Pages

Followers

Thursday, August 1

Dijentik

Assalamualaikum.

  1. Cakap-cakap orang, malam semalam merupakan malam al-Qadr.
  2. Kalau betul pun semalam merupakan malam yang lebih baik dari 1000 bulan itu, kita jangan risau. Sebab hamba Tuhan yang sebenar, menganggap setiap malam merupakan malam al-Qadr. Jangan berhenti jadi rahib pada malam hari yeh.
  3. Ramadhan siri kali ini, kita dihidangkan dengan berita-berita kes penghinaan terhadap ugama Islam. Contohnya seperti kes ‘Alvin dan Vivian’ berserta kes ‘Sambut Hari Raya bersama Anjing.’
  4. Seperti klisenya drama-drama cerita Melayu, bilamana perkara ini berlaku pasti akan ada sahaja sekumpulan umat Islam yang mula jadi lantang bersuara. Dari mana datang pun saya tidak tahu. Tiba-tiba muncul. Ada yang keluarkan penyataan di akhbar. Juga, mengkudakan medium sosial untuk menghamburkan kata-kata kesat dan kata ugutan terhadap mereka yang terlibat.
  5. Dan dalam masa beberapa hari yang berikutnya, keadaan menjadi reda. Seperti tiada apa yang pernah berlaku. Semua pejuang hilang mengkuburkan diri.
  6. Suka saya katakan, ini adalah norma masyarakat Melayu moden; sekali dijentik, sekali disahut.
  7. Ayuh kita ambil satu kisah pada zaman ar-Rasul sallahu alaihi wasalam. Bilamana datang seorang Badwi kencing di ruang solat dalam masjid yang pada ketika itu Nabi melihatnya. Para sahabat sudah mula naik geram dan mahu sahaja mereka mengerjakan orang Badwi itu. Namun, Nabi menegah para sahabat daripada berperilaku demikian. Berhenti penuh (baca: full stop).
  8. Dari apa yang saya lihatkan, Nabi tidak memberi lampu hijau untuk para sahabat terus sahaja mengambil tindakan atas beberapa sebab.
  9. Pertama, kerana ada kemungkinan orang Badwi itu jahil tentang perkara tersebut. Sudah menjadi tanggungjawab orang yang faham untuk menyeru orang yang tidak faham dengan penuh hikmah. Bukan pula orang yang tidak faham ini, kita belasah.
  10. Kedua, kerana ugama ini ugama kasih sayang. Mana mungkin tindakan kasar, tomahan, sumpah seranah dan kata keji boleh bersekongkol menjadi alat untuk mempertahankan ugama suci ini. Tidak mungkin (dalam kes ini).
  11. Begitulah.
  12. Namun, dalam menanggapi fenomena ‘sekali dijentik, sekali disahut’ ini, jujur kata… sebenarnya perasaan saya bercampur baur.
  13. Saya duka cita, kerana ‘orang kita’ seperti kanak-kanak kecil lagaknya. Bilamana diusik, anak-anak kecil ini akan memberi respon yang hanya membuatkan penggusik berasa kelakar. Ini soal mentaliti.
  14. Saya berasa suka. Kerana saya nampak harapan. Saya nampak potensi dalam jiwa-jiwa umat Islam di negara kita (terutama golongan pemuda). Kerana masih ada mereka-mereka yang mengambil kisah dengan isu-isu seperti ini dan bukan hanya tenggelam dalam lautan hedonisme semata-mata.
  15. Juga, saya berasa kesal pada diri sendiri. Dan saya ingin mengajak kita semua, yang katanya bergelar dae’i, untuk turut berasa kesal. Kerana sudah jelas, ada lambakan tenaga kerja di luar sana yang sebenarnya amatlah berpotensi untuk digilap menjadi permata Islam dalam menyebar risalah suci ini. Malangnya, mungkin kerana kelekaan kita, jiwa mereka tidak disentuh dan akhirnya, kaedah da’wah yang lebih muntij itu tidak ada dalam kefahaman mereka. Itulah apa yang terakam dalam buku Titik Tolak karangan Muhammad Ahmad ar-Rasyid, “Sebenarnya masih terdapat ramai saki baki mukmin yang bilangan mereka cukup untuk menegakkan kebaikkan yang ingin kita capai…”.
  16. Wallahu’alam.
  17. Semuga kita kekal di bawah rahmat Tuhan dan terus berkejar memburu cinta Ilahi.
enonimus: Saya melihatkan entri sebelum-sebelum ini, selalunya, apa yang saya tulis lebih banyak pada portion penerangan dan pengolahan walhal poinnya hanya ada satu. Oleh itu, kali ini saya cuba menomborkan apa yang ditulis agar lebih berfokus dan tidak mencapah. ;)

No comments:

Post a Comment