Realiti dan hakikatnya, pilihanraya umum 13 sudah makin dekat. Dan
amatlah payah untuk saya elak daripada terbaca komentar atau status yang
berelemenkan politikus di Malaysia. Amat payah. Kerana ramai pula rakan
mukabuku yang tiba-tiba sahaja meraksasa mengalahkan raksasa gorgon bertanduk
tiga. Ada yang meluahkan apa yang terbuku. Ada yang kongsi (baca: share)
berbagai cerita. Ada yang bubuh pautan (baca: link) dari pelbagai sumber. Ada
juga yang hanya jadi burung kakak tua. Hm. Mana ultraman mebius ni? Er.
Dan suka pula saya katakan bahawa umur saya masih belum melayakkan saya
untuk mengundi mana-mana pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang. Jadi secara
totalnya adalah tiada faedah untuk saya bertungkus lumus mengorek dalam-dalam
akan apa yang sedang berlaku. Saya lebih suka mengambil langkah cermat,
mengambil tahu tanpa terburu-buru bikin konklusi dengan mengkhinzir buta. Apa
sahaja maklumat yang terlambak akan diproses di kepala dan ditapis pakai hati.
Kerana di zaman ini kebenaran itu berwarna kelabu. Bukan putih sesuci tika
musim salju. Cewaah!
Eh. Macam dah lari ahdaf je. Heheh. Maaf maaf.
Dalam berjuta mainan perkataan yang terlontar dek mulut-mulut manusia di
musim PRU ini, perkataan “kroni” merupakan perkataan feberet saya. Bagi saya,
perkataan ini adalah unik dan menarik-narik. Perkataan ini menggambarkan
hubungan antara dua atau lebih pihak yang sedang mengejar satu mimpi yang sama.
Hm. Oh ya. Sila letak tepi (baca: put aside) apa-apa gambaran yang terimaginasi
di minda berkenaan perkataan ini. Apa-apa yang negatif sila buang dalam tong
sampah kat tepi tu hah. Kalau malas nak buang, meh sini biar saya tolong
buangkan. Jom betulkan niat deh :)
Ehem. Ehem. Jujur kata. Saya pada mulanya agak konpius apabila melihatkan
berbagai kumpulan yang bergaduh atau bercuka muka. Tambah menyedihkan pabila
mengetahui hakikat bahawa di sebalik kepelbagaian kumpulan ini sebenarnya
merupakan satu tuju yang sama. Yakni semua kumpulan mahu agar risalah suci
tersebarkan dengan luas dan meluas. Namun, yang menghairankan saya adalah
kenapa perlu ada perselisihan?
Bukankah ia satu kepelikan, pabila ada dua kereta yang berbeza saling
berlanggaran walhal jalan ini adalah satu hala? Bukankah menaikkan hairan, jika
ada kereta yang dipandu di sebelah tiba-tiba dilanggari tanpa tujuan? Bukankah
mengkonpiuskan, pabila melihat kereta di sebelah lebih ramai penumpang, kita
dengan suka-suka pergi merempuhnya? Ini jalan satu hala, kenapa perlu
berlanggar sehingga terhapusnya momentum untuk bergerak, sehingga terbantutnya
perjalanan menuju abadi? Kenapa?
Pada hemat saya. Satu sebab yang utama adalah tujuan. Mungkin saja arah
jalan ini tidak sehala. Kerana pabila jalan ini tidak sehala pasti logik lah
jika berlaku kemalangan di jalan raya. Bila mana tujuan yang suci dimanipulasi,
akan timbul hasad dalam hati, akan terkotori nafas yang murni sehingga
membuahkan konflik yang menggila. Cuba kita fikir secara logik dan penuh
hikmah. Adakah betul arah yang kita lalui ini adalah satu arah atau sudah mulai
mencapah?
Ingat ye. Seorang pemandu teksi tidak lain dan tidak bukan hanyalah
bertugas menghantar pelanggannya ke destinasi. Bukan pula melanggar atau
merosakkan teksi yang lain. Siapa yang cepat, pastilah dia yang dapat penumpang
dahulu. Dan bergantung kepada penumpang, yang mana dia lebih mesra atau senang,
pastilah teksi itu yang dipilihnya. Jika kita tidak puas hati, sila cakap pada
Allah kerana Dia jua lah yang memegang hati-hati manusia. Akhirnya kembali
kepada poin pertama, adakah arah kita sama atau sedang mencapah? :)
Bila bercakap pasal perbezaan kumpulan ini. Teramat suka hatinya saya
mencontohkan satu kondisi yang ada saya di dalamnya. Suatu kondisi yang berlaku
di dalam sebuah kolej yang saya senangi. Begini. Di dalam kolej tersebut
terdapat tiga persatuan yang berbeza iaitu HOPE, ISAC dan GNCC. Jelas. Dari
perbezaan nama kumpulan-kumpulan ni, masing-masing bergiat dalam aktiviti yang
berbeza. Satu kumpulan tertubuh atas dasar palestin. Ada pula diasaskan bagi
menyebar islam melalui seni. Dan ada juga diadakan sebagai pembimbing kepada
seantero muslimin dan muslimat di kolej.
Namun, hakikat perbezaan ini sebenarnya bertunjangkan satu motif yang
sama iaitu untuk melihat dunia ini kekal aman tanpa perang. Er. Maksud saya,
untuk untuk menyebarkan da’wah islami dalam apa jua medium yang ada. Hm. Untuk
menambah kelazatan cerita benar ini. Di kolej tersebut, juga, adanya satu kuasa
besar yang mengawal atau menjadi titik rujuk oleh tiga persatuan yang tadi.
Kuasa itu ialah BERKAT. Ketiga-tiga kumpulan tadi tunduk patuh pada BERKAT.
Tiada yang melawan apabila pihak BERKAT mengeluarkan arahan atau meletakkan
peraturan kerana BERKAT merupakan satu kumpulan tertinggi yang amatlah layak
untuk dithiqahkan. Sami’na wa ato’na gua cakap lu. Tak berani lawan punya.
Patuh baik je. Tak adanya nak main cakap belakang-belakang. Atau nak jatuhkan
sesama sendiri. Akibat menyedari hakikat perbezaan ini juga berbalik kepada
tujuan yang sama.
Hm. Poin saya. Zaman sekarang ni masih belum ada “BERKAT” yang mampu
menaungi kumpulan-kumpulan kecil yang sedang berjuang di atas lebuh raya ke
Sorga. Masih belum ada. Buktinya. Di saat peristiwa pada 1924 dahulu, masih
belum ada satu pun grup yang berjaya kembali menegakkan sistem khilafah yang
dahulunya tertumbangkan. Jadi, jelas di situ. Walaupun beribu riban kumpulan
yang sedang bergiat aktif dalam mencapai “ustaziatul alam” (nota: mungkin ada
grup menggunakan istilah yang berbeza tapi konsepnya tetap sama), masih belum
ada satu kuasa yang bisa mencakupi semua kumpulan tersebut. Mungkin sahaja
tidak akan ada selagi khilafah belum tertegakkan. Suka saya kuot sebuah
kata-kata lejen dari Hassan al banna:
“Kita bersepakat di atas perkara yang kita sama-sama setuju, dan berlapang dada di atas perkara-perkara yang kita perselisihkan”
Persoalan sekarang. Di era tiada khalifah ini. Apakah sikap kita pada
mereka yang berlainan kumpulan daripada kita? Hm. “innamaa waliyyukumullah wa
rasuluh wallazii na aamanu.. Sesungguhnya penolongmu hanyalah Allah, RasulNya
dan orang-orang yang beriman..” (surah al-Ma’idah; 5:55). Berpandukan ayat
ini, saya yakin. Perbedaan kumpulan ini bukanlah satu kepincangan selagi tidak
bercanggahkan al-Quran dan as-Sunnah. Bahkan ia adalah sesuatu yang saling
menguatkan. Kerana siapa lagi penolong kita atau gemar saya ungkapkan: Siapa
lagi kroni kita selain daripada Allah dan RasulNya kalau bukan orang-orang yang
beriman. Jadi. Apa guna nak gaduh-gaduh kalau kita semua mahu capai satu
tujuan?
Perselisihan itu mungkin terwujud dek silap penggunaan kata. Pertembungan
itu mungkin terhasil dek dua arah yang berlawanan. Percakaran itu mungkin tertimbul
dek berbeza kefahaman. Dan ketaqwaan jualah yang menyatukan hati-hati kita.
Kerana kita akhirnya adalah bersaudara: “innamal mukminuna ikhwah..; sesungguhnya
orang-orang mukmin itu bersaudara..” (al-Hujurat; 49:10). Selagi mana
kita berpayung di bawah panji Islam dan melaksanakan amanah da’wah,
senantiasalah berlapang dada dan berbaik sangka demi mengejar redha Allah.
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang
baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu,
Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang
lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (an-Nahl;
16:125)
Jum kita sama-sama buat kerja. Jangan nak duk condemn sape-sape. Kerana kita
adalah kroni di bawah panji yang sama :)
(p/s: Beberapa hari lagi sebelum hekzem bermula.. Dup dap.. dup dap..)
No comments:
Post a Comment