Pages

Followers

Friday, August 2

CCTV

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh :)

  1. Ramadhan semakin mengakhiri. Dan hampirlah Syawal akan datang. Sungguh. Saya masih belum puas menghirup nikmat di bulan indah ini. Saya yakin anda juga begitu.
  2. Teringat pula sebuah doa malaikah Jibril yang diaminkan Nabi shallahu alaihi wasalam: “Celakalah mereka yang memasuki bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa mereka.” Na’udzubillah min zalik.
  3. Kita perlu faham, sebagai hamba Tuhan tidak boleh tidak kita pasti akan melakukan noda… walaupun sebesar zarah. Oleh itu, untuk jadi suci seratus peratus dari sebarang pelakuan yang membuahkan dosa adalah begitu ideal. Kerana sifatnya maksum tidak ada pada kita. Jadi, tidak perlu risau melampau sehingga hilang punca bila buat dosa. Tapi risaulah dengan bersungguh-sungguh bilamana kita bukan sahaja tidak berasa apa-apa seusai bermaksiat bahkan, berasa selesa hidup dengannya. MasyaAllah.
  4. Pintu taubat itu masih terbuka wahai akhi sayang :)
  5. “Ya Tuhan kami janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi”. (al-Imran; 3:8)
  6. Masuk poin seterusnya.
  7. Kamera Litar Tertutup atau lebih mesra dengan panggilan Closed Circuit Television (CCTV) sering kelihatan di mana-mana. Ada dipasang di premis perniagaan, di blok bangunan kerajaan, di sekolah-sekolah dan di rumah-rumah. Ia ada di mana-mana.
  8. Perkara satu: Hipotesis saya, anda akan fikir, saya akan menulis sesuatu seperti tidak kira di manapun kita berada, sebenarnya kita tidak seorang. Akan sentiasa ada malaikat di kedua kiri kanan bahu yang tekun mencatit setiap amalan kita. Samada amalan baik atau amalan buruk. Bahkan, Tuhan Penguasa Alam juga senantiasa tahu apa yang kita lakukan baik zahir mahupun batin, baik yang terang-terangan mahupun yang bersembunyi. Well, itu antara satunya. Dan saya tidak kisah kalau-kalau hipotesis saya adalah salah. Hoho ;P
  9. Perkara dua: Bukan para malaikah sahaja yang selalu bersama kita, manusia pun begitu. Manusia akan selalu ada selagi kiamah belum tiba. Hampir setiap gerak geri kita akan jadi perhatian masyarakat.
  10. Suka saya kuot sebuah kata-kata dari Thufail al-Ghifari, rapper islamis yang hadir dari Indonesia, “Dulu kita masih kecil, lebih kecil dari lubang jarum. Sekarang saat kita sudah besar… tanggungjawab kita bertambah-tambah. Sudah bisa dinilai orang kerana kita sudah sering kelihatan.”
  11. Secara ringkasnya, begitulah. “Kita sudah bisa dinilai orang kerana kita sudah sering kelihatan”.
  12. Sepertimana kita tidak suka menilai orang lain dari segi luaran, begitu juga kita tidak suka bilamana diri kita sendiri dinilai masyarakat melalui perbuatan dan sifat luaran yang terpamer dari diri kita. Namun, ia tidak boleh dielak! Kita bukan Tuhan untuk melarang mereka secara total daripada buat penilaian. Itu adalah di luar bidang kuasa kita.
  13. Apa yang boleh kita lakukan adalah membaiki apa yang bisa dinilai mereka; seperti tingkah laku kita, amal ibadah kita, cara cakap kita, gaya pemakaian kita, disiplin kita, dan begitu banyak lagi yang kita-kita.
  14. Kita perlu jadi qudwah kerana begitu ramai CCTV yang memerhati. Namun, perlu berjaga-jaga. Takut-takut kita beramal bukan kerana Tuhan pula. Ingat, “Nahnu dua’t qobla kulli shai’in.”
  15. Perkara tiga: Sistem CCTV secara komersial adalah untuk merakam setiap gerak-geri, tindak-tanduk manusia yang melalui suatu kawasan. Walaupun pada awal sejarahnya ia digunakan untuk merakam pelancaran Roket V2 di Jerman (1942).
  16. Tidak kisahlah siapa pun manusia tersebut. Datuk, datin, ustaz, ulama, ayah, emak, cikgu, kanak-kanak, makcik-makcik, jiran sebelah rumah mahupun saya yang sedang menulis ini. Tugas CCTV hanyalah itu; memerhati dan merakam. Hingga terkadang menimbulkan rasa gerun dalam diri kita daripada membuat sebarang dosa.
  17. Tapi alangkah sedihnya. Jika kita hanya bercita-cita seperti itu; perhati dan rakam. Seakan-akan kita redha dengan perkara sumbang dan maksiat yang kian berleluasa di keliling kita ini.
  18. Mahu tidak mahu, kita Islam. Sudah menjadi kewajipan untuk kita melaksanakan amanat amar ma’ruh nahi mungkar. Atau dalam erti kata lain, berdakwah. Baik melalui perkataan mahupun perbuatan.
  19. Ya, benar jika dikata, tahapan da’wah itu ada tiga. Pertama, menggunakan tangan (autoriti, hukuman, tindakan). Kedua, menggunakan lidah (lisan, nasihah). Ketiga, menggunakan hati (dengan tidak redha akan maksiat yang berlaku).
  20. "Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman".
  21. Rata-rata daripada kita mengambil jalan mudah, dan langsung memilih kaedah yang ketiga, menggunakan hati. Tapi menyedihkan bilamana kita kata hati tidak redha tapi masih buat juga. :'(
  22. Perlu diingat, tahapan ketiga itu adalah tahapan buat mereka-mereka yang serendah-rendah iman (Disklaimer: saya bukan memperkecilkan golongan ini yeh).
  23. Tanyalah diri kita, “Adakah aku hanya layak memerhati?”
  24. Wallahu’alam.
  25. Kita tak mahu lambakan manusia CCTV. Kita tak mahu.
enonimus: Sampai akhirat kah kita hanya mahu memerhati? Buatlah sesuatu wahai akhi sayang. Berbuatlah ;)

Thursday, August 1

Dijentik

Assalamualaikum.

  1. Cakap-cakap orang, malam semalam merupakan malam al-Qadr.
  2. Kalau betul pun semalam merupakan malam yang lebih baik dari 1000 bulan itu, kita jangan risau. Sebab hamba Tuhan yang sebenar, menganggap setiap malam merupakan malam al-Qadr. Jangan berhenti jadi rahib pada malam hari yeh.
  3. Ramadhan siri kali ini, kita dihidangkan dengan berita-berita kes penghinaan terhadap ugama Islam. Contohnya seperti kes ‘Alvin dan Vivian’ berserta kes ‘Sambut Hari Raya bersama Anjing.’
  4. Seperti klisenya drama-drama cerita Melayu, bilamana perkara ini berlaku pasti akan ada sahaja sekumpulan umat Islam yang mula jadi lantang bersuara. Dari mana datang pun saya tidak tahu. Tiba-tiba muncul. Ada yang keluarkan penyataan di akhbar. Juga, mengkudakan medium sosial untuk menghamburkan kata-kata kesat dan kata ugutan terhadap mereka yang terlibat.
  5. Dan dalam masa beberapa hari yang berikutnya, keadaan menjadi reda. Seperti tiada apa yang pernah berlaku. Semua pejuang hilang mengkuburkan diri.
  6. Suka saya katakan, ini adalah norma masyarakat Melayu moden; sekali dijentik, sekali disahut.
  7. Ayuh kita ambil satu kisah pada zaman ar-Rasul sallahu alaihi wasalam. Bilamana datang seorang Badwi kencing di ruang solat dalam masjid yang pada ketika itu Nabi melihatnya. Para sahabat sudah mula naik geram dan mahu sahaja mereka mengerjakan orang Badwi itu. Namun, Nabi menegah para sahabat daripada berperilaku demikian. Berhenti penuh (baca: full stop).
  8. Dari apa yang saya lihatkan, Nabi tidak memberi lampu hijau untuk para sahabat terus sahaja mengambil tindakan atas beberapa sebab.
  9. Pertama, kerana ada kemungkinan orang Badwi itu jahil tentang perkara tersebut. Sudah menjadi tanggungjawab orang yang faham untuk menyeru orang yang tidak faham dengan penuh hikmah. Bukan pula orang yang tidak faham ini, kita belasah.
  10. Kedua, kerana ugama ini ugama kasih sayang. Mana mungkin tindakan kasar, tomahan, sumpah seranah dan kata keji boleh bersekongkol menjadi alat untuk mempertahankan ugama suci ini. Tidak mungkin (dalam kes ini).
  11. Begitulah.
  12. Namun, dalam menanggapi fenomena ‘sekali dijentik, sekali disahut’ ini, jujur kata… sebenarnya perasaan saya bercampur baur.
  13. Saya duka cita, kerana ‘orang kita’ seperti kanak-kanak kecil lagaknya. Bilamana diusik, anak-anak kecil ini akan memberi respon yang hanya membuatkan penggusik berasa kelakar. Ini soal mentaliti.
  14. Saya berasa suka. Kerana saya nampak harapan. Saya nampak potensi dalam jiwa-jiwa umat Islam di negara kita (terutama golongan pemuda). Kerana masih ada mereka-mereka yang mengambil kisah dengan isu-isu seperti ini dan bukan hanya tenggelam dalam lautan hedonisme semata-mata.
  15. Juga, saya berasa kesal pada diri sendiri. Dan saya ingin mengajak kita semua, yang katanya bergelar dae’i, untuk turut berasa kesal. Kerana sudah jelas, ada lambakan tenaga kerja di luar sana yang sebenarnya amatlah berpotensi untuk digilap menjadi permata Islam dalam menyebar risalah suci ini. Malangnya, mungkin kerana kelekaan kita, jiwa mereka tidak disentuh dan akhirnya, kaedah da’wah yang lebih muntij itu tidak ada dalam kefahaman mereka. Itulah apa yang terakam dalam buku Titik Tolak karangan Muhammad Ahmad ar-Rasyid, “Sebenarnya masih terdapat ramai saki baki mukmin yang bilangan mereka cukup untuk menegakkan kebaikkan yang ingin kita capai…”.
  16. Wallahu’alam.
  17. Semuga kita kekal di bawah rahmat Tuhan dan terus berkejar memburu cinta Ilahi.
enonimus: Saya melihatkan entri sebelum-sebelum ini, selalunya, apa yang saya tulis lebih banyak pada portion penerangan dan pengolahan walhal poinnya hanya ada satu. Oleh itu, kali ini saya cuba menomborkan apa yang ditulis agar lebih berfokus dan tidak mencapah. ;)