Pages

Followers

Saturday, August 4

Ramadan Yang Pantas Berlalu.

Alhamdulillah. Kita masih hidup sepanjang separuh Ramadan yang pertama. 15 hari telah silih berganti. Dan masa terasa deras berlalu tanpa pernah berhenti beritahu. Hm. ‘Adakah Ramadan kali ini lebih awesome dari yang tahun lalu?’ getus hati kecilku. Aku sedar, masih ada terlalu banyak ruang yang wajib diperbaiki.

Ibadatku. Amalanku. Masa yang tanpa segan berlalu.

Aku sedar, mungkin sahaja ini merupakan Ramadan yang terakhir buatku. Aku tahu, pada bila-bila masa sahaja Izrail akan datang melewatiku. Aku juga cakna, bahawa aku bukanlah hamba Allah SWT yang benar-benar komited dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang abid dan khalifah. Hm. Masih banyak yang perlu ditambah baik.

Namun, aku tahu. Masih belum terlambat untuk aku kembali ke landasan siratulmustaqim. Selagi nyawa ini belum ditarik. Selagi jantung ini kental berdegup. Selagi kiamat belum berlaku. Aku yakin, aku masih belum terlambat! Allah SWT masih beri ku ruang dan waktu untuk luruskan nawaituku, memohon ampun tanpa jemu.

Kini fasa ke-2, yakni fasa keampunan. Pastiku rebut peluang keemasan yang berkilau-kilau ini. LaranganNya yang dilaku tak akan lagi membelenggu. SuruhanNya yang tak berlaku tak akan lagi ku buat tak hirau. Aku takut. Kerana Nabi SAW pernah mengaminkan doa Jibril a.s. bahawa, celakalah orang yang keluar dari Ramadan tanpa diampunkan dosa oleh Allah SWT.

Siapa mahu jadi orang yang celaka? Anda mahu? Hm.

Tadi, selesai berbuka puasa aku terdengar satu ungkapan yang agak kurang enak terlafaz dari mulut seorang teman:
“Yeay! Dah dekat nak raya!”

Betul lah apa yang terungkap. Namun, aku hairan. Perlukah rasa gembira dalam menghitung waktu untuk mengakhiri Ramadan? Aku tidak yakin itu wajar. Ramadan ini bulan penuh rahmat. Bulan ini bulan pengampunan dosa. Dan bulan pelepasan diri dari azab api neraka. Ini bulan bonus untuk seluruh umat Islam yang bertakwa.

Tambahan lagi, ada satu malam yang jauh lebih baik dari 10000 bulan. Walaweh! Mana nak jumpa malam sebegitu jika tidak di bulan Ramadan? Hm. Lagi, syaitan semua dirantai. Hanya nafsu yang menjadi musuh perobek iman yang entah kukuh entah tidak.  Pintu neraka pula semula dikatup rapat. Wah! Masih adakah rasa gembira untuk meninggalkan bulan penuh hikmah ini?

Seterusnya, pahala amalan sunat seperti amalan fardu. Pahala amalan fardu pula digandakan. Suasana yang sepatutnya mendidik jiwa menjadi tujuan. Ramadan, Universiti Tarbiyah menjadi julukan. Memang benarlah, jika kita betul faham keindahan dan kenikmatan berRamadan, pasti kita impikan Ramadan di sepanjang tahun.

Walaubagaimanapun, 30 hari Ramadan ini pasti juga akan pergi. Umpama tetamu yang datang berkunjung sebentar. Selesai urusan, pasti akan pergi jua. Jadi, jangan lepaskan ruang dan peluang yang masih terhidang di depan mata! Pastikan tetamu ini dilayan baik! Usahlah tunggu tetamu ini pergi baru mahu menyesal. Ohoh.

Siapa nak Ramadan sepanjang tahun, sila angkat tangan!

(p/s: Masih ada separuh Ramadan. Wajib sepenuhnya manfaatkan saki-baki Ramadan yang tinggal.)

No comments:

Post a Comment