221213
Hari ini
Aku mendengarkan
Luahan keluh hati
Seorang al-akh
Bimbang yang membuak
Jelas berpancar pada riaknya
Seperti ada satu belenggu besar yang halimunan
terbahu di pundaknya
aku pada biasanya
Cuba menyelami
Cuba menghayati
***
Bagaimana mahu memaknai
Penggerak yang tidak bergerak
Seperti memberi nama pada bukan haknya
Dan apa ada pada nama
Jika tiada amal terbuah melaluinya
Rasul itu dicinta Tuhan
bukan kerana dia Rasul
tapi kerana gerak kerja nya mapan dan bertahapan
tidak gopoh menyampai wahyu Tuhan
tidak goyah walau dicaci, dimaki, dihina, dikeji
sedangkan kita belum dijentik pun sudah menyerah
alangkah malunya kita kesemua
***
Di sini aku melihat
Dakwah itu satu pilihan
Bukanlah kewajipan
Ia satu obyekan yang diperbudak
Hanya layak dikerumuni
Tatkala waktunya percuma
Sedangkan kita-kita
Sendiri pun tahu
Dakwah ini bahannya bukan mainan
Bukan gurauan
Ini soal serius!
Mana mungkin ajaran Rasul itu sebuah perolokan
Sebuah hikayat padang pasir
Seperti Aladin dan lampu ajaib
Mana mungkin begitu
***
Jemaah pula dikemudiankan
Kendiri diutamakan
Bagainya
Ini urusan aku dan Tuhan
Mana bisa ngomongan yang lain menjadi taujih yang perlu aku ikutkan
Apa guna adanya ketua?
Mungkin
Sebelum ini
Bukan ketua yang kau syura
Tapi hamba
Kau mencari hamba
Agar selesa kau berbaringan di atas takhta kebodohan
Melepas tanggungan pada si hamba
Agar seorang diri berpayahan
***
Aku nampak
Nafsu itu
Belum lagi menjadi tunggangan
Bahkan kita pula ditunggang
Hingga rasa ego jadi tauladan
Membenarkan kesalahan-kesalahan
Oh, mutabaah amal!
Apa maksud wujudmu?
Pantaskah dengan kau
Aku bisa terbang menuju bintangan di Sorga?
Dan berbagai retorik soalan keluar satu-persatu
Jangan tanya sahaja yang lebat
Amalnya bak debu berterbangan
Di tiup dingin angin winter
***
Masalah bertimpa-timpa
Lebih teruk dari jatuh ditimpa tangga
Kerana tangga pun tiada
Tak pasti apa punca
Tahu-tahu begini sudahnya
Aku berfikiran
Sudah tidak lain dan tidak bukan
Ini virus puncanya
Bahana fikrah yang terencat!
***
Ketahuilah, saudara
Ugama ini menangnya dengan sedikit di bilangan
Tanpa kau atau aku
Kemenangan itu sudah jelas tercatit
Pilihan di tangan
Berbuatlah
Kalian mahu bergabung bersama
Atau sekadar bersama-sama?
***
Dan dengan luahan kata-kata ini pun
Tetap tiada tenang di hatiku
Menulusuri semalam
Zaman budak mentah ini bertanyakan
Seorang pejuang yang kini tiada
“Apa mungkin mereka aku marahkan?”
Tidak!
Kerana
Dakwah kita
Dakwah kasih sayang
***
Aduhai
Selamanya aku runsing
Memikirkan esok yang kian kelabu
Siapalah aku untuk menabik dada
Berkata aku faham segala
Sebuah simpulan yang belum terungkai
Sebuah simpulan yang belum terungkai
No comments:
Post a Comment