Pages

Followers

Saturday, June 29

Naum


“Huaaargghh!” Fathi menguap panjang.

Dalam kepalanya pusing. Sedang berkira-kira, pukul berapa agaknya sekarang ini.

Bilik gelap. Tak nampak apa-apa. Fathi pula lupa mana letaknya telefon bimbit kesayangannya. Mahu dia tak sayang, telefon itu merupakan hadiah rakan usrohnya selepas dia kehilangan telefonnya yang pertama. Indahnya ukhuwah. Bukan pada materi. Bukan juga pada nilai estetika. Tapi indahnya hadir pada nilai sentimental dan ketarbawiyyan kukuhnya persaudaraan.

Huh. Apa Fathi mengarut ni? *garu kepala*

Dia meraba-raba di sekeliling katilnya. Mencari-cari telefon Samsung Galaxy putih. Di bawah bantal, tidak ada. Di bawah selimut, tidak ada. Di dalam poket, juga tidak ada. Hm.

Bila tak jumpa, Fathi pun buat keputusan mudah. Tidur semula lah jawabnya.

Zzzz…

***

Kali kedua bangun, pada malam yang serupa.

Fathi duduk. Matanya kuyu. Dia cuba buka mata luas-luas dan kelilingnya masih gelap.

‘Eh, tak siang-siang lagi ke? Aku rasa dah lama tidur ni. Hm. Pukul berapa yeh sekarang?’ Fathi bermonolog sorang-sorang.

Sekali lagi, dia berkira-kira, pukul berapakah di jarum waktu. Semalam dia tertidur awal. Tika sedang membaca buku Muntalaq karangan Muhammad Ahmad ar-Rasyid, dia beransur-ansur terlelap dan langsung terlena terus. Letih sangat agaknya. Petang-petang beriadah, mahu maintain qawiyul jism.

‘Tapi… siapa pulak yang tutup lampu tadi?’ Fathi menyoal warasnya. ‘Ahh! Lantaklah! Awal lagi kot.’

Langsung dia sambung melayari bahtera mimpi.

***

Begitulah.

Dan ke sekian kalinya, dia terjaga lagi. Entah kenapa,

‘Haish. Apehal dari tadi asyik terjaga ni? Payah betul nak tidur,’ Fathi mengomel seorang diri. Kepalanya digaru-garu lembut. Kemudian, bahu kirinya pula digaru-garu.

Masih gelap. Suara syahdu alunan merdu bacaan al-Quran di surau terdekat belum dimainkan. Emak belum datang kejutkan lagi. Ayam juga belum lagi mula berkokok. Ini bukti-bukti sahih bahawa malam masih muda. Dan masih lambat lagi untuk hadirnya pagi. Begitulah fikir Fathi.

Dan satu perkara yang bertindak sebagai faktor pengukuh kepada teorinya tadi adalah Samsung Galaxy. Masih bisu diam berjuta bahasa. Tidak langsung bersuara melangsungkan lagu Jejak dendangan Izzatul Islam atau nama pendeknya, Izis. Bertambah yakin lah Fathi bahawa tidur itu adalah amal qawiy di ketika itu.

Sepatutnya, alarm berbunyi pada pukul 4.30 pagi. Sebab Fathi ingin bangun qiam bagi melunaskan mutabaah amalnya di waktu cuti.

‘Hm… confirm awal lagi ni.’

***

Gelap.

Terdengar ngiang-ngiang bunyi moskuwito menghampiri hinggap untuk mendapatkan supply darah merah. PAPP! Fathi laju sahaja mematikan usaha murni moskuwito tersebut. Pantas betul.

Dia meraba-raba di sekeliling, mencari selimutnya. Jumpa. Ingin sahaja dia melitupi seluruh badannya dengan selimut. Barulah takde nyamuk kacau. Tapi… fathi bukanlah berbadan kecil. Selimutnya pula tidaklah bersaiz besar. Ala kadar sahajalah tutupannya. Cukup dari hujung kaki sampai ke paras dada. Tanpa syak lagi, bahagian muka sering menjadi sasaran penghisap darah tegar. Aduhai.

Sekali lagi nyamuk hinggap tepat di pipi kanannya yang gebu. Belum sempat makhluk itu mencucuk ke dalam salur darah, Fathi bertindak balas dengan amat cepat sekali. Dan gugur jugalah nyamuk ini. Kasihan.

Senyap. Sepi. Sunyi.

‘Takde nyamuk dah ke?’ Fathi timbul bosan.

Malam ini, payah betul dia mahu tidur.

‘Hm… Kalau buka lampu ni bagus juga. Baru aku boleh tahu sekarang ni pukul berapa,’ Fathi bermonolog.

Dia bangun dari katil saiz queen. Langkahan kakinya sedikit longlai, baru bangun tidurlah katakan. Dia cuba meraba-raba di serata, mencari suiz untuk menghidupkan lampu kamar ruang beradu. Tangannya tersentuh dinding. Dia meraba lagi. Perlahan-lahan.

Tapi entah di manalah suis lampu ini berada. Biasanya, senang je nak jumpa. Tapi malam ni…

Fathi putus asa. Dia kembali ke katil dengan perlahan. Seakan-akan zombie geraknya.

***

Burung pun berkicauan. Kokokan ayam bersahut-sahutan penuh kegembiraan.

Ya, anda sendiri boleh agak. Hari sudah siang.

Hadoi. Klisenya cerita ni. Pfft. Bosan.

Baiklah. Kita buang part beburung dan ayam-ayam itu. Kita tukar sikit yeh? Senyum.

***

Matahari mula menyinar. Melempiaskan cahayanya yang terang. Menyuluh setiap pelosok dan sosok tanpa sedikit pun yang kurang. Rata sahaja warnanya. Pelik. Warna putih ini turut membahang. Panas. Bagaikan matahari ada sejengkal jaraknya dari atas ubun-ubun kepala.

Fathi terjaga. Matanya silau tatkala melawan gemilangnya cahaya.

‘Errghhh… dah siang ke?’ matanya melilau ke kiri dan ke kanan.

Matanya yang sepet cuba dibuka. Dan satu panorama yang begitu asing bagi dirinya bila lihat di keliling. Dia menggaru-garu pipi kanannya. Gatal. Mungkin ada nyamuk yang berjaya mencilok sample darahnya.

Fathi pandang ke bawah, di sisi katilnya. Dia ternampak telefon Samsung Galaxy. Cermat dia membongkok bagi mencapai telefon tersebut. Berjaya digapai. Dia menyapu-nyapu skrin telefon. Tersenyum seketika. Lembut sahaja dia menekan punat utama. Password pun dimasukkan: 2-3-0-5-1-5-6.

Dan tertera jelas pada jarum jam analog pada skrin telefon bukanlah nombor. Tapi satu tulisan:

KIAMAT.

-THE END-

enonimus: Sampai bila mahu tidur hah? Umat kat luar tu sedang tenat. (naum=tidur)

No comments:

Post a Comment