kemudian, barulah aku keluar menunggang motor Suzuki biru, hadiah ulang tahun kelahiran ku yang ke-18. Setibanya di surau, imam telah mula mengangkat takbir. Aku laju menuju saf pertama tidak mahu melepaskan peluang mendapat ‘bonus’ berganda.
Selesai solat, aku duduk di penjuru surau. Melihatkan suasana yang lengang, sepi dari kehadiran remaja, aku berfikir panjang. Namun, lamunanku terhenti di saat disapa pak cik-pak cik surau.
Salah seorang daripada mereka berkata, pedas memerli, “Kamu ni nak pergi solat ke nak pergi shopping mall? Tak ada baju lain ke nak pakai?”
Pelik. Aku agak panas dengan kata-kata pak cik yang aku tak kenali tersebut. Ingin sahaja aku membalas kata. Tapi aku bersabar, mengenangkan aku hanyalah seorang pemuda yang tak reti ilmu ugama. Mungkin benar apa yang dia kata. Tertunduk, aku mendengar bicaranya.
“Heish. Macam manalah Islam nak naik semula, kalau kamu ni pakai macam ni ke surau. Orang bukan Islam pun pandang sebelah mata je dekat kamu. Surau ni tempat orang buat ibadat kamu tahu?!” pak cik tersebut sedikit meninggikan suara.
Lagi, aku bersabar. Mulut ku kunci rapat. Telinga ku tahan tenat, pedih disambar kata-kata yang langsung menghambat.
“Pak cik bukan apa, kamu tu orang Islam. Pak cik pun orang Islam. Nanti sebab kamu, imej Islam tercemar,” pak cik tersebut menambah lagi.
Hm. Sabar ku memuncak mengatasi batas limitasi. Aku diam sejenak. Memandangnya tajam.
“Pak cik. Pak cik sihat?” aku bertanya lembut, bertopengkan wajah budak baik, di sebalik hati yang memberontak.
“Er. Pak cik sihat je,” pak cik tersebut menjawab perlahan, kaget dengan soalan aku.
“Em. Alhamdulillah. Baguslah,” aku menambah penuh sinis. Aku, lalu membawa diri ke luar surau. Merah padam menyala muka pak cik itu. Rakan-rakan pak cik tersebut geli hati melihat tingkah ku. Kelihatan, pak cik tersebut bermuka tidak puas hati namun tunduk malu pada diri sendiri.
Di ruang itu, aku membuka mushaf al-Quran, membaca penuh tartil.
***
Kenyang. Aku merebahkan diri ke atas katil. Masakan Mama memang tidak pernah mengecewakan. Selalu sahaja berhasil membuat aku seronok melahap makanan. Namun, memikirkan perilaku aku di surau sebentar tadi, membuat ku sedikit kurang senang. Rasa serba salah kerana berlaku agak kurang ajar dengan pak cik tersebut. Hm.
‘Mungkin aku salah. Mungkin aku benar,’ fikirku sendiri.
Walaubagaimanapun, aku masih tidak boleh menerima kritikan pedas pak cik tersebut. Manakan ada remaja-remuji yang ingin berkunjung ke masjid atau surau jika dilayan sebegitu rupa. Remaja ini golongan manusia yang suka memberontak dan dalam proses mencari hala tuju dalam kehidupan. Jika diramah seperti itu, bagaimana mungkin golongan pewaris tampuk pemerintahan di masa hadapan ini akan lekat hatinya di masjid dan surau? Remaja memerlukan bimbingan, kritikan yang membina. Bukan kutukan, kritikan yang menghancur moral seorang yang berdarah muda. Hm.
‘Ah! Apa-apa pun, benda dah berlaku,’ aku menghentikan monolog dalaman diriku. Satu ayat al-Quran yang pernah dibentangkan dalam liqa’, tiba-tiba menjengah tiba melewati laman pemikiranku:
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini” (25:63)
Harapnya, aku sungguh menepati ciri-ciri Ibadurrahman yang termaktub dalam surah al-Furqan. Ameen.
‘Hm. Agak-agak, apa abang Farid tengah buat sekarang ya?’ fikiran ku melayang mengarah pula kepada murabbi ku.
Pejam celik, pejam celik rupa-rupanya sudah 1 SEM aku ni ikut usrah. Perubahan? In sha Allah ke arah yang lebih baik. Banyak ilmu yang dapat ku peroleh. Dan setiap satunya sangat-sangat berguna sebagai pedoman hidup. Pemandu arah ke jalan yang lurus. Tidak dapat ku bayangkan hidup ku kini jika tidak menyertai bulatan usrah tersebut.
Mungkin sahaja aku masih bermain-main dengan angan-angan yang langsung tak hebat. Mungkin sahaja aku masih terperangkap dalam kitaran bodoh. Mungkin sahaja aku masih terpinga-pinga mencari satu titik tuju, matlamat hidupku. Hm. Matlamat hidup? Aku tersenyum.
Perlahan-lahan, mata ku memejam membawa ku melayari bahtera mimpi ke lembah penuh imaginasi. Wah!
***
-thepenulisjalanan-
(p/s: Alhamdulillah. Selesai A.B.U - part III. Selamat membaca!)
No comments:
Post a Comment