Pages

Followers

Monday, August 6

Dunia Yang Gemar Bergurau

Alhamdulillah.

Indah terasa nikmatNya. Cuaca hari ni terasa nyaman dan amatlah menyegarkan. Kembang-kempis hidung menyedut oksigen sambil lalu menghembus karbon dioksida yang berasid. Wah! Terima kasih, ya Allah! Kerana mentakdirkan saya masih sihat hidup pada hari ini. Juga, kerana masih memberi kesempatan kepada mereka untuk membaca entri ini. :D

Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis berkenaan isu ini. Tapi apa kan daya. Terlalu sibuk dengan urusan dunia yang tak pernah habis. Hm. Tapi hari ini, saya bertekad untuk berhenti sebentar untuk menulis. Semoga dengan waktu yang singkat ini saya dan kalian tergolong dalam kalangan orang yang beruntung seperti dalam surah al-Asr. Insha’Allah.

Hm. Manusia sering dilekakan dengan bermacam-macam hal yang entah bila nak selesai. Mula-mula kerja ini. Kemudian, kerja itu. Akhir sekali, kerja lain pula. Haish! Sibuk benar gamatnya! Kerja yang bertindan-tindan ini kadang-kadang menghambat kita untuk terus dibelenggu tarikh garisan (baca: date line) yang semakin hampir. Uh. Menakutkan!

Sebab itulah, kita ditegah untuk bertangguh kerana bertangguh itu bakal mencuri masa kita di kemudian hari. Dan itulah apa yang sering berlaku pada saya. Hihi. Tapi walau banyak mana pun urusan yang menimpa, tinggi mana pun kerja membukit, yang paling penting adalah amal ibadat jangan tinggal. Jangan lupa tujuan hidup yang paling utama. Jangan lupa buat dakwah. (!)

Mesti pandai urus masa!

Selalu juga saya terserempak dengan kejahilan dan entahbagaimana saya tiba-tiba turut lepak bersama ‘mereka’. Antara kejahilan yang biasa saya jumpa adalah permainan di FB, game, movie, komik online dan pelbagai apakebendaentah lagi. Hm. Jelas, masih ada lagi saki-baki karat jahiliah yang masih belum disental habis dengan sabun cuci pinggan. Oh. Betapa lemahnya diri ini:

“Saya tahu saya perlu tinggalkan benda ini semua tapi saya tak mampu.”

‘Ohoi, bang! Betul ke tak mampu? Atau hanya sekadar alasan murahan, mengelak dari mengatakan tidak mahu? Ohoho. Mari saya tempeleng kepala abang. Pasti seronok berganda-ganda!’

“Er. Suara siapa tu?” Lihat kiri. Lihat kanan.

Hm. Betul juga. Kalau betul lah kita nak berubah pasti sahaja kita ada MAMPU. Masalahnya kita sahaja yang tak betul-betul MAHU. Jika ada game dalam Samsung Galaxy, terus picit delete. Jika ada movie, koleksi cerita Kamen Rider atau game FIFA 2012 dalam laptop VAIO terus tekan SHIFT+DEL. Kalau suka baca komik online? Er. Ah, pandai-pandailah nak hidup! Buang segala mak datuk nenek kejahilan!

Mari pergi lebih glokal. Eh? Hihi. Acap kali juga tersiar di dada-dada akhbar berkenaan gejala rempit, hisap dadah, merokok serta membaca blog sampai lupa solat. Persoalannya, apa tujuan sebenar aktiviti-aktiviti riadah ini diadakan? Kenapa perlu buang masa? Kenapa perlu buang duit kertas lama? Kenapa perlu buang tenaga untuk gejala tidak bermoral sedangkan anda tak sahur pagi tadi?!

Lazimnya, orang akan cakap bahawa mereka menjebakkan diri dalam aktiviti gaming, rempit-ing, smoking, blogwalking dan lain-lain adalah kerana untuk melepaskan tension yang sibuk menghimpit. Betul! Saya tak boleh nak kata salah. Perkara tersebut mungkin sahaja boleh menjadi alat ke arah kehidupan yang lebih bermakna. Mungkin juga gejala ini ada faedahnya.

Namun, saya percaya masih ada perkara lain yang lebih layak menjadi jambatan untuk mengecap kebaikan. Ya, lah. Bimbang juga kalau-kalau ‘wasilah’ (alat) ini sebenarnya jahiliah yang menyamar. Apa yang disangka baik rupanya buruk untuk diri kita. Apa yang disangka ubat rupanya pil bunuh diri. Apa yang disangka enak rupanya telah tamat tarikh luputnya.

Percayalah cakap saya, kita semua wajib membanteras jahilah dalam diri kita. Sememangnya, akan terasa berat untuk meninggalkan dan melepaskan. Kerana telah melakukannya bagai rutin harian tanpa segan silu. TAPI sampai bila kita mahu terperap di dalam kepompong kejahilan? Sedangkan ulat beluncas pun hanya berkepompong  selama seminggu. Inikan kita pula.

Sudah pasti pabila semua jahiliah ini ditinggalkan, segala urusan akan lebih terurus dan terjaga. Semua tugasan dan jutaan kerja dapat diselesaikan sepantas kilat yang memancar terang. Pasti juga, akan ada masa untuk kembali ingat Tuhan. Akan ada juga masa kecederaan untuk rehat sebentar bersama Kit-Kat di tangan.

Nikmat 24 jam ini pasti lebih terasa! Pasti!

Di sini, saya dengan senyuman gembira indah menawan ingin mengajak kita semua (Ya, kita semua!) keluar dari kepompong ini. Keluar dan terbang bersayap kembali ke atas landasan siratulmustaqim. Terbang tinggi-tinggi menjadi penyelamat ummah. Terbang tinggi lagi untuk menuju syurga yang abadi. Kerana percayalah ‘mereka’ sedang menanti tibanya kita di sana. Insha’Allah.

(p/s: Ingat tahu, kekosongan yang ada jangan dibiarkan kosong. Sebaiknya, isi dengan perkara yang seronok dan bermanfaat dunia akhirat.)

1 comment:

  1. terima kasih atas peringatan.moga membawa kebaikan untuk semua. ^_^

    ReplyDelete