Pages

Followers

Friday, April 5

Atmosfera


Alhamdulillah. Tadi baru selesai jawab soalan biologi. Susah tu memang susah. Tapi saya tidak kisah. Senyum sahajalah. Hahah. Ok. Tadi. Dalam ekzem ada satu soalan tu, dia tanya pasal gas rumah hijau (baca: greenhouse gas). Saya tidak ingat pula soalan penuhnya. Tapi. Dalam jawapan yang saya beri ada satu perkataan, yang bagi saya sangat menarik. Cuba teka apa perkataan tu? Hm. Tak tahu? Tu hah! Perkataan kat title tu. Iaitu atmosfera (note: jawapan saya, dalam bahasa inggeris tahu-> atmosphere.. heheh.. Er.) Okayyyyy?? Then?? Hm. Entahlah. Saja-saja nak sebut. Tetiba rasa perkataan tu macam sangat best. :)

Baru-baru ni saya bersihkan kipas dalam bilik (tiba-tiba tukar topik.. Eheh..). Dan Alhamdulillah. Sekarang nak tidur rasa sejuk je. Nyaman je. Tidak lah macam sebelum-sebelum ni. Panas. Berpeluh. Payah mahu tidur. Haih. Mengeluh panjang. Bila saya fikir kembali. Masalah bilik panas ni sebenarnya dah lama berlaku. Cuma saya sahaja yang bermalasan untuk berikhtiar. Kalaulah saya membersihkan kipas tersebut lebih awal. Pasti kebarangkalian untuk saya tidur dengan lebih lena sebelum-sebelum ni lebih tinggi. Alaah! Bukan susah sangat pun. Ambil kain lap. Basahkan sikit. Ambil kerusi. Panjat. Dan bersihkan habuk-habuk hitam yang ada di bilah-bilah kipas. Dan anda akan dapat menikmati kipas pada kemampuan penuh. Nah! Tak susah.. Kan?? Hm. Kenangan oh kenangan.

Saya pun pelik. Kenapa saya malas yeh? Adakah saya terlalu mengharapkan agar roommate saya membersihkannya terlebih dahulu? Adakah saya bersangka baik dengan kipas dengan menyatakan kepanasan ini bukan salah kipas? Adakah saya cuba redha dan bermujahadah melawan kepanasan? Adakah saya sememangnya tidak tahu-menahu akan tanggungjawab saya untuk membersihkan bilah-bilah kipas tersebut? Hm. Banyak betul soalan. Ironinya. Walaupun saya dah ada skema jawapan untuk setiap soalan kat atas ni. Saya masih berdiam diri. Mengharapkan keajaiban. Mana lah tahu. Nanti tiba-tiba doraemon mahu bagi saya pinjam saku 4 dimensi ke.. Kan? Kan? Okay. Mengarut.

Wahai. Macam tu lah (kebanykkan) kita sebenarnya. Banyak bertanya walaupun sudah tahu jawapannya. Kalau bertanya untuk kepastian tidak mengapa. Tapi. Ini bertanya, untuk mencari jawapan yang hanya sedap didengar sahaja. Aduhai. Terimalah kenyataan wahai [penulisjalanan] kipas itu memang perlu dibersih. Kalau bukan diri anda siapa lagi mahu melakukannya.. Kan? Anda ada tangan. Anda ada kaki. Anda ada Tuhan. Mahu apa lagi?!

Haish. Apa yang saya bebelkan dari tadi ni? Macam tidak bawa manfaat pun entri ni. Hm. Eh, ye ke takde? Jom kita cuba gali manfaat dan ibrahnya sama-sama. Jom!

(Bagi saya) Kemampuan/ kapasiti seorang dae’i ini boleh diibaratkan seperti kipas angin. Kita boleh on off bebila masa yang kita nak. Dan ikut logik akal. Kita mestilah nak bukak kipas bila ada orang (nota: orang di sini adalah termasuk dengan diri dae’i itu sendiri ya), kan? Kalau takde orang, nak bukak kipas buat apa? Dan. Kat atas bumi ini tak pernah lagi ada shortage populasi manusia. Setakat ni semua pelosok peta ada manusia. Kat timur. Kat barat. Kat utara. Kat selatan. Kat depan laptop (anda). Dan pelbagai lagi tempat yang variasi. Disebabkan itu juga tugas seorang dae’i tak akan selesai selagi ada manusia. Jadi. Bila nak selesai tugas seorang dae’i ni? Jawapan mudah. Bila orang dah takde lah. Er. Bila pula tu? Bila sangkakala pertama tertiupkan. Atau bila dah masuk dalam kubur.

Namun. Kapasiti seorang dae’i biasanya tak mampu terpenuhkan kerana adanya habuk-habuk hitam yang melekat pada bilah. Bilah yang mampu memberi rasa nyaman pada manusia di sekeliling. Bilah yang bisa melukakan jasad yang bernyawa. Bilah yang berkapasiti untuk memberi keselesaan dan manfaat pada setiap yang ada (sepatutnya lah). Kasihan. Kerana pabila bilah ini terkotorkan, tiada yang mahu membersih. Hanya suka melihat dan menunggu satu pertolongan. Hadoi. Dae’i mana boleh macam tu boh! Dah tahu payah nak bergerak (sebab adanya kekotoran), kena lah cepat-cepat sental dan hapuskan. Kalau kita tak bersihkan. Sampai bila-bila lah orang di sekeliling kita ni payah nak terima kewujudan kita.

Ya. Mungkin mereka (termasuk ikhwah) nampak kesalahan kita. Tapi. Nama pun manusia kan. Sesetengah orang tu lebih suka bersangka baik dengan harapan kita akan berubah sendiri. Ada pula yang selalu berdoa agar keajaiban berlaku tapi tak pernah bertindak terlebih dahulu. Ada tu bermujahadah tak mahu tegur kerana takut terasa diri ini lebih baik. Sesetengah orang tu lebih suka mencaci daripada pergi menabur budi. Dan amatlah sedikit orang yang mahu menabur budi. 

Disebabkan berlakunya fenomena-fenomena di atas ni lah. Kita sendiri perlu bertindak. Tak perlu tunggu orang lain. Alaah. Bukan susah pun. Hm. Fikir sekejap. Eh. Maaf-maaf. Saya tipu. Saya tahu mujahadah melawan jahiliah ini memang payah (saya pun masih bertungkus lumus melawannya. Peluh besar). Tapi apalah nilainya kepayahan/ kepahitan ini jika dibandingkan dengan ganjaran sorga yang menunggu bagi orang yang bermujahadah untuk redha allah (sila rujuk al-‘Ankabut; 29:69 yeh). Mujahadah, akhie. Jangan biarkan benign tumor itu menjadi maglinant tumor yang akhirnya membunuh dari dalam. (Cewahh..! Budak medik siot!) Juga. Sudah fitrah kipas. Ia akan acap kali dihabuki kembali. Namun. Gagahilah jua. Bersihkan semula. Agar kipas kembali berputar ligat. Kita mampu beraksi hebat.              

Jadi. Macam mana? Apa nak kena buat? Bagaimana nak berubah jadi budak baik? Kan kita semua mahu jadi super saiya tahap ke lapan. Begini. (Pendapat saya) Dalam kembara untuk berubah, perkara paling vital adalah suasana atau saya suka panggil atmosfera (kenapa atmosfera? Sebab atmosfera melingkupi sesuatu yang sangat meluas). Apa yang kita perlukan sekarang adalah atmosfera da’wah dan tarbiyyah. Kita mahu hirup udara tarbiyyah. Kita mahu dipancari cahaya dari pesona tarbiyyah. Kita mahu duduk di bumi tarbiyyah. Malahan. Kita mahu dikelilingi oleh segala mak datuk unsur ketarbiyyahan yang ada. Dari sebesar zarah sehinggalah sebesar paus celup tepung.

Masih teringatkah anda akan kisah seorang lelaki yang telah membunuh 100 orang dan mahu bertaubat serta berubah? Masih ingatkah anda apa cadangan syeikh kedua yang ditemui lelaki tersebut pabila ditanya tentang kehendaknya itu? Tak ingat? Hm. Tak mengapa. Syeikh tersebut kata (lebih kurang), “Pergilah kau ke negeri di hujung sana.” Logiknya saya berfikiran. Mengapa perlu pergi jauh-jauh untuk berubah dan bertaubat? Berdiam sahajalah di negeri asal lantas bertaubat. Kan itu lebih mudah dan pantas? Bagaimana? Pendapat anda pula? Kening kening.

Bila difikir dalam-dalam. Untuk pergi ke ‘negeri’ hujung sana adalah cadangan yang tersangatlah tepat. Kerana apa? Kerana dengan berangkatnya pemuda tersebut ke sana, sudah wujudlah satu elemen yang sangat penting lagaknya.  Iaitu elemen mujahadah. Wahai. Payah kot nak tinggalkan rumah. Payah kot nak tinggalkan katil yang empuk dan kipas yang berputar ligat. Payah kot nak tinggalkan sanak saudara sahabat handai dan segala bagai. Payah! Bila payah, baru lah muncul mujahadah. Kalau mudah, saya tak kategorikan sebagai mujahadah. Saya panggil mudahaje.

Krikk krikk. Fine. Tak lawak.

Next. Kenapa perlu pergi tempat yang jauh? Pergi sahajalah ke bilik sebelah. Atau jauh sedikit; pergi sahajalah berpindah ke blok sebelah. Kan? Jawapan saya adalah atmosfera. Atmosfera itu penting. Mungkin sahaja di tempat asal kita ni tidak begitu kondusif untuk kita melakukan lompatan saujana. Mungkin udaranya sudah tercemar dek gas rumah hijau. Mungkin tanahnya sudah tandus. Mungkin masyarakatnya porak peranda. Mungkin kipasnya masih berhabuk uhuk uhuk. Sehinggakan suasana yang tidak kondusif ini menjadi penghalang untuk kita henshin (bertukar). Lihat sahajalah pula kepada kisah sekumpulan pemuda dalam surah al-Kahfi. Mereka telah pergi menyelamatkan diri ke sebuah gua manaentah (tika zaman tersebut, tiada yang tahu pasal gua tu.. sebab tu saya cakap manentah). Begitulah kisah nya dengan diri kita. Pergilah cari ‘gua’. Pergi dauroh ke.. uhuk uhuk.. Eh. Heheh. Senyum keji. Kenyit mata.

Harapnya. Sampailah dua poin pokok yang saya nak bawa. Iaitu urgensi membuang habuk-habuk jahiliah dan kepentingan atmosfera untuk berubah menjadi musang ekor sembilan. Hm. Apa lagi ya? (Sambil pandang atas.. pandang kipas.. fikir apa lagi nak tulis.. uish.. laju plak kipas ni.. nyaman.. nyaman.. eh!! ini monolog dalaman.. anda mana boleh baca.. hahah..)

Kita mahu at-most-sfera (ada banyak lapisan).. 
bukan at-least-sfera okeh?

Sekian :D

(ps: jazakallah kepada roommate yang membeli obat batok.. sekarang.. dah bertambah satu benda nak cerita kat sorga nanti.. in sha allah..)

Wednesday, April 3

Mawot

Bila kita buat sesuatu mesti kita mahukan sesuatu sebagai pulangan… Kan? Contoh mudah. Bila kita makan banyak, kita harapkan agar kenyang. Bila kita tidur lama-lama, kita harapkan hilanglah rasa mengantuk. Bila kita main game (uish! Jahiliah tu.), kita harapkan kita berasa seronok. Bila kita belajar gila-gila, kita mahukan kejayaan dalam genggaman. Tapi. Bagaimana pula dengan mati? Pernahkah kita berfikir akan keperluan untuk mati? Pulangan apa yang kita mahukan? Atau (kes yang lebih teruk) kita tidak pernah ada keinginan langsung untuk mati?? Adakah kita fikir yang hidup itu boleh selamanya? Jika kita rasa, mati itu ilusi dan dunia itu destinasi, nampaknya penyakit wahan telah masuk dalam diri kita. Wahan?? Apa tu? Wahan ni secara ringkasnya rasa cintakan dunia dan takutkan mati. Masyaallah. Na’udzubillah. Dan ketahuilah mati itu mesti dan pasti terjadi.

Kadang-kadang saya rasa pelik juga. Tidak ada dalam quran (sepanjang pembacaan dan penelitian saya yang serba marhein) yang cakap, bila kamu makan bebanyak kamu akan kenyang. Bila kamu tidur lelama akan hilang rasa mengantuk. Bila kamu belajar sesunggoh akan dapat keputusan yang gempak dalam peperiksaan. (Ecece.. provoke sikit.. heheh). Entah lah. saya tidak pernah jumpa perihal yang demikian. Tapi benda-benda macam tu lah (benda yang tidak pasti) yang kita sibuk impikan. Dan anda sepatutnya tahu bahawa dunia tidak berfungsi sebegitu rupa. Kerana di antara usaha penat lelah dan pulangan, terdapat allah di tengahnya sebagai tuhan yang menentukan. Ada aje orang yang berusaha sedikit tapi dapat banyak dan begitu juga sebaliknya. Maknanya. Dalam setiap perbuatan kita, keizinan daripada allah adalah sangat vital demi untuk berlakunya suatu perkara tersebut.

Hm. Berbalik kepada argumen pertama saya tadi. Apa yang saya pernah jumpa ialah, “Siapa yang percaya akan pertemuan dengan allah, maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh allah itu akan tiba. Sesiapa yang berjuang (menegakkan islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri, Orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya allah akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka dan allah akan membalas setiap apa yang mereka kerjakan, Orang-orang yang beriman serta beramal soleh, sudah tentu akan dimasukkan dalam kumpulan orang-orang yang soleh.” (al-‘Ankabut; 29: 5,6,7,9)

Kat sini kita dapat lihat beberapa benda yang kompem ada the things in return. Hah! Tu baru sikit. Kalau di ikutkan ada banyak je lagi ganjaran serta balasan yang termaktub dalam al-Quran. Terpulanglah kepada kita untuk menemukannya sendiri atau sekadar menunggu saya post kat sini. Kalau kita rasa kita ni orang islam, amat wajiblah untuk kita mencari iktibar berdasarkan al-quran dan juga as-sunnah. Sebab nabi muhammad SAW pernah cakap, kita tak akan sesat selagi kita berpegang teguh kepada dua benda; iaitu quran dan sunnah baginda. Which mean, kalau dua komponen utama ni pun kita tak reti nak pegang dan genggam, pastu kita sibuk nak pegang/ belajar ideologi barat yang (kebanyakkannya) mengarut tu. Maknanya kita ni islam jenis apa ye? Zass!

Then, apa pulak allah cakap pasal kematian yang cuba saya bangkitkan di sini: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada kami (untuk menerima balasan).” (al-‘Ankabut;29:57)

Dalam bahasa yang mudahnya. Mati itu tersangatlah pasti. Tak payahlah kita nak sangkal lagi akan kebenaran yang ternyata tiada batil. Poin saya kat sini. Apalah kiranya kalau (mungkin) sesaat kita curi pada setiap hari untuk koreksi dan muhasabah diri kita. Sebab nanti bila mati kita akan bertemu allah untuk menerima balasan. Samada balasan syurga atau balasan neraka masih belum kita tahu. Jadi. Kebarangkalian untuk masuk syurga atau neraka ni lebih kurang 0.5 lah. 50-50. Ada kemungkinan untuk nikmati syurga. Ada juga kemungkinan untuk diazab neraka. Sebab itulah kita kena selalu berhati-hati dalam kehidupan. Sebelum tidur mungkin kita boleh istigfar dua tiga kali dan sekurang-kurangnya maafkan orang lain dengan harapan orang lain maafkan kesalahan kita juga. Maafkan kesalahan orang lain? Yep! Apa anda ingat anda seorang sahaja ke yang akan bertemu mati? Hadoi.

Seterusnya. Macam mana nak masuk syurga ni? Jangan risau. Rahsia nak masuk syurga pun allah dah bagitahu. Nampak tak? Islam ni sangatlah praktikal dalam sebagai satu sistem kehidupan yang syumul (menyeluruh): “Dan orang-orang yang beriman serta beramal saleh, akan ditempatkan mereka dalam mahligai-mahligai syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang yang beramal saleh; iaitu mereka yang sabar dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada tuhannya.” (al-‘Ankabut;29:58-59)

Termaktub. Untuk mendapat tempat dalam syurga kita wajib beriman terlebih dahulu. Suka saya kongsi di sini akan ketidakpuashatian saya terhadap penggunaan bahasa melayu yang sangat terhad dalam mendefinisikan suatu perkataan dalam bahasa arab secara tepat. Contohnya adalah perkataan beriman. Apa yang anda faham tentang beriman? Rata-ratanya bila saya tanyakan soalan ini kepada rakan-rakan. Mereka menjawab, bahawa beriman itu adalah percaya. Er. Itu saja ke? Beriman itu percaya? Oh. Tak seringkas itu wahai teman. Beriman itu lebih daripada sekadar percaya sahaja. Patutlah setiap kali saya memberi cadangan untuk mengukur sejauh mana keimanan kita, ada yang menjawab, “iman itu perkara yang subjektif. Mana boleh nak ukur.” Hm.

Apa maksud iman yang sebenar? Iman itu ada tiga komponen. Iaitu percaya dengan hati. Terucap melalui perkataan. Dan diterjemah melalui amalan dan perbuatan. Poin saya. Tidak cukup jika kita hanya percaya sahaja tetapi tidak mengungkap melalui perkataan serta tidak mengamalkan. Tidak cukup kita percaya betul-betul tapi perkataan kita tidak soleh dan perbuatan kita tidak islam. Oleh hal yang demikian, melalui mutabaah amal, kita dapat menilai sendiri sejauh mana sebenarnya iman kita terhadap kekuasaan allah subhanahuwata’ala. Jika baik amalan kita, ada kemungkinan bahwa itu indikator yang mencerminkan/menampakkan kesucian keimanan dalam diri kita. Jadinya. Syarat pertama nak masuk syurga mestilah beriman terlebih dahulu dan kendian kena lah beramal soleh. Kalau duduk tulis blog je memanjang, tak semestinya masuk syurga. Eh.

Berbalik kepada poin utama saya. Kenapa kita suka mengejar benda yang tidak pasti (seperti makan banyak-banyak untuk kenyang, main game untuk hilangkan bosan, tidur lama untuk hilangkan mengantuk)? Sedangkan sudah ada satu benda yang sangat pasti berlaku dalam setiap layar kehidupan makhluk bergelar insan. Iaitu merasai kematian. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui. (al-‘Ankabut;29:64). Directly, allah cakap dunia ini hanyalah senda gurau atau sesuatu yang olok-olok sahaja. Dan kehidupan selepas mati (di negeri akhirat) itulah kehidupan yang sebenar-benarnya. Anda nampak tak? Betapa jauhnya kita menyimpang dari fitrah kita sendiri iaitu mengharapkan balasan yang best dari setiap apa yang kita lakukan.

Kita cakap kita yakin bahawa kita akan mati. Tapi kita langsung tidak pernah mengimpikan kematian yang hasanah. Malah, inginkan mati pun jarang-jarang sekali. Kadang-kadang tu (biasanya kita tidak perasan), kita rasa macam kita ni boleh hidup selama-lamanya je. Aduhai. Mana pergi rasional dalam diri kita? Adakah telah terkaburkan dek indahnya dunia? Atau telah terkaburkan dek pesona perhiasannya; wanita etc etc? (basically, benda sama je dua-dua ni..keh keh keh.) Mati itu pasti dan mesti, akhi. Anda tidak boleh elak, hatta anda cuba makan pil awet muda atau cuba lari ke planet namik sekalipun. Malah, 7 biji dragonball pun amat mustahil untuk membantu anda di saat malaikat pencabut nyawa datang bertandang.

Alamak! Habis tu. Selama ni apa yang kita buat ni sia-sia ke? Hm. Pasal itu bergantunglah pada niat kita. Kan setiap amalan itu ternilai berdasarkan niat kita (sila rujuk hadis 1 dalam hadis 40). Kalau kita makan bebanyak itu kerana Allah (eh? Betul ke kerana allah?) kita dapatlah ganjaran dari allah. Kalau kita tidur lama-lama tu kerana allah (em. Memusykilkan.), kita dapatlah juga ganjaran darpiada allah. Selagi mana kita buat sesuatu nawaitu lillahi taala dan caranya berlandaskan syariat, allah pasti akan tolong kita. 

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Allah, sesungguhnya allah akan memimpin mereka ke jalan-jalan allah (yang menjadikan mereka gembira serta beroleh redha); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al-‘Ankabut; 29:69) Walaweh! Nampak permainannya di situ? Orang-orang yang mujahadah untuk mengecap redha allah ni akan ditunjukkan jalan-jalan untuk mereka. Yakni jalan-jalan yang memberi seronok dan redha ilahi. Kalau orang yang tidak bermujahadah untuk redha allah bagaimana pula.. kan? Namun. Perhatikan juga permainan yang kedua. Bahawa, bantuan allah itu akan datang kepada orang yang berusaha untuk membaiki amalannya. Ulang suara: membaiki amalannya. Bukan memperbanyakkan amalannya. Ah, sudah! Apa yang anda mengarut ni [penulisjalanan]? Oh, saya tidak mengarut pun. Saya serius. Apa gunanya anda ada banyak kereta sedangkan kereta-kereta yang banyak tu tidak sempurna sifatnya (seperti tiada tayar, tiada stereng dsb). Faham? 

Kesimpulannya. Mati itu pasti dan mesti. Cukup-cukuplah (bukan bermaksud berhenti terus) mengejar benda lain yang langsung tiada definisi dalam keberadaannya. Oh. Pasal makan untuk kenyang dan study untuk berjaya itu satu sunnatullah ya. Mana mungkin orang yang tidak berusaha akan mendapat ganjarannya... Kan? Jangan pula anda tidak makan dan study pula selepas ini. Eheh. Sekali lagi. (Nak clarify mesej saya.) Janganlah kita seratus peratus menyibukkan diri kita dengan perihal yang tidak pasti dan dilabel sebagai gurauan oleh allah swt (al-‘Ankabut;29:64), alangkah indah dan moleknya jika kita lebih menyibukkan diri ke arah perkara-perkara yang dapat menjamin tempat untuk kita di hari akhirat kelak (iaitu mujahadah untuk redha allah). Sesungguhnya, syurga adalah matlamat dan selain daripadanya adalah alat atau mungkin juga boleh jadi mudarat. Wallahu’alam.

Nah. Sedikit tazkirah buat saya dan semua. Sekian.

"Hidup kita ni tak lama..Dan tak lama itu tersangatlah subjektif.."

(disklaimer: ini bukan tafsir quran yeh.)

Tuesday, April 2

Ta'aruf

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

(Jawab salam taw. Wajib kot.)

Alhamdulillah. Selamat juga saya tiba di kolej, selepas seminggu bercutian di rumah. Ayah yang hantar tadi. Emak pula pergi ke hawaii atas urusan kerja. Haish. Kesian emak. Sibuk memanjang. Ya allah kau jagalah emak saya di sana dan di mana-mana sahaja dia berada. Nak kongsi satu quote awesome dari emak. Nak dijadikan cerita, emak pada mulanya agak reluctant untuk pergi kerana takut akan layanan mereka terhadap orang islam. Saya tak tahulah apa yang emak dah baca sampai berfikiran macam tu. Kemudian emak cakap, “Em. Tak kisah lah pergi mana-mana pun. Bumi Allah juga.” Hm. Nampaknya tinggallah 2 adik dan ayah saya bertiga selama dua minggu di rumah.

Sebelum saya menulis panjang-panjang. Saya nak cakap. Sebenarnya sebelum saya nak tulis entri ni, saya ada niat nak futur sekejap. Hahah. Tapi melihatkan satu quote dari manual kehidupan yang dilekat oleh teman sebilik di dinding, “barangsiapa yang bermujahadah untuk (redha) kami, maka kami akan tunjukkan jalan-jalan kami.” (surah al-‘Ankabut;29:69) saya tak jadi nak futur. Alhamdulillah. (Pandang katil sebelah. Roommate dah tidur. Line clear! Heheh.) :P

Jujur cakap. Ini merupakan kali ketiga (mungkin) saya melompat masuk ke ruang blog yang baru berserta dengan alamat emel yang baru. Mungkin korang tertanya-tanya kenapa aku banyak kali tukar blog. Well, aku ada satu je tujuan. Iaitu nak memastikan identiti aku bebas dari pengetahuan umum termasuk parents dan para ikhwah yang lain. Sebab salah satu ciri-ciri orang yang dinaungi arash allah kat akhirat nanti kan adalah pemuda yang memberi sedekah dengan tangan kanan sehingga tangan kiri pun tak tahu. Dan berkongsi ilmu juga kan satu bentuk sedekah. Hm. Entah lah. Mungkin tak nampak sangat kaitan kat situ. Jadi. Sila pandai-pandai kaitkan sendiri ye. Haha.

Saya sebenarnya tidak selesa apabila ada orang yang terdekat tahu akan kegiatan yang saya buat ini (yakni blogging). Sebabnya, saya ni ada penyakit. Penyakit hati. Senang sangat bangga diri dan rasa diri lebih hebat dari orang lain. (Walhal penulisan saya tidaklah sehebat mereka-mereka yang lain. Sob. Sob.) Oleh sebab itu juga, untuk blog kali ni saya tidak masukkan feature muka buku yang boleh tekan like tu. Supaya nanti semakin kuranglah sebab untuk saya berasa best atau syok sendiri bila tengok ramai orang like entri saya. Hahah. Harapnya cenggitu lah.

Tak nak lah nanti. Di akhirat kelak, di hadapan allah, bila saya nak claim pahala menulis dan berkongsi secubit ilmu di blog ini, tiba-tiba allah tak nak bagi. Atas sebab apa? Sebabnya adalah kerana timbulnya rasa ego, takkabur dan ujub dalam diri saya walau sekelumit cuma. Na’udzubillah. Aduhai. Penat-penat tulis. Then, tak dapat apa-apa. Sedih kot! Kan?

Untuk blog kali ini, genre nya tetap sama seperti yang sebelumnya, iaitu da’wah dan tarbiyyah (D&T). Buat yang tak tahu apa itu D&T tak perlu susah payah belek kamus dewan bahasa dan pustaka, sebab anda mungkin tak terserempak dengan maksud sebenar perkataan tu. Kalau nak diterangkan satu persatu memang akan jadi tersangatlah panjang entri ini. Jadi. Secara ringkasnya berdasarkan pemahaman saya yang serba cetek ini. Da’wah ertinya mengajak/ menyeru dan tarbiyyah ertinya mendidik. Kenapa perlu ada gabungan antara da’wah dan tarbiyyah? Tak boleh ke buat asing-asing? Jawapan saya. Boleh je nak buat asing-asing, cumanya kurang efektif.

Bayangkan. Anda membeli anak ayam. Dan anda telah memberinya makan buat kali yang pertama dengan harapan dia akan terus besar dan membesar untuk berjasa kepada khalayak ramai. Er. Tapi. Andai kata sekali sahaja makanan diberi. Nescaya anak ayam itu akan lari dari anda. Dan yang paling teruk. Anak ayam itu mungkin sahaja akan mati begitu sahaja tanpa sempat rehat sebentar bersama kit kat. Hihi. Rahsianya. Bagilah anak ayam itu makan banyak kali. Bukan kasi makan banyak sekaligus. Kita tak mahu anak ayam yang gemuk ok. Tapi kasi makan secara berkala. Em. Dua kali sehari mungkin. Agar anak ayam itu membesar dengan sihat dan ceria. Bukan kerana paksa tapi kerana cinta kepadaNya. Maksud saya. Tidak cukup jika kita hanya sekadar mengajak orang ke arah Islam. Kita juga harus mendidik mereka bagaimana untuk menjadikan islam sebagai cara hidup yang sebenar. Dengan erti kata lain. Dengan seruan, perlu datang bimbingan. Agar hati tidak keliru dan akal tidak buntu melalui rencah kehidupan yang mengeliru. Cewaah!

Okay. Cukup pasal D&T. Nanti dalam entri yang lain saya akan sambung lagi.

Em. Kenapa saya pilih nama Enonimus? Enonimus ni asalnya daripada perkataan anonymous yang bererti tidak dikenali/ tidak diketahui. Sebab saya memilih nama ni juga sama dengan sebab kenapa saya menukar blog secara total. Iaitu sebagai simbolik atas usaha saya untuk menyembunyikan identiti saya ini. Ya. Tidak dinafikan. Ada satu organisasi yang sudah lama (mungkin) tertubuh yang turut menggunakan nama Anonymous. Sebuah organisasi yang sangat berahsia lagaknya. Kebanyakkan ahli kumpulan ini menggayakan topeng Vendetta apabila di khalayak ramai agar identiti mereka kekal rahsia. Kalau anda nak tahu lebih pasal pertubuhan ini, sila tanya Wikipedia ok. Saya tidak ada masa untuk korek dalam-dalam pasal kegiatan diorang ni. (Malas sebenarnya. Haha.) Poin saya adalah. Saya ni langsung tiada kena mengena dengan kumpulan tersebut. Senyum.

Saya harap. Anda semua sudah jelas akan sebab-sebab yang membuatkan saya melompat ke ruang baru ini ya. Iaitu atas satu tujuan. Yakni menyembunyikan kehadiran saya dalam arena blog ini. Saya pun tidak tahu bagaimana nak promote blog ini supaya orang baca tanpa orang lain tahu saya lah pemiliknya. Mungkin saya perlu timbulkan isu-isu yang hangat seperti sembang pasal dunia politik kepartian atau post pasal artis-artis korea yang panas di luar sana. Hm. Entahlah. Ini blog D&T. Mana sesuai nak bubuh benda-benda mengarut seperti itu kan? Takpe nanti saya fikirkan cara yang lain.

Apa-apa pun. Saya mahu tidur. Esok ada mock exam. Hoho. Doakan saya berjaya ye. Hm. Bila difikirkan kembali. Saya yakin dan pasti bahwa tiada yang akan baca entri ini (dalam masa yang terdekat) pun. Tapi tak kisah lah. Haha. Anda doakan sajelah saya bila-bila anda terbaca entri ni, tak semestinya doa untuk lulus exam je kan? Doakan lah saya jadi hensem ke? Dapat terus menulis ke? Terus thabat atas jalan yang sumpah panjang ni ke? Atau mungkin sahaja doakan saya supaya mati!

Er. Mati syahid ya bukan mati katak. Sekian :)

(ps: Sebenarnya saya mahu bukak dan lari ke belog baru.. Tapi setelah difikir berkali-kali.. Tak perlu kot.. Jadi.. Ini merupakan entri pertama yang saya tulis dalam belog baru tersebut.. Muahaha.. Sayang pulak nak tinggal camtu je.. Oh ya.. Sila abaikan bahagian "mahu buang feature like mukabuku" sebab saya tak tahu macam mana nak buang benda tu.. huhu..)