Umar sedang menonton televisyen ketika telefon nya berbunyi tanda ada mesej masuk.
Dia lantas mematikan televisyen yang sedang memaparkan program ‘Kias Ramadhan’ seraya bangkit dari dudukannya. Langsung dia menuju bilik dengan telefon bimbit yang terpegang kemas. Pintu bilik itu ditutup perlahan, tak mahu ganggu mereka-mereka yang sedang nyenyak tidur. Suis lampu dipetik dan cahaya lampu kalimantan memenuhi segenap ruangan bilik yang sederhana besarnya itu. Umar menuju ke tilam. Dia terduduk bersandarkan dinding. Suis kipas kaki yang didekatnya pula kemudian dipetik. Berangin sedikit rasa Umar.
Setelah semua telah selesai. Perhatiannya kini tertumpukan pada telefon bimbit. Pada muka Umar ada timbul resah. Juga ada riak orang yang sedang mengharap. Seakan-akan mesej yang baru diterimanya tadi tersangatlah penting buat dirinya. Dia menekan punat yang sedia ada pada telefon itu penuh cermat. Dan terteralah nama satu sosok yang amat dirinduinya. Seorang teman yang amat rapat. Seorang saudara tidak seibu tidak sebapa. Jelas. Nama Quzairi terpampang pada skrin. Hatinya mula rasa gelisah. Kerana. Sudah sekian lama dia menanti mesej balas dari Quzairi. Berkali-kali dicuba Umar untuk menghubunginya. Baik melalui mesej, telefon mahupun mukabuku. Namun, langsung tidak dihiraukan Quzairi. Kali ini Quzairi menghantar mesej pula. Tanda tanya timbul, membuat Umar gelisah.
‘Apa agak-agaknya dia hantar ni yeh?’
Kemudian, Umar yang tidak mampu menahan sabar terus beralih ke ruangan mesej pada telefonnya. Apabila keluar mesej tersebut, dia berasa suspen bercampur hairan. Skrin telefon menunjukkan mesej yang amat ringkas. Sangat-sangat ringkas. Hanya ada tiga huruf besar:
'GTH'
‘Er… Apa ni?’ Umar keliru. ‘Apa maksud GTH? Tak pernah-pernah pulak aku dapat mesej macam ni,’
***
“Siddiq… sini kejap,” panggil Umar.
Kuliah baru sahaja tamat. Pensyarah sudah pun keluar meninggalkan dewan. Mereka yang lain sedang berkemas-kemas untuk turut keluar dari dewan kuliah yang mampu memuatkan 150 orang itu. Siddiq yang duduk di sebelah Umar juga begitu. Sedang asyik menyimpan alat tulis dan buku-buku ke dalam beg sandang, sebelum Umar tiba-tiba memanggilnya. Siddiq menoleh. Kelihatan riak muka Umar yang sesak dengan tanda tanya. Hairan. Tadi sewaktu pensyarah ada, tampak okay sahaja.
“Yeh. Ada apa?” ringkas Siddiq membalas.
“Hm… Aku ada benda sikit nak tanya ni,” Umar menyeluk poket kiri beg sandangnya.
Lalu mengeluarkan telefon bimbit. Dia mahu menanyakan berkenaan mesej yang diterima malam tadi. Hampir satu malam juga dia tenggelam dalam lautan penuh tanda soal. Sehinggalah selepas Subuh pun dia tak berupaya merungkai mesej ringkas yang dihantar oleh Quzairi. Kini. Dia sedikit terdesak. Dia benar-benar mahu tahu apa yang cuba disampaikan oleh Quzairi. Dia tak mahu lambat memberi mesej balas. Bimbang Quzairi memikirkan perkara yang bukan-bukan pula.
“Nah. Cuba kau baca ni?” Umar menghulurkan telefon bimbitnya kepada Siddiq.
“GTH. So?” Siddiq selamba memberi respon.
“Apa maksud GTH ni eh? Semalaman aku fikir. Tapi still tak tahu maksud dia,” Umar meluahkan kerunsingan.
Siddiq mengambil telefon yang ada pada tangan Umar. Bulat matanya membaca mesej pendek itu. Dia skrol ke bawah dan ke atas. Dia berfikir sedalam-dalamnya. Apa maksud GTH ni? Sedang Siddiq asyik meneliti mesej tersebut dia ternampak nama penghantar mesej, Quzairi. Siddiq tersenyum. Seolah-olah dia berjaya menafsirkan mesej misteri itu.
“Nah, ambik balik telefon kau ni…” Siddiq menghulur telefon itu kepada Umar. “… kau ada gaduh dengan Kucai ke?” Siddiq cuba mengorek secubit kisah dari Umar.
Umar terdiam.
“Kenapa kau cakap macam tu?” Umar bertanya nada penuh perlahan.
“Kalau kau ada gaduh dengan dia… aku rasa aku tahu maksud GTH tu,” Siddiq membalas.
“Apa maksudnya?” Umar serius tak sabar untuk mengetahuinya.
“Oh, maksud dia mudah je. Maksud GTH ni… Go To Hell.”
***
‘Go to Hell? Sampai tahap tu ke dia marah kat aku,’ monolog Umar seorang.
‘Ah! Kalau dia tak mahu kawan dengan aku pun tak apalah. Aku ada ramai lagi kawan yang lagi baik dari dia…’ Umar mengambil nafas. ‘Aku ingat ada ikhwah ni bagus sangat. Cakap nak masuk Shurga sama-samalah. Nak buat da’wah dan tarbiyah sampai mati. Then, cakap persaudaraan satu aqidah ni lebih pekat dari darah merah lah. Lepas tu berlapang dada, itsar segala bagai. Ceh! Sama je ikhwah tak ikhwah pun! Blah lah! Pergi mampus lah wey!’ bentak hati Umar. Tidak mampu terima pahitnya realiti.
Umar kemudian terkenangkan beberapa kenangan beberapa ketika dahulu. Ketika dia dan Khuzairi masih lagi bersaudara. Sehinggalah kebelakangan ini persaudaraan itu tercemarkan dengan tidak sengaja. Angkara emosi, amarah, dan rasa kecewa. Hanya kerana sebuah mesej. Mungkin silap pada intrepretasi hati. Mungkin salah pada guna perkataan. Mungkin cuai dalam susun kata. Mungkin juga masanya tidak kena. Langsung. Manis bertukar pahit. Ceria bertukar kelam. Warna-warni bertukar kelabu. Persaudaraan timbul retak. Dan kini hampir musnah begitu sahaja.
Firman persaudaraan pada ayat 10 surah al-Hujurat yang pernah jadi pegangan kini seakan-akan terlihat sudah tidak relevan.
Umar cuba menyeka air matanya yang mula tumpah. Mujurlah dia hanya seorang sahaja di rumah pada petang itu. Ibu dan ayahnya masih belum pulang dari tempat kerja. Adik pula ada kelas tambahan. Jadi. Umar tidak berasa segan untuk menjatuhkan air mata. Tangisan kecewa yang pekat dengan duka. Kelat.
Dia pantas mencapai telefon. Ada sesuatu yang benar ingin diluahkan. Pantas jari-jemarinya menari pada punat huruf pada telefon.
'Salam akhi. Saya ingat kan kita ni saudara seaqidah, tak akan pernah berbalah. Saya ingat kita ni akan selalu bersama atas jalan da’wah dan tarbiyah. Rupa-rupanya saya silap. Persaudaraan kita hanyalah persaudaraan plastik. Persaudaraan kita langsung tak membawa apa-apa erti. Mungkin saya terlalu berharap. Saya ingat persaudaraan kita ni sesuci dan sekukuh persaudaraan para sahabat. Tapi ternyata saya salah menilai. Sudahlah akhi. Go To Hell! Sama seperti mesej yang akhi hantar sebelum ini. Sampai di sini sahajalah kita bersaudara.’
Lantas mesej itu dihantar terus kepada Quzairi, seorang saudara yang kini dianggap mati.
***
Di suatu ruangan yang lain. Kelihatan satu sosok baharu selesai membaca naskhah al-Mathurat. Dia sedang meletak kemas naskhah itu di atas meja ketika telefonnya berbunyi menandakan ada mesej baru. Dia tersenyum melihat nama yang tertera pada skrin telefon, Akhi Umar. Namun, senyumannya itu bertukar kelat selepas membaca mesej yang diterima. Beberapa ketika selepas itu. Dia kembali mengukir senyum. Perlahan dan penuh teratur sahaja dia menaip mesej balas:
‘Alaikum salam. Go to hell? Saya tak bermaksud begitu. Sengaja saya hantar mesej ringkas ‘GTH’ untuk melihat sendiri hala tuju persaudaraan kita. Ya, saya sendiri tidak tahu apa maksud GTH. Kerana maksudnya adalah sangat unik kepada setiap daripada kita. Tapi percayalah akhi. Bilamana dua orang saudara yang disatukan kerana aqidah, berbalah. Mereka tidak akan mendoakan sesuatu yang buruk kepada saudaranya. Begitu subjektif mesej GTH ini sehinggakan ia mampu beri pemaknaan terhadap apa yang sebenarnya tersirat dalam hati kita-kita. Suka saya kata, saya amat gembira dapat merebat tali ukhuwah bersama akhi. Sungguh saya bersyukur.'
Quzairi lalu menghantar mesej itu kepada Umar.
Seketika kemudian, telefon berbunyi kembali. Ada mesej baru:
‘Habis tu, apa maksud GTH?’
Quzairi tersenyum membaca mesej balas dari saudara seaqidahnya itu. Jelas. Dari mesej ringkas itu, saudaranya sedang dalam kebingungan. Tidak mahu tunggu lama, Quzairi pun membalas mesej tersebut:
‘Go To Heaven. :’) ’
-THE END-
Dalam bersaudara, emosi itu ternyata perlu. Tapi harus disandarkan lurus pada Tuhan. Jangan terlalu hidup beremosi kerana pesaudaraan kita bukan bertunjangkan perasaan semata-mata tapi aqidah yang satu. Dan bilamana dikhabarkan dalam ayat 10 surat al-Hujurat, 'Sesungguhnya mukmin itu bersaudara,' sungguh lojik bila difikir bersama bahawa bahagia kecewanya sebuah keikhwahan itu letaknya pada kesucian iman. Jika gembira in sha Allah iman sedang sejahtera. Jika kecewa pula mungkin iman dalam hati sedang merana. Jadi, rawatlah iman kita. Nescaya ukhuwah itu akan kembali kokoh. Sekukuh apa yang paling kukuh.
'Ukhuwah itu ibarat seutas tasbih. Ada awal tiada penghujung. Dicipta untuk mengingatiNya, dibahagikan untuk cintaNya, dan diratib untuk redha Ilahi'.
Wallahu'alam.
enonimus: Cerpen pertama tentang keikhwahan. Apa rasa anda? :)
No comments:
Post a Comment