Pages

Followers

Wednesday, May 15

Tempang


Hm. Letih betul berjalan. Perjuangan ini memang betul satu lorong yang sangat panjang. Terdetik juga di hati, mungkin jaraknya penghujung adalah tidak berpenghujung. Namun. Harus jiwa tertabahkan. Harus kuat dipegang. Perkara yang paling penting adalah detik sekarang, di atas petak kaki ini berpijak. Ke mana ia bakal melangkah? Ke mana tuju ini akan mengarah?

Jauh tersudut di hati. Kuat khuatir ku mengingat agar jangan sekali-kali ada niat untuk bertukar kiblat. Bebanan ekspetasi dan pengharapan yang terbahu adalah menggunung siksanya. Tersangat menyiksa sehingga tak terluahkan melalui kata-kata. Teramat kuat penangannya sehinggakan hanya air mata sahaja mampu beri pemaknaan atas segala yang dirasa.

Begitupun, erat ku genggami tali ini. Tak mahu terlepaskan.

Kerana sewaktu dulu jasad ini pernah bermain-main di tepian jurang api neraka. Namun, telah diselamat tarik tangan kembali ke atas landasan menuju sorga. Aku pernah melihat. Betapa kejinya dunia yang dipenuhi manusia bertopeng syaitan. Betapa jijiknya dunia yang menjanjikan kepelbagaian nikmat palsu. Sungguh. Setelah menyaksikan perihal kebenaran, tak mahu lagi sisa hidup ini disampahkan.

Kerana dulu aku hanyalah sampah. Dan pasti akan kekal sampah jika tidak dikutip sang murobbi. Dan pasti lagi sampah daripada sampah jika setelah dikutip, aku ingin kembali menjadi sampah. Aduhai.

Betapa hina, kerdil dan kecilnya diri ini. Sudah tidak tertahan dek ujian kecil yang menimpa. Belum lagi diseksa baring di atas pepasir yang panas sambil batu besar di letak pada dada seperti Bilal bin Rabbah. Belum lagi jasad ini terbakarkan seperti Khabbab. Belum lagi mata ini dikorek keluar seperi seorang sahabat yang aku tak ingat nama. Hm.

Bilal bila diseksa hebat, kata-kata mengagungkan keesaan Allah menjadi penguat. Khabbab bila merungut kelelahan, “Engkau gopoh,” Sang Nabi beri jawapan. Seorang sahabat bila dikorek mata, hanya laman Sorga yang ada di pandangan. Mereka semua mara ke hadapan, aku pula bersibuk hendak kembali ke belakang? Ironi.

Aku turut sedari. Manusia itu dicipta tempang. Tempang manusia bukan tiada kaki. Tempang manusia bukan cacat berjalan. Tapi tempang manusia sentiasa perlukan pada satu bentuk sokongan. Baik sokongan fizik, emosi mahupun sokongan ruhi. Ketiga-tiganya saling diperlukan. Tanpa ada antara satu yang dibiar terabaikan.

Tapi alangkah sedih, mengetahui hakikat ini aku masih menyubur ego dalam diri. Tak mahu di tolong. Tak mahu di bantu. Alasan ku, berasa malu kerana enggan diangap tidak kuat. Wahai. Bukankah manusia itu memang dicipta lemah? Jika sebelum ini, cinta itu dianggap buta. Ketahuilah ego itu lagi dasyat. Kerana ego itu adalah manifestasi rasa cinta pada diri sendiri yang tidak dipedomankan. Kerana ia bukan sahaja buta, malah turut membutakan.

 “Ya Allah Tuhan Yang Maha Melihat, bukakanlah tabir di balik penglihatan ku. Jangan Kau sengaja biarkan ego mengaburi rasionalku. Jangan kau jadikan pesona dunia menutupi indera ini dari mengimpikan penghidupan yang sebenar-benarnya, yakni kehidupan di akhirat sana. Aku mahu bertemuMu, melihat wajahMu di sorga sana.

Ya Allah Tuhan Yang Maha Halus, kuatkanlah hati ini seteguh apa yang paling teguh. Jangan kau biarkan aku goyah saat diuji. Jangan kau biarkan aku tewas saat dihalangi. Ku tahu Kau Maha Mendengar. Maka dengarkanlah doa ini. Doa dari hambaMu yang memerlukan secebis kekuatan dari himpunan kekuatanMu yang tak pernah padam.

Aku tak mahu lagi terjebak dalam kancah penuh hina. Oh, Tuhanku ya Allah, Engkau tsabatkan lah kaki ini di atas jalan para pejuang. Di atas jalan yang dibasahi merah darah para syuhada.”

Yakinlah! Allah telah membelah lautan tika menyelamatkan nabiNya Musa alaihisalam. Allah telah menyejukkan api ketika terbakarnya Ibrahim alaihisalam. Malah Allah jua telah membantu ahli badar tika berperang dengan musuh yang jauh beza bilangannya. Sirah nabawi bukan kisah dongeng mitos khayalan dahulu kala. Tiada yang mustahil kerana Allah itu Tuhan.

Ayuh! Hati, kuatlah!

“Demi waktu duha dan demi malam apabila telah sunyi. Tuhanmu tidak meninggalkan engkau dan tidak membencimu, dan sungguh, yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan. Dan, sungguh kelak tuhanmu pasti memberikan karunianya kepadamu sehingga engkau menjadi puas.”
(ad-Dhuha; 93:1-5)

***

enonimus: Kepada anda yang di luar sana, usahlah bersedih hati akibat dihurung permasalahan. Ketahuilah, Allah telah mengeluarkan kita dari banyak kepayahan sehingga menjadi diri kita yang sekarang. Bersyukurlah. Bersyukurlah. Dan jangan segan menangis kerana ia buat hati jadi lembut.

1 comment:

  1. Masha allah
    teguran halus di kala leka
    -Encik Tepi Tingkap

    ReplyDelete