Kabur. Langkahan ini amat sukar terhabiskan. Kerna di mana langsung kaki
ini wajar menapaki tidak gagah kelihatan. Ya, kaki ini sudah bisa di angkat
keluar menembusi lelumpur karat waktu silam tapi… di mana pula tapakan ini
harus ditamatkan? Apa pula jejak yang seterusnya?
***
Shiuhhhh.. Shiuuhh…
Angin bertiupan lembut. Menyapa dan membelai mesra tetubuh yang dilewati.
Begitu mesra hinggakan kosong pemikiran dari anasir-anasir buruk yang
mencengkam. Layaknya, terlihat satu jasad tinggi tiga kaki tidak jauh dari
sebuah pepohon hijau yang makin melayu. Warna dedaun yang kian pudar, bebunga
pula bersepahan di keliling. Hanya ada dedebu dan tanah kering yang menjadi
peneman daun-daun di bawahan.
Jasad itu yang tadinya duduk berlindung bawah redupan matahari, kini
menggagahkan kaki untuk mula berdiri. Dicuba capai lembut apa reranting yang
mampu digapai. Kakinya terketar-ketar. Akibat cuba meraih sokongan penuh dari
sang ranting, iapun lalu patah. Dan jasad itu kembali rebah melutut di tanahan.
Sambil di tangannya ada baki ranting berserta daun kehijauan.
Dia lalu kembali ke posisi asal.
Duduk bersandarkan batang pohon yang mereput. Dia perhatikan di sisi
kakinya. Ada seekor rerama. Cantik. Tetapi lemah. Begitu lemah sehinggakan
tidak mampu lagi terbang dari bunga ke bunga. Mungkin ini penghujung hayat
singkatnya. Kesian melihatkan siksa yang menimpa sang rerama, dia laju
menghenyak tubuh kecil itu hingga mati. Melepaskan ia dari derita dunia.
“Ah… Semuga kau tenang wahai sang rerama.”
***
Masih. Panca indera tidak dapat menembusi sesaknya penglihatan. Asap,
dedebu serta apa yang ada berhimpun menggelapkan cahaya yang gemilang.
Dan dia pun terus lagi cuba berdiri. Perlahan-lahan. Tangannya meraba
pada kulit pokok yang kasar. Kakinya masih terketar-ketar. Dan nafasnya cuba
dikawal sebaiknya. Peluh merembes. Membasahi tubuh yang gasar. Alhamdulillah. Alangkah
gembira bukan kepalang atas keberjayaannya itu. Dia sudah mampu berdiri. Kini dia
hanya perlu melangkah pula.
Dia menenyeh-nenyeh matanya. Dan mengulangnya lagi. Cuba sedaya mungkin
untuk lihatnya kembali jelas. Sedih. Tiada apa yang berjaya dilihatkan. Hanya ruang
penuh debu yang menunggu dihadapnya. Kabur. Langsung tiada apa yang dia
hendakkan. Dia usaha lagi. Matanya digosok ulang berkali-kali. Hingga kemerahan
bebola matanya.
Pedih.
Dia berhenti menggosok. Matanya berair bukan darah. Dan matanya juga
merah bukan marah.
Hakikatnya. Dia sedih. Dia menangis. Kerna tidak nampak mana arahnya. Dia
cuba lagi menggosok mata. Dan meneropong semula. Gosok lagi. Dan lagi. Sehingga
akhirnya dia pun buta.
***
Jasad itu masih terkandas. Masih tidak bebas dari belenggu dunia yang seakan
membeku. Tidak bergerak kaku bagaikan waktu sedang berhenti menunggu. Ah, hiperbola!
Mana mungkin masa akan menanti. Kerna ia adalah makhluk yang tak reti erti
henti. Dan siapa pula aku untuk dia sejenak beradu.
Cuba berdiri lagi jasad itu. Tapi kali ini dengan strategi yang nyata berbeza
dari sebelumnya. Jika sebelum ini, deria lihat mengecewakan. Buat kali ini, dia
cuba berjudi nasib guna deria dengar. Mengumpul seluruh baki kekuatan. Dia mengambil
sejumlah nafas yang berharga. Langsung dengan satu hembus dia melolong kuat
menjerit minta dibantu. Berkali-kali dicuba dan berhasil juga hujungnya. Ada suara
yang menyahut dari satu punca kejauhan.
Tapi…
Suara itu bukanlah yang biasa didengarkan. Berfikir sejenak.
‘Ah… bukan-bukan. Bukan suara itu yang harus ku tuju,’ putusnya.
Lalu, dia menjerit lagi sekuat hatinya. Dan lagi ada suara yang
kedengaran dari sebuah kejauhan. Cuba dia amati setajam-tajamnya. Bait kata-kata
yang terucap dari hujung sana.
Khuatir. Siapa pula kali ini?
Rebah.
Dia terduduk kebuntuan.
***
Beberapa kurun langsung berlalu.
‘Eh, lama sangat tu!’
Er… maksud saya… beberapa HARI langsung berlalu. Kedengaran derapan kaki
yang berderap-derap di muka tanah yang kontang itu. Di balik kabus yang tebal
ada sekumpulan pengembara yang datang dari jauh.
‘Woi! Memang lah datang dari jauh…
nama pun pengembara… piiraahhh!’
Ah! Jangan kacau! Shuhhh! Main jauh-jauh. Suka hati aku lah nak cakap
apa. Pfft.
Eh? Er… maaf… maaf… kita teruskan cerita deh…
Di balik kabus yang tebal ada sekumpulan pengembara yang datang dari
jauh. Banyak tunggangannya, banyak juga bekalan yang dibawa. Dan kumpulan itu
melewati sebuah pohon tua. Ketuanya lalu mengarahkan anak buahnya berhenti
berehat di situ.
‘Pelik. Kenapa di sini begitu tebal kabusnya?’ getus hati sang ketua.
Dia melangkah-langkah untuk melihat apa yang ada di sekeliling
persekitaran itu. Dan alangkah terkejutnya pabila terlihatkan sebuah jasad yang
kini menjadi mayat; seorang lelaki entah berapa umurnya. Pilu. Sebak. Ketua rombongan
itu mendakap jasad itu. Dia langsung memanggil anak buahnya minta
digalikuburkan mayat itu.
Selesai dikerjakan. Sang ketua masih berada di dekat kuburan. Dia masih
terkedu. Cuba menahan tangis, perlahan dia bersuara...
"Tsk... Tsk... Kenapa dia tak nampak...? Tsk... Sorga ada di balik kabus itu..."
-THE END-
enonimus: Ahh! ‘Jerebu’ atas dunia
ni tebal sangat. Macam mana umat nak nampak sorga?
salam..
ReplyDeletemanusia, sering lalai, alpa, n macam2 lagi la. tapi, kerana kelalaian itula sorga sejauh sejengkal xmampu diraih..
namun begitu, rahmat Ilahi itu melangit luas, kerana itu seseorg juga mampu meraih sorga sedangkn neraka hanya sejengkal jauhnya.
*peringatan y bagus, tersirat dan mendalam. :)