Pages

Followers

Tuesday, December 4

Aku Budak Usrah (A.B.U.) - Part I

Ayam berkokok menandakan tibanya pagi. Sinar suria yang tak pernah gundah meliputi Bumi. Aku menggeliat. Melawan nafsu tidur untuk bangkit dari lena mimpi. ‘Huargghhh!’

Hari ini seperti semalam. Papa dan mama seperti biasa telah bergegas ke pejabat di awal pagi lagi. Aku sendiri. Di meja makan, aku bersarapan. Air Milo kegemaranku dan nasi goreng menjadi taruhan. Dengan nama Allah aku mulakan. Terlihat aku, beberapa pucuk surat di penjuru meja. Aku mengambilnya dan membelek satu persatu. Penuh harapan, agar nama ku tertera di atas sampulannya. 

Melihatkan sepucuk sampul surat berwarna cokelat. Tertera namaku, ‘ARIFF KAMAL’. Sedikit gembira, senyuman terukir di raut wajah ku. Segera, aku membukanya. Meneliti setiap satu apa yang terkandung. Mataku tertumpu kepada 4 huruf yang sengaja ditebalhitamkan.

‘Wah, ini surat tawaran ke UIAM!’ Hatiku melonjak keseronokkan. Hajat ku tercapai akhirnya. Sekian lama menanti, semenjak keputusan SPM diumumkan, kini, jawapan menjadi milikku. Alhamdulillah. 

Sungguh, aku berasa sangat senang. Ingin sahaja aku berlari ke gagang menelefon mama untuk berkongsi rasa gembira. Pasti Mama akan turut melompat kegirangan. Pasti. 

Mataku kemudian tertumpu pula kepada sepucuk surat yang lain. Sampulnya berwarna putih. Dan, jelas, namaku betul dieja padanya. Sedikit hairan, aku perlahan-lahan membukanya.

‘MasyaAllah. Ini surat tawaran ke KMB!’ Aku semakin seronok berganda-ganda. Kali ini, aku betul-betul gembira! Manakan tidak, dalam satu hari, dua surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran telah ku terima. Ini sangat mantap! Yess! Wohoo!

'Tapi apa bendakah KMB ini?' menggaru kepala, aku naik hairan. 'IB? Uish. Apa pulak ni?' Hm..

***

Baru je nak gembira sedikit, sekarang aku kembali runsing. 

Tadi, setelah tibanya petang, aku bergegas berlari-lari anak mendapatkan Mama dan Papa yang baru sahaja pulang. Aku menunjukkan kedua surat tawaran yang ku terima. Jelas, mereka juga turut gembira, bangga punyai anak seperti aku. 

Namun, baru aku sedar. Bahwa aku hanya boleh pilih satu sahaja dari dua tawaran tersebut. Mama dan Papa tidak mahu memaksaku. Mereka sedar, aku sudah besar dan ini jalan cerita hidupku. Samaada berliku-liku atau berbatu-batu. Samaada beronak duri atau dipenuhi pelangi. Semuanya kini terletak di tanganku. Mereka memberiku sepenuh kuasa untuk membuat pilihan.

Mama pernah kata, "Mama tak boleh nak paksa Arip buat pilihan. Ni pasal masa depan Arip. Cuma, Mama nak nasihat Arip, supaya betul-betul jelas dengan mana hala tuju hidup Arip. Mama nak Arip cari apa matlamat hidup Arip yang sebenar."

‘Matlamat hidup? Haish! Runsing! Runsing!’ hati ku menjerit kebingungan. Manakan mampu aku membuat keputusan yang penting seperti ini.

Masih segar dalam ingatan, pertama kali aku dihadapkan dengan dua pilihan dalam kehidupan. 

“Arip! Arip nak aiskerim cokelat ke aiskerim vanila?” tanya Papa ketika kami sekeluarga di taman permainan.

Aku yang masih kanak-kanak dengan selambanya memilih aiskerim vanila sebagai pilihan. Er. Entah. Bila difikirkan kembali, mungkin langsung tiada kaitan dengan situasi aku di ketika ini. Hadoi! -.-‘

***

Tarikh melapor diri semakin rapat dan kata putus masih tiada dalam genggaman eratku. Haish!

Seminggu sudah berlalu. Dan hampir setiap masa lapangku tanya mereka yang lebih berpengalaman tentang kedua-dua tawaran yang dihadapkan. Ku tanya guru, senior, serta abang-abang dan saudara-mara yang berkaitan.

Walaubagaimanapun, segala usahaku hanya mencambah kekeliruan. Aku semakin buntu. Pertanyaanku dibalas dengan seribu satu kelebihan dan kekurangan kedua-dua tawaran. Ada yang cakap begini. Ada yang cakap begitu. Masa semakin cemburu. Dan aku hampir kalah pada waktu.

Terduduk, aku termenung panjang. Ke awangan pemikiranku melayang tinggi nun jauh di angkasa raya.

Telefonku menyanyi. Menandakan ada kenalan yang menghantar mesej. Aku mengambil Nokia 3310 dengan tertib. Tertera nama sahabatku, IMAN SHAFEEI. Hm. Cepat sahaja dia membalas mesej ku sebentar tadi.

Iman ni macam pak ustaz sedikit. Selalu sahaja dia memberi tazkirah di sela waktu antara maghrib dan isya’ di surau sekolah dahulu. Walaupun kami berlainan kelas mahupun bilik, entah bagaimana, kami menjadi kawan rapat. Iman selalu sahaja menasihati ku dalam segala macam hal. Aku pula selalu membantunya dalam pelajaran. Sudah 5 bulan lamanya, kami tidak bersua beramah mesra, ketawa mengenangkan cerita-cerita lama. Kenangan oh kenangan.

Aku membaca mesejnya:

Arip, saya dengar kamu dapat dua tawaran untuk melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah. Cumanya, kalau kamu sukar membuat pilihan, saya syorkan kamu untuk solat sunat istikharah. InshaAllah. Nanti Allah tunjuk jalan. ^.^ 

Terima kasih, Iman. Sekali lagi, kau ternyata memberi ku jawapan tatkala aku bingung memikir haluan. Inilah Iman yang aku kenali. Nasihatnya selalu sahaja kena dengan situasi yang aku hadapi.

***

Malam itu, sebelum mata terpejam melayari dunia mimpi, aku berdiri membentang sejadah. Menghadap kiblat, aku bersolat istikharah. Penuh harapan agar Allah tunjukkan jalan.

[Tamat A.B.U. - Part I]

-penulisjalanan-

p/s: Dah lama aku tak update belog. Puncanya adalah kekeliruan matlamat dalam penulisan. Baru-baru ni aku temui jawapan. Dan inshaAllah aku akan kembali mengangkat mata pena! Er. Maksud aku, mengangkat papan kekunci! Hihi. Oh, ya! Ini merupakan hasil cerpen pertama seratus peratus karya penulis jalanan. Harapnya, taruhan ini menjadi saksi yang bisa menyentuh hati sidang pembaca. Ameen. Segala kritikan mahupun kutukan dialu-alukan. Jazakallah aku dahulukan. :)

9 comments: