Pages

Followers

Sunday, November 4

Tarbiyyah Kilat

Benda ni berlaku dua minggu lepas (dari hari entri ni ditulis). Masa tu, aku berada di Pusat Sumber Belajar (PSB), baru je siap buat tugasan. Melihatkan jarum pada jam Seiko yang menunjukkan hampir jam 4, aku memutuskan untuk pulang ke hostel. Cermat mengemas, aku lantas mengambil beg di tingkat bawah. Di saat kaki menapak pergi keluar menjauhi PSB, peristiwa itu pun berlaku:

Langit yang semenjak tadi cerah tiba-tiba berubah gelap. Kilauan cahaya dari langit memancar-mancar, menerangi setiap mana aku melihat. Seraya dengan gemerlapan cahaya kilat, dentuman guruh bertalu seakan memecah gegendang telinga. Isyarat takut yang diterima otak laju dihantar ke seluruh saraf ku; gementar, jantungku berdegup tak keruan. Terasa bagai berada di Palestin sana. Malah mungkin lebih dasyat! Umpama dibedil tentera rejim zionis kafir laknatullah. Bunyi letupan kedengaran di mana sahaja telinga ku mengarah. Jeritan mereka yang ketakutan jelas kedengaran, menambah rasa debar dan degupan jantung kian melaju.

Mulutku terkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci yang terlintas. Mohon dilindung Tuhan agar tidak dipetir. Takut. Semenjak dari kecil lagi, kilat dan guruh adalah ketakutanku. Aku gentar. Takut-takut dipanah Tuhan kerana bondongan dosa yang ku pikul. Aku percaya: Setiap kali kilat menyambar, adalah untuk aku. Na’udzubillah min zalik. Kerana itu jugalah, aku berasa was-was samaada untuk terus menapak atau kembali berlindung di dalam PSB.

‘Ah, teruskan jelah!’ hati kecilku menggesa.

Aku pulang jalan seorang. Langit semakin gelap namun awan masih menakung hujan. Tiada langsung kesan titisan air dari langit mencecah bumi. Hairan. Namun, dentuman kilat yang semakin dasyat membuatku melangkah lebih pantas. Memaksaku meminggirkan kemusykilan yang bertunas.

Tidak lama kemudian, terlihat aku titisan tangisan dari langit gelap. Sedikit demi sedikit membasahi bumi, menyirami pohonan yang dahaga belaian dari langit. Paluan kilat semakin padu, semakin galak memancarkan cahaya kuning membuta mata. Takutku memaksa naluri mencari tempat perlindungan jauh dari sebarang mala petaka. Terlihat surau, aku lantas laju berteduh. Teringat pula pada kisah saudaraku nun jauh di tanah Acheh ketika peristiwa dasyat Tsunami. Habis ranap setiap bangunan binaan manusia tapi tidak satu ini; iaitu masjid dan surau. Aku fikir, aku akan selamat jika menyorok di rumah Allah. Mungkin petir tidak akan menjengah masuk menyapaku di sini. Di dalam dewan solat, terlihat aku akan beberapa ikhwah yang lain. Mungkin mereka juga sedang ‘menyorok’ dari panahan petir ciptaan Tuhan.

Dentuman guruh sabung-menyabung memutuskan bekalan elektrik di surau. Gelap. Hanya cahaya kilat menerangi alam ketika itu. Aku terdiam terduduk di penjuru surau sambil terus laju melafazkan kata zikir. Kemudian, satu jasad bangun kehadapan. Dan lantas melaungkan azan menandakan telah masuk waktu Asar. Alunan merdu yang tenggelam timbul dek laungan guruh membuat diriku sedikit tenang. Ya, aku berasa sedikit senang.

Selesai azan, aku menjengah keluar melihat keadaan. Dentuman kilat semakin kurang lagaknya. Panahan petir juga seakan pudar dari pandangan. Tangisan awan yang bergelen-gelen menenggelamkan sekitar surau, menghanyutkan selipar dan kasut yang sedia tersusun. Berhati-hati aku melangkah tertib untuk mengambil wuduk.

Alhamdulillah. Sempuna bersolat, tiada lagi dentuman guruh. Tiada lagi panah petir. Hanya ada titisan air dari langit yang semakin berkurang. Sedikit lega, aku lantas ke tangga untuk memakai selipar dan pulang ke hostel. Namun, baru ku sedar selipar ku turut menjadi mangsa hanyutan air yang tadinya ku susun rapi di hadapan tangga.

‘Ish. Mesti ada sebab selipar aku kena hanyut. Allah tak nak kasi aku balik lagi kot,’ hatiku membuat kesimpulan mudah.

Aku kembali ke dewan solat. Memerhatikan sekeliling yang basah.

Kelihatan satu jasad menghampiriku. Dia tersenyum. Kami bersalaman erat dan bertanya khabar. Itulah saudaraku, Hamidi, bekas pelajar sekolah agama yang banyak membimbingku dalam gerakan dakwah dan tarbiyyah. Aku membuka bicara. Menceritakan satu-persatu peristiwa yang ku alami. Aku bercerita mengenai rasa takut yang menyelubungi diriku. Hamidi dengan tenang mengambil al-Quran berzip saiz kecil yang terletak indah di atas almari rendah. Berkerut dia membelek-belek halamannya seakan mencari sesuatu yang mustahak. Kemudian, dihulurnya aku al-Quran cokelat tersebut. Naskhah suci itu aku sambut perlahan.

“Apa ni?” aku menyoal.

“Alah, bacalah dulu,” Hamidi membalas selamba.

“Okeylah. Aku baca.” Sambil membetulkan cermin mata, aku mencari ayat yang menarik perhatiannya sebentar tadi. Mataku menumpu padu. Ayat suci itu aku baca dan amati sepenuh jiwa:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran) Nya Dia memperlihatkan kilat kepadamu untuk (menimbulkan) ketakutan dan harapan, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan air itu dihidupkannya bumi setelah mati (kering) Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang faham.”
(ar-Ruum,30:24)

Aku tersentap. Laju tanganku menghulur naskhah itu kembali kepadanya. Jiwaku rasa sebak. Aku tunduk dan hampir sahaja manik berkaca menitis membasahi wajahku.

“Hamidi, kau tahukan. Bahawa tiada kebetulan dalam hidup kita ni. Semuanya Allah dah rancang dari dulu lagi.”

“Tadi selepas solat, aku ingat nak terus balik bilik. Tapi melihatkan selipar aku tak ada, aku kembali ke dewan solat. Dan Allah hantar kau kat aku. Untuk apa? Untuk sampaikan ayat ni kat aku. Allah tahu ilmu aku tak seberapa. Sebab tu Allah pilih kau yang lebih faham untuk berkongsi ayat surah ar-Ruum tu dengan aku.”

“Sebenarnya, tadi masa guruh berdentum dan kilat galak memancar, aku rasa takut sangat. Aku yakin orang lain jugak ada yang rasa takut macam aku. Dan pasti ada yang berharap supaya segala guruh dan kilat tu habis cecepat.”

“Tapi selepas langit kembali senang, ramai juga yang kembali gelak ketawa seperti tiada apa yang berlaku.”

“Aku harap sangat kita-kita ni terdiri daripada golongan yang disebut dalam ayat tadi tu. Aku harap sangat-sangat kita semua ni tergolong dalam kalangan kaum yang faham. Kaum yang dapat melihat dan menghayati tanda-tanda kebesaran Allah SWT.”

Aku mengakhiri kata dengan bersalaman. Menahan sebak melangkah pergi meninggalkan Hamidi bebas membuat penilaian. Wahai pembaca yang budiman, ayuh buat penilaian. Sejauh mana benar faham kita akan erti hidup bertuhan?

*IBK-Ini Bukan Kebetulan

3 comments:

  1. Ini bukan kebetulan tetapi sunnatullah.. ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu.Tiada kebetulan melainkan ketentuan dari Tuhan (sunnatullah)

      Delete
  2. saat itu, mati yg terbayang depan mata. sampai ana doa, kalau ini harinya, Kau cabutlah nyawaku. Alhamdulillah, nyawa ni masih panjang utk interpretasi ibrah dari sang guruh. tarbiyah ALLAH bg hati yg leka T.T

    [13:15]

    ReplyDelete