Bismillahi Arrahman Arrahim
Hairan. Aku hairan melihat manusia. Tingkah yang pelbagai aneka tabiatnya. Namun, lebih hairan tatkala ku sedari, rata-rata mereka gemar mengharap pada yang tak pasti. Berasa resah, gelisah dan tidak tentu arah, tika berhadapan ilusi karut ciptaan minda. Berasa gembira dengan khayalan imaginasi wahan peringkat tertinggi. Berasa senang dan selesa dengan janji-janji dunia yang menipu. Sehingga terlalu asyik melayan dan lupa akan apa yang perlu. Sungguh, aku hairan.
Pemikiran kolot inilah, yang sering memerangkap jiwa manusia dari keluar dari kepompong kejahilan. Keluar terbang menjadi rerama yang riang menulusuri kehidupan. Alangkah baiknya jika kau juga turut perasan. Ini fikrah jumud. Langsung tidak memberi sebarang manfaat, baik kepada ummah, mahupun kepada tuan empunya jasad. Sebaliknya, kemudaratan jualah habuan untuk mereka yang terperangkap dek penjara halusinasi mainan perasaan.
Hey, kenapa nak rasa resah tak tentu arah? Sehinggakan tujuan, hilang menjadi buntu. Matlamat hidup tidak lagi diburu. Erti menjadi hamba pada yang Rabb Yang Esa hilang, pudar dari hati yang semakin rapuh. Ketakutan itu melenyapkan keyakinan pada diri. Keyakinan untuk terus melangkah menyebar risalah suci. Rasa resah itu memaksa diri untuk kekal di bawah. Rasa gelisah itu memaksa diri untuk terus dipandang rendah.
Hey, kenapa nak lupa diri? Berasa gembira dengan khayalan imaginasi peringkat tertinggi. Di saat dunia dijadikan kiblat. Di saat lupa akan datangnya akhirat. Rasa ego, bangga diri menjadi tabiat. Nafsu menjadi teman, syaitan menjadi sahabat. Keimanan hanya sekadar manisan mulut yang semakin luput. Tidak mampu menjadi satu benteng akidah yang sepatutnya kuat. Sehingga jasad terhanyut pantas dek arus deras serangan pemikiran.
Hey, kenapa begitu mudah untuk kita percaya? Ribuan janji-janji dunia yang bersifat sementara, hanyalah kata-kata sang pendusta. Kita ini pengembara, sentiasa sibuk mencari bekal takwa. Bukan pula selamanya hidup melayari bahtera dunia. Dunia itu platform, batu loncatan menuju kehidupan yang abadi. Sama ada syurga atau neraka, bergantung pada amalan dan redha Ilahi. Jika baik timbangannya, baik jugalah ganjarannya.
Begitu pun, aku masih hairan.
Kenapa yang pasti itu tidak dijadikan tujuan? Kenapa jalan yang satu itu bukan pilihan? Kenapa yang hakiki itu suka diketepikan? Mengharap pada yang tak pasti juga suka kita turutkan. Mana hilang izzah kita terhadap Islam, agama yang diredhai Tuhan. Wahai, bangunlah! Sudah banyak kali kita, mereka kejutkan. Namun, kita anggap ia hanya lah sebagai igauan. Percayalah, ini bukan gurauan. Ini bukan gurauan.
Adakah layak, dunia kita jadikan sembahan? Adakah layak, janji Tuhan kita perolokkan? Kita suka mengejar yang tak pasti, walaupun sudah ada matlamat, dua tujuan hidup yang mesti. Peperiksaan yang kian menjengah tiba. Buku rujukan lebih lama di tangan berbanding naskhah Al-Quran. Diskusi kumpulan menjadi lebih utama dari majlis ilmu mengingat Tuhan. Kemasyhuran dunia lebih kita damba dari ganjaran syurga.
Sujud, kita rasa lama. Doa, kita anggap sia-sia. Tugas dakwah itu pula terasa bagai beban. Satu kewajipan yang perlu ditinggalkan? Begitu singkat masa yang diperuntukkan untuk mengenal Tuhan. Kita alpa! Kita lupa! Tonton Percy Jackson boleh pula berlarutan. Main riadah petang boleh pula berpanasan. Sembang kencang boleh pula kita tukar jadi satu kewajipan? Sungguh, aku hairan. Bukan kah janji Allah itu amatlah pasti. Satu-persatu tercatat dalam Al-Quran. Selayaknya menjadi penyuluh hidup manual pengembaraan:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
(47:7)
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.
(30:69)
Renunglah, wahai! Masih belum terlambat mengatur langkah. Mengorak perjalanan ke satu arah. Pintu taubat itu masih terbuka. Pintu rahmat itu masih tersedia. Mari betulkan niat. Mari betulkan kompas yang terganggu dek frekuensi magnetik tinggi jahiliah. InsyaAllah, esok masih ada. Tapi kenapa perlu tunggu esok, jika hari ini masih muda. :)
(p/s: Selamat Hari Ibu buat Emak tersayang, yang sedang tekun menjaga adek. Atau, mungkin juga sedang tekun membaca karya jalanan anak mu ini. Hihi. Sebenarnya, tak tahu tarikh sebenar Hari Ibu. Heheh. )
trai baca surah masa dalam tafsir fi zilail
ReplyDeletesiyes3
huhu