Pages

Followers

Wednesday, April 3

Mawot

Bila kita buat sesuatu mesti kita mahukan sesuatu sebagai pulangan… Kan? Contoh mudah. Bila kita makan banyak, kita harapkan agar kenyang. Bila kita tidur lama-lama, kita harapkan hilanglah rasa mengantuk. Bila kita main game (uish! Jahiliah tu.), kita harapkan kita berasa seronok. Bila kita belajar gila-gila, kita mahukan kejayaan dalam genggaman. Tapi. Bagaimana pula dengan mati? Pernahkah kita berfikir akan keperluan untuk mati? Pulangan apa yang kita mahukan? Atau (kes yang lebih teruk) kita tidak pernah ada keinginan langsung untuk mati?? Adakah kita fikir yang hidup itu boleh selamanya? Jika kita rasa, mati itu ilusi dan dunia itu destinasi, nampaknya penyakit wahan telah masuk dalam diri kita. Wahan?? Apa tu? Wahan ni secara ringkasnya rasa cintakan dunia dan takutkan mati. Masyaallah. Na’udzubillah. Dan ketahuilah mati itu mesti dan pasti terjadi.

Kadang-kadang saya rasa pelik juga. Tidak ada dalam quran (sepanjang pembacaan dan penelitian saya yang serba marhein) yang cakap, bila kamu makan bebanyak kamu akan kenyang. Bila kamu tidur lelama akan hilang rasa mengantuk. Bila kamu belajar sesunggoh akan dapat keputusan yang gempak dalam peperiksaan. (Ecece.. provoke sikit.. heheh). Entah lah. saya tidak pernah jumpa perihal yang demikian. Tapi benda-benda macam tu lah (benda yang tidak pasti) yang kita sibuk impikan. Dan anda sepatutnya tahu bahawa dunia tidak berfungsi sebegitu rupa. Kerana di antara usaha penat lelah dan pulangan, terdapat allah di tengahnya sebagai tuhan yang menentukan. Ada aje orang yang berusaha sedikit tapi dapat banyak dan begitu juga sebaliknya. Maknanya. Dalam setiap perbuatan kita, keizinan daripada allah adalah sangat vital demi untuk berlakunya suatu perkara tersebut.

Hm. Berbalik kepada argumen pertama saya tadi. Apa yang saya pernah jumpa ialah, “Siapa yang percaya akan pertemuan dengan allah, maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh allah itu akan tiba. Sesiapa yang berjuang (menegakkan islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri, Orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya allah akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka dan allah akan membalas setiap apa yang mereka kerjakan, Orang-orang yang beriman serta beramal soleh, sudah tentu akan dimasukkan dalam kumpulan orang-orang yang soleh.” (al-‘Ankabut; 29: 5,6,7,9)

Kat sini kita dapat lihat beberapa benda yang kompem ada the things in return. Hah! Tu baru sikit. Kalau di ikutkan ada banyak je lagi ganjaran serta balasan yang termaktub dalam al-Quran. Terpulanglah kepada kita untuk menemukannya sendiri atau sekadar menunggu saya post kat sini. Kalau kita rasa kita ni orang islam, amat wajiblah untuk kita mencari iktibar berdasarkan al-quran dan juga as-sunnah. Sebab nabi muhammad SAW pernah cakap, kita tak akan sesat selagi kita berpegang teguh kepada dua benda; iaitu quran dan sunnah baginda. Which mean, kalau dua komponen utama ni pun kita tak reti nak pegang dan genggam, pastu kita sibuk nak pegang/ belajar ideologi barat yang (kebanyakkannya) mengarut tu. Maknanya kita ni islam jenis apa ye? Zass!

Then, apa pulak allah cakap pasal kematian yang cuba saya bangkitkan di sini: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada kami (untuk menerima balasan).” (al-‘Ankabut;29:57)

Dalam bahasa yang mudahnya. Mati itu tersangatlah pasti. Tak payahlah kita nak sangkal lagi akan kebenaran yang ternyata tiada batil. Poin saya kat sini. Apalah kiranya kalau (mungkin) sesaat kita curi pada setiap hari untuk koreksi dan muhasabah diri kita. Sebab nanti bila mati kita akan bertemu allah untuk menerima balasan. Samada balasan syurga atau balasan neraka masih belum kita tahu. Jadi. Kebarangkalian untuk masuk syurga atau neraka ni lebih kurang 0.5 lah. 50-50. Ada kemungkinan untuk nikmati syurga. Ada juga kemungkinan untuk diazab neraka. Sebab itulah kita kena selalu berhati-hati dalam kehidupan. Sebelum tidur mungkin kita boleh istigfar dua tiga kali dan sekurang-kurangnya maafkan orang lain dengan harapan orang lain maafkan kesalahan kita juga. Maafkan kesalahan orang lain? Yep! Apa anda ingat anda seorang sahaja ke yang akan bertemu mati? Hadoi.

Seterusnya. Macam mana nak masuk syurga ni? Jangan risau. Rahsia nak masuk syurga pun allah dah bagitahu. Nampak tak? Islam ni sangatlah praktikal dalam sebagai satu sistem kehidupan yang syumul (menyeluruh): “Dan orang-orang yang beriman serta beramal saleh, akan ditempatkan mereka dalam mahligai-mahligai syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang yang beramal saleh; iaitu mereka yang sabar dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada tuhannya.” (al-‘Ankabut;29:58-59)

Termaktub. Untuk mendapat tempat dalam syurga kita wajib beriman terlebih dahulu. Suka saya kongsi di sini akan ketidakpuashatian saya terhadap penggunaan bahasa melayu yang sangat terhad dalam mendefinisikan suatu perkataan dalam bahasa arab secara tepat. Contohnya adalah perkataan beriman. Apa yang anda faham tentang beriman? Rata-ratanya bila saya tanyakan soalan ini kepada rakan-rakan. Mereka menjawab, bahawa beriman itu adalah percaya. Er. Itu saja ke? Beriman itu percaya? Oh. Tak seringkas itu wahai teman. Beriman itu lebih daripada sekadar percaya sahaja. Patutlah setiap kali saya memberi cadangan untuk mengukur sejauh mana keimanan kita, ada yang menjawab, “iman itu perkara yang subjektif. Mana boleh nak ukur.” Hm.

Apa maksud iman yang sebenar? Iman itu ada tiga komponen. Iaitu percaya dengan hati. Terucap melalui perkataan. Dan diterjemah melalui amalan dan perbuatan. Poin saya. Tidak cukup jika kita hanya percaya sahaja tetapi tidak mengungkap melalui perkataan serta tidak mengamalkan. Tidak cukup kita percaya betul-betul tapi perkataan kita tidak soleh dan perbuatan kita tidak islam. Oleh hal yang demikian, melalui mutabaah amal, kita dapat menilai sendiri sejauh mana sebenarnya iman kita terhadap kekuasaan allah subhanahuwata’ala. Jika baik amalan kita, ada kemungkinan bahwa itu indikator yang mencerminkan/menampakkan kesucian keimanan dalam diri kita. Jadinya. Syarat pertama nak masuk syurga mestilah beriman terlebih dahulu dan kendian kena lah beramal soleh. Kalau duduk tulis blog je memanjang, tak semestinya masuk syurga. Eh.

Berbalik kepada poin utama saya. Kenapa kita suka mengejar benda yang tidak pasti (seperti makan banyak-banyak untuk kenyang, main game untuk hilangkan bosan, tidur lama untuk hilangkan mengantuk)? Sedangkan sudah ada satu benda yang sangat pasti berlaku dalam setiap layar kehidupan makhluk bergelar insan. Iaitu merasai kematian. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui. (al-‘Ankabut;29:64). Directly, allah cakap dunia ini hanyalah senda gurau atau sesuatu yang olok-olok sahaja. Dan kehidupan selepas mati (di negeri akhirat) itulah kehidupan yang sebenar-benarnya. Anda nampak tak? Betapa jauhnya kita menyimpang dari fitrah kita sendiri iaitu mengharapkan balasan yang best dari setiap apa yang kita lakukan.

Kita cakap kita yakin bahawa kita akan mati. Tapi kita langsung tidak pernah mengimpikan kematian yang hasanah. Malah, inginkan mati pun jarang-jarang sekali. Kadang-kadang tu (biasanya kita tidak perasan), kita rasa macam kita ni boleh hidup selama-lamanya je. Aduhai. Mana pergi rasional dalam diri kita? Adakah telah terkaburkan dek indahnya dunia? Atau telah terkaburkan dek pesona perhiasannya; wanita etc etc? (basically, benda sama je dua-dua ni..keh keh keh.) Mati itu pasti dan mesti, akhi. Anda tidak boleh elak, hatta anda cuba makan pil awet muda atau cuba lari ke planet namik sekalipun. Malah, 7 biji dragonball pun amat mustahil untuk membantu anda di saat malaikat pencabut nyawa datang bertandang.

Alamak! Habis tu. Selama ni apa yang kita buat ni sia-sia ke? Hm. Pasal itu bergantunglah pada niat kita. Kan setiap amalan itu ternilai berdasarkan niat kita (sila rujuk hadis 1 dalam hadis 40). Kalau kita makan bebanyak itu kerana Allah (eh? Betul ke kerana allah?) kita dapatlah ganjaran dari allah. Kalau kita tidur lama-lama tu kerana allah (em. Memusykilkan.), kita dapatlah juga ganjaran darpiada allah. Selagi mana kita buat sesuatu nawaitu lillahi taala dan caranya berlandaskan syariat, allah pasti akan tolong kita. 

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Allah, sesungguhnya allah akan memimpin mereka ke jalan-jalan allah (yang menjadikan mereka gembira serta beroleh redha); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al-‘Ankabut; 29:69) Walaweh! Nampak permainannya di situ? Orang-orang yang mujahadah untuk mengecap redha allah ni akan ditunjukkan jalan-jalan untuk mereka. Yakni jalan-jalan yang memberi seronok dan redha ilahi. Kalau orang yang tidak bermujahadah untuk redha allah bagaimana pula.. kan? Namun. Perhatikan juga permainan yang kedua. Bahawa, bantuan allah itu akan datang kepada orang yang berusaha untuk membaiki amalannya. Ulang suara: membaiki amalannya. Bukan memperbanyakkan amalannya. Ah, sudah! Apa yang anda mengarut ni [penulisjalanan]? Oh, saya tidak mengarut pun. Saya serius. Apa gunanya anda ada banyak kereta sedangkan kereta-kereta yang banyak tu tidak sempurna sifatnya (seperti tiada tayar, tiada stereng dsb). Faham? 

Kesimpulannya. Mati itu pasti dan mesti. Cukup-cukuplah (bukan bermaksud berhenti terus) mengejar benda lain yang langsung tiada definisi dalam keberadaannya. Oh. Pasal makan untuk kenyang dan study untuk berjaya itu satu sunnatullah ya. Mana mungkin orang yang tidak berusaha akan mendapat ganjarannya... Kan? Jangan pula anda tidak makan dan study pula selepas ini. Eheh. Sekali lagi. (Nak clarify mesej saya.) Janganlah kita seratus peratus menyibukkan diri kita dengan perihal yang tidak pasti dan dilabel sebagai gurauan oleh allah swt (al-‘Ankabut;29:64), alangkah indah dan moleknya jika kita lebih menyibukkan diri ke arah perkara-perkara yang dapat menjamin tempat untuk kita di hari akhirat kelak (iaitu mujahadah untuk redha allah). Sesungguhnya, syurga adalah matlamat dan selain daripadanya adalah alat atau mungkin juga boleh jadi mudarat. Wallahu’alam.

Nah. Sedikit tazkirah buat saya dan semua. Sekian.

"Hidup kita ni tak lama..Dan tak lama itu tersangatlah subjektif.."

(disklaimer: ini bukan tafsir quran yeh.)

No comments:

Post a Comment