Pages

Followers

Thursday, July 25

Wangi

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya...”
***

Huzair: Man, cepat jom! Kita dah lambat neh!

Aman: Yeala… Yeala… Nanti jap aku turun.

Seketika menunggu, kelihatan Aman laju menuruni tangga dari bilik di tingkat dua. Aman dan Huzair tinggal bersama di sebuah rumah teres sempit. Sewa bulanan tidaklah mahal. Cukup-cukup sahaja untuk ditampung ikhwah bujang seperti mereka berdua. Pada mulanya, mereka tinggal bertiga, bersama Yusbar. Namun, setelah Yusbar berkahwin, mereka akhirnya berdua sahaja. Nak dijadikan cerita. Walaupun Yusbar, atau nama panggilannya Uba telah berpindah, sampai sekarang pun dia masih menolong Aman dan Huzair melunaskan sewa rumah tersebut. Jelas. Uba tidak mahu membebankan dua saudara seaqidahnya itu.

Huzair: Amboi! Wangi kemain!

Aman: Ahaha. Biasa aje. Eh, jom lah. Tadi cakap kita dah lambat kan?

***

Petang itu. Sesudah kuliah tamat, mereka berdua pun pulang ke rumah sewa. Jarak dari rumah ke kolej tidaklah jauh sangat. Berjalan kaki pun belum tentu letih mahupun berpeluh. Tapi. Memandangkan sekarang bulan Ramadhan, lain pula lah cabarannya. Sejengkal bagai sehasta. Sehasta bagai sedepa. Sedepa berapa jauh pula agaknya? Seusai tiba di rumah…

Huzair: Fuh. Penat betul hari ni.

Aman: Ha’ah. Betul tu. Aku pun rasa letih semacam je.

Huzair: Hm… Ni mesti sebab kita tak bangun sahur pagi tadi.

Aman: Haha. Yeala kot. Dua-dua pun tak sedar. Tahu-tahu je dah azan Subuh.

Huzair: Dulu tak camni. Dulu, Uba selalu kejutkan kita… kan?

Mereka berdua pun mengimbas kembali sketsa Ramadhan pada tahun lepas. Ketika Uba belum lagi berkahwin. Ketika Uba masih lagi tinggal sebumbung dengan mereka. Seronok. Antara sebabnya, Uba selalu bangun awal untuk kejutkan mereka bersahur. Tambahan pula, Uba pandai memasak. Jimat sedikitlah duit mereka masa tu.

Yusbar: Uzir, jom bangun. Cepat laah. Dah nak Suboh ni. Nanti tak sempat nak sahur pulak.

Huzair: Kejap… Kejap.. Cuba kau kejutkan Aman tu dulu. Lepas tu, kejut aku balik.

Yusbar: Hekeleh. Suka hati dia je. Hm… Man, bangunn! Dah lambat ni. Kita sahur jom!

Aman: Okeh okeh… aku dah bangun ni. Hah! Kau pergi kejutkan Uzir pulak.

Yusbar: Er…

***

Di suatu ruang yang lain…

Yusbar: Hacuum! Ada orang tengah borak pasal aku ke ni? Mesti budak dua orang tu.  =.=’

***

Jam hampir pukul 7.17 minit petang. Ada sepuluh minit lagi sebelum azan Maghrib berkumandang bagi menandakan telah masuk waktu berbuka. Untuk hari pertama berRamadhan tanpa Uba, mereka berdua mahu ke Masjid Sultan Ahmad Shah untuk berbuka. Dengar cerita, pihak masjid ada menyediakan makanan berbuka secara percuma. Nasi Arab pulak tu. Perrghhh! Mana nak dapat?

Huzair: Man, kau pakai minyak wangi apa ni? Wangi semacam je aku bau?

Aman: Aku pakai minyak atar jeala. Wangi… kan? Parent aku bagi hari tu.

Huzair: Ouh… patutlah sedap je bau.

Aman: Hah. Aku ada bawak ni. Kau nak sikit?

Huzair: Eh, takpe takpe. Aku dapat bau pun dah cukup.

***

Berbuka sudah. Maghrib berjemaah pun sudah. Tarawikh 8 rakaat sudah. Witir pun sudah. Aman dan Huzair pun pulang ke rumah. Kepenatan. Mungkin makan terlalu banyak. Mungkin minum terlampau-lampau. Malam itu mereka masuk tidur awal. Tak mahu terlepas sahur buat kali yang seterusnya. Malam itu hujan pula. Aduhai, nyamannya suasana. Amatlah sesuai untuk berhibernasi walau tak lama.

Huzair: Eh, Uba. Kau masak apa hari ni? Aku lapar laa…

Yusbar: Hari ni aku masak istimewa punya. Aku jamin kau pasti suka.

Huzair: Kau masak apa je?

Yusbar: Tadaaa! Aku buat Ayam Masak Lemak Cili Padi Kaw Kaw Punya.

Huzair: Mak aih. Panjang bebeno namanya.

Yusbar: Eheh. Biasalah.

Huzair: Hm… Eh, apsal kau ada kat sini? Zaujah kau tak marah pulak kau datang pagi-pagi buta ni?

Yusbar: Macam mana dia nak marah. Aku ada kat dalam mimpi kau kot.

***

Aman: Huarghhh!! Hm… dah pukul berapa ni? Eh, dah pukul 5.10 la!

***

Aman: Uzir! Bangun bangun! Jom sahur jom! Dah pukul lima lebih ni.

Huzair: Sahur? Alaahh. Jap lagi la. Aku tengah mimpi best ni. Uba masak untuk aku kot. Aku nak sambung mimpi jap yeh. Nanti, kejut aku balik okeh.

Aman: Eh, apa pulak? Jom jom! Bangunn! Sahur sahur!

Huzair: Yeala… okeh okeh.

***

Di petang hari berikutnya, seperti biasa, mereka pun pulang ke rumah sewa setelah selesai berkuliah. Kali ini, mereka berdua tampak lebih segar. Lebih bertenaga. Lebih ceria. Tidak seperti semalam, layu bagai bunga tak pernah disiram. Lemah bagai anak kecil tak makan sehari semalam. Mujurlah Aman mengejutkan Huzair ketika bersahur tadi.

Huzair: Weh, best lah hari ni. Tak letih sangat macam semalam.

Aman: Samalah dengan aku. Rasa macam okeh je hari ni.

Huzair: Man, awal pulak kau bangun pagi tadi. Biasanya, kau pun liat jugak nak bangun macam aku ni. Kau ingat tak masa Uba kejutkan kita berdua dulu? Hahah. Kesian kat Uba.

Aman: Uzir, uzir. Sampai bila kita nak mengharap kat Uba je… kan? Kau ingat tak, masa Uba belum kahwin. Masa dia duduk sekali dengan kita. Uba pernah kongsi satu hadith kegemaran dia.

Huzair: Oh, hadith tu. Aku ingat. Hm…

***

Petang itu, pukul 6.55. Mereka pun bersiap untuk ke Masjid Sultan Ahmad Shah. Kali ini, mereka mahu pergi lebih awal. Tak mahu lewat macam semalam. Tak mahu beratur panjang. Tak mahu juga lewat makan, sehingga tak sempat menjadi makmum ketika rakaat pertama solat Maghrib. Setelah selesai tarawih serta witir, mereka pulang ke rumah. Dan terus sahaja mereka masuk tidur seusai semua urusan habis dikerjakan.

Aman: Hohoi Uba, best betul bau. Kau masak makanan kegemaran aku yeh?

Yusbar: Korang ni… Takde mimpi lain ke? Asal mimpi makan-makan je mesti ada aku. Haih.

Aman: Er…

Yusbar: Hah. Apsal diam? Gurau sikit pun tak boleh. Hahah.

Aman: Hahah. Ada-ada je kau ni. Eh, Uzir? Apsal kau pun ada dalam mimpi aku ni?

Huzair: Mimpi apekendanya? Dah dah. Bangun bangun! Jom, sahur!

***

Pagi keesokkan harinya. Matahari pun memuncak mesra. Cahayanya mendakap segala apa yang ada di atas Bumi. Aman dan Huzair pun mula bersiap untuk ke kuliah pada pagi itu.

Aman: Mantap ah! Awal pulak kau bangun pagi tadi… kan?

Huzair: Heheh… Takde lah awal sangat.

Aman: Jazakallah khoir.

Huzair: Jazakallah khoir jugak. Hm… Betul la kau cakap semalam. Pasal hadis kegemaran Uba tu.

Aman: Apa dia yang betul?

Huzair: Sampai bila kita nak dapat bau harum dari ‘penjual minyak wangi’ aje kan? :)

-THE END-

Friday, July 19

Fujitif - part I

Salam.


Aku Dzikri Phuzi bin Abdul Latiff. Sudah 8 tahun aku dipenjara. Malam ini, aku tekad mahu lepaskan diri. Aku sudah tak mahu lagi hidup dalam sangkar besi. Aku perlukan ruang… ruang untuk terbang bebas mengepak. Bukan setakat berlegar dalam petaknya kurungan. Serik. Aku beriya mahu lari di sini. 

Jadi. Bagaimana? 

Anda mahu ikut?

Hm...

Mungkin aku boleh cuba yakinkan anda terlebih dahulu.

Cubalah lihat pada sekeliling. Sekali pandang memang tampak mewah. Ada wanita, ada harta, ada pangkat. Ya, nampak hebat. Mereka ke sana ke sini bertemankan mimpi yang tinggi beserta hasrat yang menggunung. Lihat pula di baliknya, apa yang anda nampak?

Cuba jadi jujur. Apa sebenar yang mereka mahu, apa yang kita mahu? Pangkat korporat? Harta berjuta? Wanita lawa? Tidak. Aku tidak fikir begitu. Sebenarnya kita semua hanya kepinginkan arti ketenangan. Kita mahu rasa senang. Bebas dari kecamuk minda. Bebas dari belenggu masalah-masalah. Ironinya, kita ditipu… seperti di atas dunia ini kita hidup selama-lamanya. Kita bersusah berpayah. Nanti selepas mati, tamat cerita?

Hey, kawan! Tak semudah itu.

Dari pandangan aku.. apa yang aku nampak… hanyalah mereka yang berwajah keliru. Tak tahu apa arah tuju, tak tahu mana perlu dituju. Dan aku juga sebenarnya pun sama. Aku keliru dan buntu. Bezanya aku ada nampak sesuatu… sesuatu yang lebih indah dari apa-apa yang pernah terlihatkan, melangkaui apa-apa yang terimaginasikan dek pemikiran kolot bercampur jumud.

Aku nampak tujuan walaupun ia masih kabur di pandangan.

Aku yakin... kehidupan sebenar di luar sana lebih luas, lebih mendamaikan hati yang bubuh kedamaian. Di luar sana, kita akan jadi lebih bahagia, tidak seperti dalam sini... hanya penuh pura-pura. Di luar sana, ada satu perjuangan yang harus kita perjuangkan. Aku tak rasa... kehidupan kita adalah setakat macam ni saja. Mesti ada sesuatu yang lebih syumul di luar penjara ini.

Jadi. 

Bagaimana? Anda mahu ikut? Jika mahu, lewat malam nanti kita bertemu semula di sini… iya?

***

Bagus. Nampaknya, anda memang kuat pegang pada kata. Hanya kebaikkan sahaja aku harap menimpa diri anda.

Hm…

Okay. Sekarang tiada orang-orangan. Mungkin mereka semua sedang tidur. Syukur. Lebih mudah kerja kita untuk lari dari penjara ini. Anda sudah bersedia? Kali ini kita betul-betul akan melarikan diri. Selepas ini tak ada lagi rutin kuno. Kita bakal melepasi tembok kitaran bodoh. Kita bakal mengecap kebebasan yang harmoni.

Jom! Cepat! Mari ikut aku.

***

Hati-hati!

Jangan laju sangat. Takut nanti ada pengawal yang akan perasan. Kita harus lebih berjaga-jaga. Kerana mungkin ini sahajalah peluang dan ruang yang kita ada untuk melepaskan diri. Jika kita tertangkap, mungkin lebih teruk seksaan yang akan terpaksa kita tanggung. Berhati-hati.. iya?

Lihat kiri dan kanan. Jangan sampai ada yang ada melihatkan kita. Dan… anda jangan takut. Kita orang yang benar. Walaupun aku sendiri masih mentah dalam mencari makna kebenaran, aku yakin dengan jalan ini. Benar-benar yakin.

Hah!

Cuba kamu lihat ke arah situ. Pengawal-pengawal itu sedang tidur. Ini peluang keemasan.

Ayuh!

***

Huh.. huh.. *nafas tercungap*

Bagaimana? Kita sudah berjaya keluar, apa rasa anda? Lebih bahagia atau derita?

Jujurnya. Aku lebih gembira berada di luar sini. Bebas dari gari-gari yang mengikat. Bebas dari ruang penjara yang menyempit. Bebas dari rasa takut kepada warden penjara. Kini aku bebas bernafas, menghirup garis udara yang segar-bugar bersih dari kekotoran. Aku yakin. Anda juga –sebenarnya- berasa begitu.

Hm…

Eh?

Siapa pula mereka itu?

Bukankah mereka itu pengawal yang menjaga penjara malam tadi? Mungkin mereka sudah perasan akan ketiadaan kita. Haish. Ini tidak boleh jadi. Kalau kita tertangkap, nahas kita nanti.

Bagaimana? Anda bercadang mahu lari atau kita kerjakan sahaja pengawal-pengawal itu?

***

Anda okay? Luka pada pipi kanan anda tampak semakin sembuh. Syukur.

Tak sangka pula, mereka begitu gagah. Hampir-hampir sahaja aku berfikir untuk mengaku kalah. Namun, ternyata. Kegagahan mereka tidak mampu membendung keperkasaan kita yang bersahaja. Syukur. Kita berjaya juga mengalahkan mereka.

Hm… baiklah.

Anda berehat di sini dahulu iya. Saya mahu keluar mencari makanan untuk kita berdua. Kita perlukan tenaga. Kerana perjalanan kita ini masih panjang. Ini baru permulaan. Penghujungnya pula memang sahih di suatu kejauhan. Semuga kita dilindung Tuhan.

Aku pergi dahulu yeh.

Eh?

Kenapa ni?

Hah?

Nak panggil aku apa?

Aku Dzikri Phuzi bin Abdul Latif. Panggil aku Fujitif.

BERSAMBUNG…

enonimus: Kalau mahu lari dari penjara dunia, cuba solat di pertengahan malam... Jiwa harus kuat, kerana pasti ada syaitanirojim datang ganggu.. Ah! Lawan sahajalah!

Thursday, July 18

GTH


Umar sedang menonton televisyen ketika telefon nya berbunyi tanda ada mesej masuk.

Dia lantas mematikan televisyen yang sedang memaparkan program ‘Kias Ramadhan’ seraya bangkit dari dudukannya. Langsung dia menuju bilik dengan telefon bimbit yang terpegang kemas. Pintu bilik itu ditutup perlahan, tak mahu ganggu mereka-mereka yang sedang nyenyak tidur. Suis lampu dipetik dan cahaya lampu kalimantan memenuhi segenap ruangan bilik yang sederhana besarnya itu. Umar menuju ke tilam. Dia terduduk bersandarkan dinding. Suis kipas kaki yang didekatnya pula kemudian dipetik. Berangin sedikit rasa Umar.

Setelah semua telah selesai. Perhatiannya kini tertumpukan pada telefon bimbit. Pada muka Umar ada timbul resah. Juga ada riak orang yang sedang mengharap. Seakan-akan mesej yang baru diterimanya tadi tersangatlah penting buat dirinya. Dia menekan punat yang sedia ada pada telefon itu penuh cermat. Dan terteralah nama satu sosok yang amat dirinduinya. Seorang teman yang amat rapat. Seorang saudara tidak seibu tidak sebapa. Jelas. Nama Quzairi terpampang pada skrin. Hatinya mula rasa gelisah. Kerana. Sudah sekian lama dia menanti mesej balas dari Quzairi. Berkali-kali dicuba Umar untuk menghubunginya. Baik melalui mesej, telefon mahupun mukabuku. Namun, langsung tidak dihiraukan Quzairi. Kali ini Quzairi menghantar mesej pula. Tanda tanya timbul, membuat Umar gelisah.

‘Apa agak-agaknya dia hantar ni yeh?’

Kemudian, Umar yang tidak mampu menahan sabar terus beralih ke ruangan mesej pada telefonnya. Apabila keluar mesej tersebut, dia berasa suspen bercampur hairan. Skrin telefon menunjukkan mesej yang amat ringkas. Sangat-sangat ringkas. Hanya ada tiga huruf besar:

'GTH'

‘Er… Apa ni?’ Umar keliru. ‘Apa maksud GTH? Tak pernah-pernah pulak aku dapat mesej macam ni,’

***

“Siddiq… sini kejap,” panggil Umar.

Kuliah baru sahaja tamat. Pensyarah sudah pun keluar meninggalkan dewan. Mereka yang lain sedang berkemas-kemas untuk turut keluar dari dewan kuliah yang mampu memuatkan 150 orang itu. Siddiq yang duduk di sebelah Umar juga begitu. Sedang asyik menyimpan alat tulis dan buku-buku ke dalam beg sandang, sebelum Umar tiba-tiba memanggilnya. Siddiq menoleh. Kelihatan riak muka Umar yang sesak dengan tanda tanya. Hairan. Tadi sewaktu pensyarah ada, tampak okay sahaja.

“Yeh. Ada apa?” ringkas Siddiq membalas.

“Hm… Aku ada benda sikit nak tanya ni,” Umar menyeluk poket kiri beg sandangnya.

Lalu mengeluarkan telefon bimbit. Dia mahu menanyakan berkenaan mesej yang diterima malam tadi. Hampir satu malam juga dia tenggelam dalam lautan penuh tanda soal. Sehinggalah selepas Subuh pun dia tak berupaya merungkai mesej ringkas yang dihantar oleh Quzairi. Kini. Dia sedikit terdesak. Dia benar-benar mahu tahu apa yang cuba disampaikan oleh Quzairi. Dia tak mahu lambat memberi mesej balas. Bimbang Quzairi memikirkan perkara yang bukan-bukan pula.

“Nah. Cuba kau baca ni?” Umar menghulurkan telefon bimbitnya kepada Siddiq.

“GTH. So?” Siddiq selamba memberi respon.

“Apa maksud GTH ni eh? Semalaman aku fikir. Tapi still tak tahu maksud dia,” Umar meluahkan kerunsingan.

Siddiq mengambil telefon yang ada pada tangan Umar. Bulat matanya membaca mesej pendek itu. Dia skrol ke bawah dan ke atas. Dia berfikir sedalam-dalamnya. Apa maksud GTH ni? Sedang Siddiq asyik meneliti mesej tersebut dia ternampak nama penghantar mesej, Quzairi. Siddiq tersenyum. Seolah-olah dia berjaya menafsirkan mesej misteri itu.

“Nah, ambik balik telefon kau ni…” Siddiq menghulur telefon itu kepada Umar. “… kau ada gaduh dengan Kucai ke?” Siddiq cuba mengorek secubit kisah dari Umar.

Umar terdiam.

“Kenapa kau cakap macam tu?” Umar bertanya nada penuh perlahan.

“Kalau kau ada gaduh dengan dia… aku rasa aku tahu maksud GTH tu,” Siddiq membalas.

“Apa maksudnya?” Umar serius tak sabar untuk mengetahuinya.

“Oh, maksud dia mudah je. Maksud GTH ni… Go To Hell.”

***

‘Go to Hell? Sampai tahap tu ke dia marah kat aku,’ monolog Umar seorang.

‘Ah! Kalau dia tak mahu kawan dengan aku pun tak apalah. Aku ada ramai lagi kawan yang lagi baik dari dia…’ Umar mengambil nafas. ‘Aku ingat ada ikhwah ni bagus sangat. Cakap nak masuk Shurga sama-samalah. Nak buat da’wah dan tarbiyah sampai mati. Then, cakap persaudaraan satu aqidah ni lebih pekat dari darah merah lah. Lepas tu berlapang dada, itsar segala bagai. Ceh! Sama je ikhwah tak ikhwah pun! Blah lah! Pergi mampus lah wey!’ bentak hati Umar. Tidak mampu terima pahitnya realiti.

Umar kemudian terkenangkan beberapa kenangan beberapa ketika dahulu. Ketika dia dan Khuzairi masih lagi bersaudara. Sehinggalah kebelakangan ini persaudaraan itu tercemarkan dengan tidak sengaja. Angkara emosi, amarah, dan rasa kecewa. Hanya kerana sebuah mesej. Mungkin silap pada intrepretasi hati. Mungkin salah pada guna perkataan. Mungkin cuai dalam susun kata. Mungkin juga masanya tidak kena. Langsung. Manis bertukar pahit. Ceria bertukar kelam. Warna-warni bertukar kelabu. Persaudaraan timbul retak. Dan kini hampir musnah begitu sahaja.

Firman persaudaraan pada ayat 10 surah al-Hujurat yang pernah jadi pegangan kini seakan-akan terlihat sudah tidak relevan.

Umar cuba menyeka air matanya yang mula tumpah. Mujurlah dia hanya seorang sahaja di rumah pada petang itu. Ibu dan ayahnya masih belum pulang dari tempat kerja. Adik pula ada kelas tambahan. Jadi. Umar tidak berasa segan untuk menjatuhkan air mata. Tangisan kecewa yang pekat dengan duka. Kelat.

Dia pantas mencapai telefon. Ada sesuatu yang benar ingin diluahkan. Pantas jari-jemarinya menari pada punat huruf pada telefon.

'Salam akhi. Saya ingat kan kita ni saudara seaqidah, tak akan pernah berbalah. Saya ingat kita ni akan selalu bersama atas jalan da’wah dan tarbiyah. Rupa-rupanya saya silap. Persaudaraan kita hanyalah persaudaraan plastik. Persaudaraan kita langsung tak membawa apa-apa erti. Mungkin saya terlalu berharap. Saya ingat persaudaraan kita ni sesuci dan sekukuh persaudaraan para sahabat. Tapi ternyata saya salah menilai. Sudahlah akhi. Go To Hell! Sama seperti mesej yang akhi hantar sebelum ini. Sampai di sini sahajalah kita bersaudara.’

Lantas mesej itu dihantar terus kepada Quzairi, seorang saudara yang kini dianggap mati.

***

Di suatu ruangan yang lain. Kelihatan satu sosok baharu selesai membaca naskhah al-Mathurat. Dia sedang meletak kemas naskhah itu di atas meja ketika telefonnya berbunyi menandakan ada mesej baru. Dia tersenyum melihat nama yang tertera pada skrin telefon, Akhi Umar. Namun, senyumannya itu bertukar kelat selepas membaca mesej yang diterima. Beberapa ketika selepas itu. Dia kembali mengukir senyum. Perlahan dan penuh teratur sahaja dia menaip mesej balas:

‘Alaikum salam. Go to hell? Saya tak bermaksud begitu. Sengaja saya hantar mesej ringkas ‘GTH’ untuk melihat sendiri hala tuju persaudaraan kita. Ya, saya sendiri tidak tahu apa maksud GTH. Kerana maksudnya adalah sangat unik kepada setiap daripada kita. Tapi percayalah akhi. Bilamana dua orang saudara yang disatukan kerana aqidah, berbalah. Mereka tidak akan mendoakan sesuatu yang buruk kepada saudaranya. Begitu subjektif mesej GTH ini sehinggakan ia mampu beri pemaknaan terhadap apa yang sebenarnya tersirat dalam hati kita-kita. Suka saya kata, saya amat gembira dapat merebat tali ukhuwah bersama akhi. Sungguh saya bersyukur.'

Quzairi lalu menghantar mesej itu kepada Umar.

Seketika kemudian, telefon berbunyi kembali. Ada mesej baru:

‘Habis tu, apa maksud GTH?’

Quzairi tersenyum membaca mesej balas dari saudara seaqidahnya itu. Jelas. Dari mesej ringkas itu, saudaranya sedang dalam kebingungan. Tidak mahu tunggu lama, Quzairi pun membalas mesej tersebut:

‘Go To Heaven. :’) ’


-THE END-

Dalam bersaudara, emosi itu ternyata perlu. Tapi harus disandarkan lurus pada Tuhan. Jangan terlalu hidup beremosi kerana pesaudaraan kita bukan bertunjangkan perasaan semata-mata tapi aqidah yang satu. Dan bilamana dikhabarkan dalam ayat 10 surat al-Hujurat, 'Sesungguhnya mukmin itu bersaudara,' sungguh lojik bila difikir bersama bahawa bahagia kecewanya sebuah keikhwahan itu letaknya pada kesucian iman. Jika gembira in sha Allah iman sedang sejahtera. Jika kecewa pula mungkin iman dalam hati sedang merana. Jadi, rawatlah iman kita. Nescaya ukhuwah itu akan kembali kokoh. Sekukuh apa yang paling kukuh. 

'Ukhuwah itu ibarat seutas tasbih. Ada awal tiada penghujung. Dicipta untuk mengingatiNya, dibahagikan untuk cintaNya, dan diratib untuk redha Ilahi'.

Wallahu'alam.

enonimus: Cerpen pertama tentang keikhwahan. Apa rasa anda? :)

Wednesday, July 17

Sayembara

Salam.


Alhamdulillah. Akhirnya saya berpeluang dan diberi ruang oleh Tuhan untuk menulis entri ini. Syukur juga kerana ada orang yang digerakkan hati oleh Tuhan untuk membacanya pula. Alhamdulillah. Segala puji buat Tuhan yang jiwa manusia ada pada genggamanNya. Sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.

Okeh.

Sepertimana yang anda tahu, keputusan peperiksaan baru sahaja keluar. Dan sungguh saya yakin. Keputusan yang saya terima saya adalah memang khas untuk saya sahaja. Baik atau buruk hanya mampu ternilaikan melalui perspektif yang pelbagai. Benda telah berlalu dan juga telah berlaku. Apa yang boleh dibuat hanya teruskan ke hadapan, hingga sampai Shurga. In sha Allah.

Dan. Dengan keluarnya keputusan tersebut, memang sangat rasmilah bahawa saya telah pun keluar dari alam perkolejan. Dengan erti kata lain, selepas ini, saya akan masuk ke fasa yang baru pula. Jadi. Dalam entri kali ini, saya hanya mahu recap beberapa fasa dalam kehidupan saya bermula tahun mula menulis 2011,  bersandarkan karya-karya dalam belog ini. 

Tujuan saya membuat recap adalah sebagai rujukan -terutamanya- kepada saya pada masa yang akan mendatang tentang perjalanan kisah saya sebagai seorang penulis bebas. Memandangkan belog ini juga menyimpan beberapa perihal yang agak peribadi buat diri saya, jadi saya fikir tak salah untuk untuk saya coretkan di sini. Juga, dengan izin Allah, ianya adalah bertujuan sebagai teladan serta inspirasi kepada anda hendaknya.

Baiklah. Mari kita mulakan.

Fasa 1

Saya mula menulis dengan giat pada 14 Mac 2011. Saya suka gelarkannya sebagai Fasa Transisi kerana di ketika itu adalah waktu saya menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya duduk di rumah. Dan berasa sangat bosan keseorangan. Sehinggalah suatu hari yang Tuhan tentukan, seorang kawan memperkenalkan saya kepada dunia belog.

Pada mulanya saya berasa mahu tak mahu. Namun, setelah terbaca buku ‘Learning From the Heart’ karya Dan Gottlieb, kecenderungan untuk menulis itu timbul. Jujurnya. Saya berasa sangat tertarik dengan intipati buku motivasi tersebut. Ianya mudah faham dan tampak hidup. Tambahan pula, dia merupakan seorang doktor. Jadi, minat saya seakan bercambah-cambah setelah memikirkan berkenaan konsep ‘doktor yang menulis’.

Dengan berpegang kepada konsep tersebut, saya pun membuka belog ini. Dan ‘Welcome Aboard’ merupakan entri yang pertama. Dalam entri sulung ini, anda akan dapat lihat. Bahawa niat tunggal saya ketika itu hanyalah untuk berkongsi kisah sebagai motivasi dan inspirasi untuk berjaya di dunia.

Haha.

Bila difikirkan kembali. Saya tampak sedikit sekular ketika ini. Hanya memikirkan tentang dunia.

Fasa 2

Fasa ini bermula sejurus selepas saya mendaftarkan diri ke Kolej MARA Banting (KMB), iaitu –berdasarkan entri- pada 12 Julai 2011. Sumpah. Ketika ini saya berasa agak intimidated dengan pelajar-pelajar lain. Mereka tampak sangat terkehadapan. Namun, Tuhan itu Maha Hebat. Dia tetapkan juga hati saya di kolej tersebut sehinggalah sekarang, saya sudah pun berjaya melewati garisan penamat.

Saya masih ingat. Dalam entri pertama fasa 2, ‘Finding A Way Through’, saya ada menulis sesuatu berkenaan pesanan seorang pelajar tahun 2 yang benar-benar meninggalkan bekas dalam diri saya iaitu:

“Betulkan niat korang.”

Dan selepas itu, dia mula berkongsi serba sedikit berkenaan hadith 1 atau lebih senang dipanggil sebagai ‘hadith Niat’. Ya. Mungkin pesanan ini; betulkan niat, agak klise. Tapi Tuhan menciptakan manusia itu sering terlupa tak kiralah seklise manapun perkara tersebut. Kerana benda-benda yang klise inilah yang boleh merentap jiwa manusia agar kembali kepada pengabdian diri semata-mata hanya kerana Allah.

Dan anda dapat lihat. Entri-entri saya dalam fasa ini sedikit berbeza. Hal ini kerana, dalam fasa ini jugalah saya pertama kalinya bertemu dengan da’wah dan tarbiah. Oleh sebab itu, saya gelarkan fasa ini sebagai Fasa Pencahayaan. Bermula di pertengahan fasa ini, saya mula menukar url asal belog ini (dirahsiakan..heheh..) kepada [penulisjalanan]. Saya berkenan menukarnya bagi mengelakkan ahli keluarga terdekat daripada dapat akses kepada belog ini. Kerana saya yakin, fasa ini memerlukan saya agar sedikit berahsia.

Dalam fasa ini juga. Saya pernah merasa untuk berhenti menulis. Kerana tidak nampak signifkannya belog ini. Lebih-lebih lagi apabila melihatkan sudah ada banyak belog-belog lain yang lebih tarbawiy isinya, yang lebih mantap penulisannya dan lebih kacak pula penulisnya. Eh. 

Tapi... tak lama selepas itu saya berubah fikiran. Ini kerana saya telah diceritakan mengenai kisah syeikh Muhammad Ahmad ar-Rasyid, penulis buku fiqh da'wah, al-Muntalaq, oleh murobbi saya. Begini. Suatu hari, syeikh Muntalaq (nama mesra..hehe..) terfikir untuk berhenti menulis kerana berasakan penulisannya tidak membawa kesan pada ummah.

Pada suatu hari, di sebuah lapangan terbang. Sedang dia berada di situ. Dia ternampak seorang rijal yang sungguh bersemangat lagaknya. Kata pemuda tersebut, dia mahu berjihad. Lalu, syeikh Muntalaq pun bertanyakan rijal tersebut, tentang mengapa dia kelihatan begitu bersemangat.

Alangkah terkejutnya syeikh Muntalaq apabila dikhbarkan, pemuda itu berapi-api semnagatnya kerana telah terbaca hasil penulisan syeikh Muntalaq itu sendiri. Kiranya, penulisan yang disangka tidak berguna itu telah berjaya menyentuh jiwa-jiwa yang tak nampk di mata. Dan syeikh terebut kembali semangat untuk terus menulis dan berda'wah.

Mendengarkan cerita ini, saya kembali bersemangat. Saya juga mahu menyentuh jiwa yang tak nampak di mata.

Fasa 2.5

Namun. Di hujung fasa 2, saya kemudiaannya, menukar profile daripada penulisjalanan kepada enonimus, sepertimana yang anda lihat sekarang. Tujuannya, hanyalah satu. Iaitu sebagai proses mula pembinaan identiti untuk menjadi seorang penulis yang lebih matang dan serius. Dan saya kekalkan urlnya kerana tidak nampak keperluan yang rasional untuk mengubahnya.

Entri pertama dalam fasa 2.5 adalah 'Ta'aruf' yang bertarikh 2 April 2013. Bermula dengan entri ini saya telah cuba untuk mentajukkan setiap entri saya yang berikutnya hanya menggunakan satu perkataan. Tujuan? Seperti di atas, sebagai satu proses pembinaan identiti.

Banyak benda yang berlaku dalam fasa ini. Saya telah belajar mengenali erti sebuah persaudaraan. Saya telah belajar mengenai erti pengorbanan. Saya belajar erti kesungguhan. Dan yang paling best: saya telah menemukan da'wah dan tarbiyyah. Sebuah nikmat yang tak mungkin ditukar ganti.

Kini saya menulis bukan untuk mengejar dunia. Tapi untuk mengejar cinta dari Tuhan. In sha Allah. Juga saya menulis, kini, untuk membaiki kelemahan yang ada pada segenap ruang yang ada pada diri saya. 

Fasa 3?

Sekarang saya dalam fasa peralihan dari Fasa 2 kepada Fasa 3. Dalam erti kata lain; di hujung fasa 2. Jujur kata. Saya sungguh tidak sabar untuk memasuki fasa penghidupan yang seterusnya. Kerana saya yakin, cabaran dan dugaan yang bakal saya hadapi adalah lebih hebat lagaknya. Tambahan pula, fasa ini akan menjadi sebuah medan untuk saya meneruskan misi da’wah dan tarbiyah. Sebuah medan yang sangat getir dan teramat crucial.

Harapnya. Saya terus menerus tsabat di atas jalan ini.

Pelbagai kemungkinan. Pelbagai kebarangkalian. Begitu pelbagai sehingga berasa sesak dengan hanya berfikir mengenainya. Mungkin dalam fasa ini, da’wah dan tarbiyyah akan berkembang hebat. Mungkin dalam fasa ini, Islam akan menang. Mungkin dalam fasa ini, seluruh umat Islam akan kembali bersatu. Mungkin dalam fasa ini, akan ada ikhwah yang melangkah ke tangga seterusnya iaitu tangga Baitul Muslim. Eh. Hahah.

Dan. Mungkin juga. Dalam fasa ini saya akan mati.

Hm… Entahlah.

Wallahu’alam.


Enonimus: Ada kemungkinan akan berlaku sedikit pengubahsuaian dan rombakan susun atur pada laman ini. Semuga semuanya baik-baik sahaja. Dan pada masa yang akan datang, saya akan cuba untuk menulis entri yang lebih matang. Doakan kita semua terus kekal di atas jalan yang sumpah panjang ini yeh. Ameen. ;)

Tuesday, July 9

Pelangi


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Keputusan peperiksaan IB telah keluar. Dan harus saya jujur mengaku. Result saya tidak lah segempak mana pun. Namun, saya masih mampu tersenyum. Jadi senyum sahajalah. :)

Dua tahun di kolej, benar-benar membawa satu makna yang teramat besar dalam diri saya sebagai seorang muslim, lelaki, pelajar, anak, serta saudara fillah. Tidak pernah saya sangka, di Kolej yang dari luarnya tidaklah begitu islamik; dipenuhi deretan pepohon sawit dan namanya pun mainstream sahaja, saya ketemu dengan sesuatu yang tersangat berharga. Lebih berharga dari segunung permata, lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya.

Pabila dikenangkan, sebelum mendapat tawaran ke Kolej, saya terlebih dahulu mendapat tawaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tampak jelas tertera perkataan Islam pada namanya. Dan tidaklah perlu saya menipu. Mula-mula, memang saya berhajat ke sana. Tapi bila terkumpulnya dua tawaran, saya keliru. Mana satu ni? Dan syukur. Istikharah saya berhasil. Hati saya lebih cenderung memberat ke arah Kolej dan bukan UIAM (bukan nak kata UIAM tak bagus yeh).

Dan disini, bermula bibit pertemuan sulung dengannya: dakwah dan tarbiyyah.

Sungguh saya tak menyesal. Walaupun result saya memang tak layak dibanggakan. Haha. Kerana saya bertemu dengan sesuatu yang lebih besar dari itu. Saya bertemu dengan sistem hidup yang syumul. Saya bertemu dengan sahabat yang kami langsung dipersaudarakan atas dasar aqidah dan cintakan Allah. Saya bertemu pengajaran dan abiliti yang saya memang tak sangka ada tersembunyi dalam diri. Saya bertemu indahnya ukhuwah. Saya bertemu bahgianya berAl-Quran. Indah. Sungguh indah.

Baru-baru ini, saya sempat ke Kolej bersama seorang ikhwah. Dan kami berbual panjang. Mengenai keputusan peperiksaan, kehidupan dan dakwah dan tarbiyah.

Terbuka luas mata ini. Terjentik kuat hati ini. Saya tersedar.

Bukan semua orang di takdirkan ke kolej untuk berjaya, untuk mendapat result yang sangat gempak. Bukan semua orang begitu. Kerana di saat kita terlahirkan ke dunia, kita –sebenarnya- telah pun membahu tanggungjawab yang begitu unik untuk setiap dari kita. Ada orang dikurniakan result yang bagus dan ada yang tidak. Sebab apa? Sebab Tuhan mahu kita tahu, bukan itu sebenarnya tujuan penghidupan kita yang tulen.

Saya percaya dan yakin. Poin utama saya diletakkan di Kolej bukan untuk mendapat result gempak dan terbang ke luar negara (walaupun mungkin saya akan terbang juga). Poin utama, dan penyebapan utama saya ditempatkan di situ bersama ikhwah yang lain adalah untuk mendapat takrifan sebagai seorang ahli abid, sebagai seorang khalifah dan sebagai seorang da’ei. Ya. Begitulah yang sebenarnya.

Memikirkan perihal yang tersebut. Buat hati saya rasa tenang. Dan sifar bimbang. Kerana masih banyak lagi peluang dan ruang untuk saya maju terkehadapan. Begini. Ikhwah saya yang berjaya terbang ke luar negara, amanahnya adalah untuk membangunkan manusia-manusia di luar sana. Amanah saya pula adalah untuk membangunkan manusia-manusia di dalam negara. Kerana jika dilihat secara kasar, kedua-duanya (luar negara dan dalam negara) –dari pendapat saya-, memerlukan penggerak untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang sedang tidur.

Mereka buat kerja di luar, saya membuat kerja di dalam. Begitulah.

Suka saya ingatkan. Medan dakwah kita bukan hanya di Kolej. Tapi lebih luas dari itu. Seluas lautan yang membiru. Malah lebih luas. Target kita besar. Jadi, kita harus bercita-cita besar. Kita harus berjiwa besar. Tabah dan sabar dan tsabat. Percaya sahaja kepada Tuhan. Kerana kita merancang, Tuhan juga merancang. Dan sebaik-baik perancangan adalah Allah punya. Jadi mengapa perlu bimbang…kan?

Kepada adik-adik di Kolej yang mungkin membaca membaca entri ini cukuplah anda tahu bahawa result saya hanya cukup makan. Tak perlulah korek dalam-dalam sangat. Haha. In sha Allah, bersamaNya semua akan jadi baik-baik sahaja. Senyum. Doakan semua jadi bahagia dan teruskan kekal menjadi da’ei yang berjiwa besar dan bermatlamat besar. Lagipun…

Kiamat tak lagi, dan kita belum mati. Jadi, teruskan sahajalah. ;)

Kepada ikhwah-ikhwah atau rakan-rakan yang terkilan atau rasa bersalah atas ketidakberjayaan saya/ kami. Percayalah dengan penuh yakin. Suatu hari nanti, di esok yang mendatang. Anda akan jadi orang yang paling bersyukur dengan kegagalan kami. Kerana kami tak akan berhenti. Kami akan terus berjuang membuat teori dan mimpi menjadi realiti. Anda nantikan sahajalah. :)

Hm. In sha Allah.

Hari itu jerebu. Mata kita sakit. Nafas kita sesak. Kemudian hujan Allah turunkan. Menyucikan ruang langit dari habuk dan dedebu hitam. Kita rasa gembira. Syukur kita laungkan. Dan akhirnya, Allah bagi matahari dengan sinarnya yang terang penuh gemilang. Langsung, terbitlah pelangi untuk mewarnai hidup kita.

Pelangi; jalur pelbagai warna. Dan anda, ikhwah fillah. Anda lah jalur yang terang itu. Bersama. Kitalah sang pelangi. Yang mewarnai kehidupan yang suram ini dengan warna warni tarbiyah. Hujung pelangi tidak kita tahu. Namun, aku yakin selagi mana kita terus berjuang dan berjuang dan berjuang lagi. Tidak kira medan. Asalkan syaratnya ikhlas berjuang. Shurga sahaja di penghujungnya.

Ayuh! Masa tidak menunggu. Train juga sudah ingin bergerak menuju hari esok-esok. :D

Sekian.

Enonimus: Lafaz syukur untuk ikhwah fillah yang berjaya mendapat result yang gempak. Alhamdulillah. Serta takbir tanda sebuah kemenangan yang penuh erti. Allahuakbar!


Enonimus: Nampaknya, kehidupan saya bakal masuk fasa yang seterusnya. Diri perlu lebih matang, dan saya akan pastikan entri saya lebih garang dan penuh radikal. Haha. Doakan kita semua tsabat di atas jalan para pejuang.

Wednesday, July 3

Realiti

Sluurrpppp.. Sluurrppp.. *bunyi minum air kotak*

“Lega…” kata Faqhrul perlahan.

Habis diminum Faqhrul air kotak Marigold perisa laici. Itu air kegemarannya. Rasa manis dan dingin. Sungguh menyegarkan. Terpancar satu rasa nikmat pada riak mukanya. Bersinar. Seusai membuang kotak minuman ke dalam tong kitar semula, Faqhrul meneliti jam pada tangannya. Jelas. Jarum panjang menunjuk angka 12. Begitu juga dengan jarum pendek.

‘Uish… Mana mama ni? Lama betul, ’ Faqhrul mengomel.

Dari sudut yang berbeza, “ADOI!” mata saya terkena silau matahari. Maaf ye. *tunduk style jepun* Saya cuba tengok ikut sudut yang lain pula.

Okay.

Dari sudut yang ini pula. Kelihatan seorang pemuda berkemeja kotak-kotak warna biru tua sedang menghala ke arah Faqhrul. Dia memakai kaca mata dan berjanggut pendek. Setibanya di dekat Faqhrul, lembut sahaja dia menepuk bahu kanan Faqhrul. Dan laju Faqhrul respon menoleh terus ke belakang.

“Eh, Halim! Kau buat apa kat sini? Lama tak jumpa…” timbul riak gembira pada wajah Faqhrul.

Ini Halim. Pernah menjadi jiran kepada Faqhrul sebelum berpindah ke taman perumahan lain pada 5 tahun yang lalu. Mereka memang rapat. Macam adik-beradik. Umur juga hampir sebaya. Faqhrul berumur 21 tahun dan Halim pula 19 tahun. Pertemuan ini amatlah tidak di sangka-sangka oleh mereka berdua.

“Hehe… Aku bawak kakak aku pergi beli barang dapur. Kau pulak? Buat apa kat pasar ni sorang-sorang? Bukak bisnes ke?” perli Halim selamba.

“Ada-ada je kau ni. Aku teman Mama beli barang sikit. Maklumlah, Ramadhan dah dekat,” balas Faqhrul.

“Mama kau mana? Tak nampak pun,” Halim meninjau pantas sekeliling tempat mereka berbual.

“Sebenarnya, Mama… “

***

2 jam 30 minit sebelum itu.

“Mama, nak beli lauk apa nanti?” tanya Faqhrul kepada Mama yang sedang tekun memandu.

“Mmmm… Mama ingat nak beli ayam 2 kilo, ikan keli sikit, sayur… lepas tu, beli udang. Tu je kot. Kenapa? Ayul nak request apa-apa ke?” tanya Mama kepada anak tunggal kesayangannya itu.

“Ayul ingat nak makan ketam lah hari ni, Mama. Dah lama tak makan.”

“Hamboi! Bunyik macam mengidam je,” Usik Mama.

***

“Alhamdulillah. Dapat pun tempat parking. Ini lah orang panggil rezeki namanya,” monolog Mama seorang. Faqhrul pula hanya mengangguk mendengar kata-kata Mama.

Jam sudah pukul 10.15 pagi. Matahari tidaklah panas mana. Sudah ramai orang lalu lalang, juga ingin membeli bahan mentah. Bau pasar sudah boleh dihidu dari tempat parkir kereta. Mereka berdua masuk ke pasar besar. Lantai licin. Sedikit basah. Mungkin air dari bekas-bekas yang berisi ikan jatuh tertumpah. Mereka perlu melangkah dengan cermat supaya tidak jatuh.

Tempat pertama, bahagian ayam. Mama meminta 2 kilo ayam siap potong 8 kerat. Tak mahu kaki dan tak mahu leher. Pantas tauke ayam memotong dan memasukkan ayam pesanan Mama ke dalam beg plastic berwarna biru muda. Kemudian, ke bahagian ikan. Faqhrul, seperti waktu sebelum-sebelumnya, mudah benar teruja melihat ikan keli dan ikan belut yang masih hidup dalam bekas berisi air. Dia seronok melihat ikan-ikan itu cuba melompat ke luar dari bekas yang ditutup jaring itu.

Eh, ikan belut melompat jugak ke?

Dan macam itulah seterusnya. Habis satu pasar di keliling Mama. Faqhrul setia mengikut Mama, tolong pegangkan plastic berisi bahan-bahan mentah yang dibeli. Berat. Tapi tak mengapa. Faqhrul tough. Eh, tiba-tiba. =.=’

***

“Hm… Selesai pun beli barang. Ayul ada nak beli apa-apa lagi ke?” Mama cuba mendapat jawapan dari Faqhrul.

“Ma…” Faqhrul bersuara. “Ayul nak beli topup kejap yeh. Tu… kat sana tu. Dekat 7Eleven. Kredit Ayul dah nak habis ni. Kejap ye Ma,” Faqhrul membalas tanya.

“Ayul ada duit tak?”

“Ada. Mama, tunggu kejap ye.”

“Okay,” Mama membalas pendek.

Seperginya Faqhrul meninggalkan tempat parkir, Mama menyeluk handbag, bagi mengeluarkan kunci kereta. Namun, langsung tak disangka-sangka, datang seorang lelaki menghampiri Mama dari arah belakang. Dan… saya malas nak ulas panjang-panjang. Mama pun dirogol.

***

Jam 11 pagi.

“Eh, kenapa tu?” Faqhrul baru keluar dari kedai 7Eleven, hairan melihat sesuatu di dekat keretanya. Dia langsung menuju ke tempat parker dengan bergegas. Bimbang ada apa-apa yang tak diingini berlaku. Jantungnya berdegup kencang. Betapa laju darahnya mengalir, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Risau.

Dan setibanya Faqhrul ke kereta, sangkaannya meleset. Dia mengeluh lega.

Dia lihat Mama yang berada di tempat duduk belakang sedang dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Dia memerhati lama. Mama meronta-ronta minta dilepas. Diraung, dijerit sekuat hati. Faqhrul mendengarkan tapi melihat sahaja responnya. Dia menggelengkan kepalanya.

Lantas berlalu pergi. Ingin beli air minuman. Matahari memuncak. Dia rasa dahaga.

***

Pukul 12 lebih.

“Sebenarnya, Mama..." Faqhrul berjeda mengambil nafas. "... Mama tengah kena rogol dalam kereta tu ha,“ Faqhrul berkata sambil memuncungkan mulut ke arah kereta. “Lama pulak dah. Dah jenuh aku tunggu ni.”

Halim hanya tersengih sahaja mendengarkan jawapan balas dari Faqhrul yang penuh bersahaja.

“Eh, Halim. Tadi kau kata datang dengan kakak. Mana dia? Tak nampak pun,” Faqhrul pula bertanya kepada Halim.

“Kakak aku… baru kena bunuh tadi. Kat lorong belakang pasar tu. Betul-betul depan mata aku dia kena tikam dengan mamat mana entah. Geram jugak aku. Tapi… malas pulak nak layan,” Halim menjawab tiada perasaan.

Ya, matahari masih memuncak. Dan semakin meninggi. Tiada tanda-tanda mahu turun. Tiada tanda-tanda ada awan mendung yang akan tiba. Dan mereka berdua masih bersembang rancak mengimbau kenangan waktu dulu-dulu. Terkadang mereka tertawa, terkadang mereka terdiam bisu.

“Halim… dah lambat ni. Kau ada kereta? Jom pergi lepak rumah aku,” pelawa Faqhrul bersungguh.

“Okay. Jom!”

Er.

Dan saya tertunduk... malu dengan diri sendiri.


- THE END-

Mereka diseksa bukannya kita tidak tahu. Mereka dihina, dipijak, dihinjak bukannya tiada khabaran. Mereka juga saudara kita. Bukan saudara darah merah tapi saudara satu aqidah, satu Tuhan.

Mereka tak minta kita ke sana bantu perang serang musuh. Mereka tak minta kita di sini kumpul duit sumbang harta berbillion dolar. Mereka tidak minta itu.

Mereka minta kita di sini bina orang, bina ummah. Mereka minta kita doakan mereka agar terus sabar dan tabah. Mereka minta kita buat kerja dakwah dan tinggal jahiliah.

*bukan video terkini*

enonimus: Sekarang ni, Mesir sedang bergolak. Semuga ikhwah di seluruh dunia tetap teguh. Ameen...