Pages

Followers

Friday, April 19

Pejam

Jangan berhenti berlari lagi. Jangan difikir. Kerana dunia masih hidup dan kau juga masih. Kalau juga berlari tak mampu. Tak mengapa. Berjalan pun okay. Asalkan jangan berhenti di kali ini. Tersebabkan garisan penamat masih belum menjelma depan mata-mata. Jadi. Berhati-hati dan perhatikan tingkah dunia yang keliru. Keliru dek gelombang frekuensi sang musuh yang tak senang. Oh jangan kau bimbang. Dalam dunia ni kau tak seorang. Masih ada mereka di sana yang belum kecundang. 

Namun. Jika bimbang masih meraksasa, harus pejamkan sahaja mata. Cipta bayangan. Impikan mimpi. Kejar anganan bawah langit bumi. Cepat. Mimpikan satu mimpi. Senyum walau tiada yang langsung sedari. Di balik muram kau simpan. Satu nyalaan bara semangat tak terpadamkan dek ribut taufan yang tiba-tiba sahaja melanda entah dari mana. Mimpikan. Impikan. Sebuah kesejahteraan yang kau di dalamnya. Melompat riang merentasi sungai-sungai di bawah kaki. Duduk di barisan dipan-dipan dikeliling bidadari. Tercipta mahligai indah hasil seruan yang kau sampaikan. 

Lagi. Impikan. Sebuah wajah suci Tuhan yang kau idamkan. Sejak mula kau lahir. Hingga mata terpejam. Mana mungkin kau mahu kecewakan wajah di hadapan cermin yang kau sedang lihatkan. Di kala kaki menjejaki. Salam sejahtera buat tetamu yang hadir ke taman-taman. Oh bahagianya! Katakan apa. Mintaklah sahaja. Hajat itu pasti terkabulkan tanpa sempat mahu kelip mata. Alangkah. Indahnya syurga. Kau bayangkan lagi. Sebuah keindahan yang kau di dalamnya. Menikmati. Melewati sebuah taman suci meluas. Dan pasti terdengar suara-suara. Memekik melolong. Kecemburuan. Melihat kau senang di puncak. Duduk gembira bahgia. 

Itu. Suara mereka yang kecundang di garis mula. Suara mereka yang kini dalam kelompok neraka. Suara mereka yang tak gagah melawan durjana dalam diri. Suara mereka yang ada penyakit dalam hati. Mereka melihat kau dari bawah. Dari neraka berapi. “Alangkah bagusnya kalau dulu ku beramal. Oh Tuhan! Kini ku melihatkan. Kini ku percayakan. Kini ku beriman. Turunkan aku ke bumi agar mampuku menghambakan diri.” Sekali-kali tidak! Ruang taubat telah terkunci ketat. Pintunya dikatup rapat. Tiada lagi ruang keampunan bila tiba kematian. 

Kau yang berada di syurga hanya mampu tersenyum melihat mereka dibawah sana. Tapi. Bila kepala mula mendongak riak. Terlihat pula oleh kau mereka di syurga lapisan atas. Buat mereka yang lebih berjasa serta lebih layak amalnya. Di saatnya itu. Cemburu juga pastikan timbul. Sesalan pastikan datang. Kau terkenangkan detik-detik silam. “Kenapa zikrullah tidak ku gandakan? Kenapa solat malam tidak ku hari-harikan? Kenapa?” Lihatlah! Kau pasti cemburu jua walau kau telah bertapak di syurga. Kerana kau mahukan nikmat yang teratas dengan kudrat sang pemalas. 

Sudah. Berhenti pejamkan mata. Buka! Lihat dirimu. Hitung amalmu. Sejauh mana perjalananmu? Lihat ke belakang. Ah! Garis mula itu hanya setapak jua jauhnya. Baru sedar kau hakikatnya baru bermula. Belum lagi sampai ke checkpoint yang pertama. Bahkan. Karpet merah itu pun belum kau tinggal segala. Ah! Malunya. Jika di awal kau lah singa yang melapar. Kini kau semput menjadi kijang bacul menunggu detik jadi bangkai. Jika dulu kau lah helang terbang tinggi membelah angkasa. Kini kau ayam penakut yang hanya reti riuh pabila hasilnya baru telur sebiji. Jika dulu kau lah super saiya yang berambut keemasan. Kini kau hanya super saiya yang terpotong ekornya. 

Cukup! Jangan lagi pejam. Esok sudah datang.

Pejam mata bukan tidur tapi nawaitu kumulasi energi. Hiyaah!

No comments:

Post a Comment