-kredit-
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Keputusan peperiksaan IB telah keluar. Dan harus saya jujur mengaku.
Result saya tidak lah segempak mana pun. Namun, saya masih mampu tersenyum.
Jadi senyum sahajalah. :)
Dua tahun di kolej, benar-benar membawa satu makna yang teramat besar
dalam diri saya sebagai seorang muslim, lelaki, pelajar, anak, serta saudara
fillah. Tidak pernah saya sangka, di Kolej yang dari luarnya tidaklah begitu
islamik; dipenuhi deretan pepohon sawit dan namanya pun mainstream sahaja, saya
ketemu dengan sesuatu yang tersangat berharga. Lebih berharga dari segunung
permata, lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya.
Pabila dikenangkan, sebelum mendapat tawaran ke Kolej, saya terlebih
dahulu mendapat tawaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tampak
jelas tertera perkataan Islam pada namanya. Dan tidaklah perlu saya menipu.
Mula-mula, memang saya berhajat ke sana. Tapi bila terkumpulnya dua tawaran,
saya keliru. Mana satu ni? Dan syukur. Istikharah saya berhasil. Hati saya lebih
cenderung memberat ke arah Kolej dan bukan UIAM (bukan nak kata UIAM tak bagus
yeh).
Dan disini, bermula bibit pertemuan sulung dengannya: dakwah dan
tarbiyyah.
Sungguh saya tak menyesal. Walaupun result saya memang tak layak
dibanggakan. Haha. Kerana saya bertemu dengan sesuatu yang lebih besar dari
itu. Saya bertemu dengan sistem hidup yang syumul. Saya bertemu dengan sahabat
yang kami langsung dipersaudarakan atas dasar aqidah dan cintakan Allah. Saya bertemu
pengajaran dan abiliti yang saya memang tak sangka ada tersembunyi dalam diri. Saya
bertemu indahnya ukhuwah. Saya bertemu bahgianya berAl-Quran. Indah. Sungguh indah.
Baru-baru ini, saya sempat ke Kolej bersama seorang ikhwah. Dan kami
berbual panjang. Mengenai keputusan peperiksaan, kehidupan dan dakwah dan
tarbiyah.
Terbuka luas mata ini. Terjentik kuat hati ini. Saya tersedar.
Bukan semua orang di takdirkan ke kolej untuk berjaya, untuk mendapat
result yang sangat gempak. Bukan semua orang begitu. Kerana di saat kita
terlahirkan ke dunia, kita –sebenarnya- telah pun membahu tanggungjawab yang
begitu unik untuk setiap dari kita. Ada orang dikurniakan result yang bagus dan
ada yang tidak. Sebab apa? Sebab Tuhan mahu kita tahu, bukan itu sebenarnya
tujuan penghidupan kita yang tulen.
Saya percaya dan yakin. Poin utama saya diletakkan di Kolej bukan untuk
mendapat result gempak dan terbang ke luar negara (walaupun mungkin saya akan
terbang juga). Poin utama, dan penyebapan utama saya ditempatkan di situ
bersama ikhwah yang lain adalah untuk mendapat takrifan sebagai seorang ahli
abid, sebagai seorang khalifah dan sebagai seorang da’ei. Ya. Begitulah yang
sebenarnya.
Memikirkan perihal yang tersebut. Buat hati saya rasa tenang. Dan sifar
bimbang. Kerana masih banyak lagi peluang dan ruang untuk saya maju
terkehadapan. Begini. Ikhwah saya yang berjaya terbang ke luar negara,
amanahnya adalah untuk membangunkan manusia-manusia di luar sana. Amanah saya
pula adalah untuk membangunkan manusia-manusia di dalam negara. Kerana jika
dilihat secara kasar, kedua-duanya (luar negara dan dalam negara) –dari pendapat
saya-, memerlukan penggerak untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang sedang tidur.
Mereka buat kerja di luar, saya membuat kerja di dalam. Begitulah.
Suka saya ingatkan. Medan dakwah kita bukan hanya di Kolej. Tapi lebih
luas dari itu. Seluas lautan yang membiru. Malah lebih luas. Target kita besar.
Jadi, kita harus bercita-cita besar. Kita harus berjiwa besar. Tabah dan sabar
dan tsabat. Percaya sahaja kepada Tuhan. Kerana kita merancang, Tuhan juga merancang.
Dan sebaik-baik perancangan adalah Allah punya. Jadi mengapa perlu bimbang…kan?
Kepada adik-adik di Kolej yang mungkin membaca membaca entri ini cukuplah
anda tahu bahawa result saya hanya cukup makan. Tak perlulah korek dalam-dalam
sangat. Haha. In sha Allah, bersamaNya semua akan jadi baik-baik sahaja. Senyum.
Doakan semua jadi bahagia dan teruskan kekal menjadi da’ei yang berjiwa besar
dan bermatlamat besar. Lagipun…
Kiamat tak lagi, dan kita belum mati. Jadi, teruskan sahajalah. ;)
Kepada ikhwah-ikhwah atau rakan-rakan yang terkilan atau rasa bersalah atas ketidakberjayaan saya/ kami. Percayalah dengan penuh yakin. Suatu hari nanti, di esok yang mendatang. Anda akan jadi orang yang paling bersyukur dengan kegagalan kami. Kerana kami tak akan berhenti. Kami akan terus berjuang membuat teori dan mimpi menjadi realiti. Anda nantikan sahajalah. :)
Hm. In sha Allah.
Hari itu jerebu. Mata kita sakit. Nafas kita sesak. Kemudian hujan Allah
turunkan. Menyucikan ruang langit dari habuk dan dedebu hitam. Kita rasa
gembira. Syukur kita laungkan. Dan akhirnya, Allah bagi matahari dengan sinarnya
yang terang penuh gemilang. Langsung, terbitlah pelangi untuk mewarnai hidup kita.
Pelangi; jalur pelbagai warna. Dan anda, ikhwah fillah. Anda lah jalur
yang terang itu. Bersama. Kitalah sang pelangi. Yang mewarnai kehidupan yang
suram ini dengan warna warni tarbiyah. Hujung pelangi tidak kita tahu. Namun,
aku yakin selagi mana kita terus berjuang dan berjuang dan berjuang lagi. Tidak
kira medan. Asalkan syaratnya ikhlas berjuang. Shurga sahaja di penghujungnya.
Ayuh! Masa tidak menunggu. Train juga sudah ingin bergerak menuju hari
esok-esok. :D
Sekian.
Enonimus: Lafaz syukur untuk ikhwah fillah yang berjaya mendapat result
yang gempak. Alhamdulillah. Serta takbir tanda sebuah kemenangan yang penuh
erti. Allahuakbar!
Enonimus: Nampaknya, kehidupan saya bakal masuk fasa yang seterusnya.
Diri perlu lebih matang, dan saya akan pastikan entri saya lebih garang dan
penuh radikal. Haha. Doakan kita semua tsabat di atas jalan para pejuang.
No comments:
Post a Comment