Pages

Followers

Monday, April 30

Bayang-Bayang Hitam.

Bismillahi Arrahman Arrahim
Assalamualaikumm Warahmatullahiwabarakatuh

Hilang percaya pada semua tatkala mereka bagai penipu dengan senyuman palsu. Berpura-pura mengiya, hakikatnya suka berdusta. Dunia begitu gelap. Spotlight yang pernah gemilang terang memancar cahaya kini beransur-ansur pudar. Fenomena halusinasi dedaun berguguran seperti cerita kartun yang biasa tersiar di kaca televisyen mula menjadi latar. Dosa-dosa yang dahulu kerap menghantui, memerangkap aku dalam sangkar perasaan sunyi yang padat dengan rasa bersalah.

Ya, aku rasa bersalah. Bersalah kepada semua yang ada. Semua yang pernah aku temui sepanjang kembara kehidupan. Banyak. Banyak kegagalan juga kesalahan telah aku lakukan. Tidak cukup jari untuk mengira kesemuanya. Jika kau tiba-tiba berasa ingin menghitung satu-persatu nescaya kau akan tidak menemui titik hujungnya. Kesalahan aku infiniti walaupun (mungkin) minor tapi tetap tiada henti.

Oh, matahari bila kan lagi kau menyuluh hidup ku kembali? Tidak sanggup lagi aku tempuhi apa yang tersedia di hadapan. Aku muak dengan segala kemungkinan yang bakal menjerumus aku lurus ke lembah rasa bersalah. Boleh juga aku kata kan, perasaan itu semakin memenuhi setiap ruang minda ku. Hanya menunggu masa untuk meletup, meletuskan apa yang aku gagal bayang kan. Aku yakin jika ini berterusan, satu perkara yang dasyat akan berlaku.

Apa lagi alternatif yang ada? Telah ku cuba semua nya. Namun, perubahan itu masih lagi bukan milik ku. Ah, rasa guilty yang infiniti amat memeritkan! Tolong beri ku ubat. Penawar untuk meneutralkan bisa, racun yang membunuh dari dalam. Hati ku juga, yang ingin kau (perasaan bersalah) ingin kerja kan. Perisai keimanan yang membentengi tidak lah begitu tebal walau seinci. Aku mampu berdiri, tapi mampukah aku untuk mengharungi?

Aku mengaku, aku bersalah. Aku mengaku, kesilapan itu milik ku. Aku mengaku, aku bukan insan yang sempurna.  Aku mengaku, kata-kata ku terkadang bagai pedang tajam yang menyiat daging tanpa rasa belas. Aku mengaku, perbuatan ku terkadang kasar. Aku mengaku, pemikiran ku menimbulkan rasa jemu. Aku mengaku, pengakhiran yang bahgia mungkin sahaja bukan milik ku. Aku mengaku, aku bodoh dalam membuat penilaian.

“Senyum mentari ku, senyum lah. Namun, senja tetap datang berpantun. Menjanjikan kegelapan pada ku.” – Hampir, Hujan

Walau apa yang mungkin sahaja berlaku, aku tahu ini cerita hidup ku. Dan kesalahan itu tidak akan berpindah hak milik atau di warisi keturunan ku yang akan datang. Dosa itu milik ku seorang. Aku bertanggungjawab atas setiap apa yang berlaku. Dan yang paling penting kesalahan itu tidak akan terhapus dari minda dan jiwa mereka yang pernah aku lukai. Contengan arang itu pasti masih kekal hitam dalam sejarah hidup mereka.

Sesungguhnya, aku pernah gagal dalam menjadi kan jasad pemberian ini sebagai wasilah mencapai redha Allah. Kini, apa yang layak bagi ku hanya taubat dengan harapan memuncak agar dosa-dosa ku terhapus. Aku yakin, hujung sana pasti ada cahaya selagi aku tidak berhenti meneruskan perjalanan dan terus lurus ke hadapan. Cahaya itu tujuan dan bayang-bayang hitam, gelap yang terhasil itu pasti tidak akan penat mengekori. Pasti ku pikul dosa ku sepanjang sayembara ini. Wahai, masih belum sudi kah memaafkan aku? :’(

Biar kan sahaja apa yang sudah kerana ia tak mungkin terubah. Aku mengaku bersalah. Aku mengaku bersalah. Sekian. Masa untuk berlumba-lumba ke sinar al-falah. Peperiksaan SEM 2? Challenge accepted!

[ p/s: Toksah selalu sangat terkenang kan dosa lalu hingga merencatkan kembara kehidupan. Harap sampai maksud nya~ ]

Sunday, April 29

The Pembela

Bismillahi Arrahman Arrahim


(Entri adaptasi dan terubah suai dari movie asal, The Avenger..Wahaha)

Aku ialah seorang hero yang pernah pada suatu ketika dahulu menyelamatkan seluruh umat manusia di muka Bumi. Menyelamatkan mereka dari Raksasa Kejahilan yang rakus mengganas menghentam jiwa-jiwa suci murni. Kekalahan Raksasa Kejahilan telah benar-benar menjadi satu sejarah yang begitu bermakna buat sekalian manusia. Kini, aku hanya sekadar insan yang status hero nya telah laput di telan masa yang pantas berjalan.

Namun, kedatangan seantero kerabat Raksasa Kejahilan yang lain ke muka Bumi, memaksa aku untuk kembali beraksi gemilang.

Dengan kelengkapan serba ada, aku pantas menuju medan bakti. Sedaya upaya menghapus kan segala ancaman yang tiba-tiba sahaja mendatang. Wahai! Bilangan mereka terlalu ramai. Aku yang seorang tidak langsung mampu mempertahankan Bumi dengan keseluruhan. Aku rebah. Mungkin aku telah tewas. Mungkin Bumi ini akan menjadi jajahan takluk kerabat Raksasa Kejahilan. Mungkin seluruh umat manusia akan menjadi hamba si pemain boneka D:

Saat aku di kerumuni minda pesimistik yang kritikal, ‘mereka’ datang entah dari mana. Tidak di undang dan sengaja bertandang. Siapa kah mereka? Tidak takut mati kah? Aneh nya, mereka juga sedang sibuk mempertahankan Bumi seperti aku. Aku melihat kaku. Kehebatan mereka, ketangkasan mereka, berjaya buat aku kagum. Kagum dan terpana. Oh, aku tidak keseorangan! Ini mungkin satu perkhabaran yang super menggembirakan.

Tatkala aku tenggelam dalam perasaan penuh keterujaan, datang seorang daripada mereka tersenyum, gagah menghulurkan tangan, ”Hey, atas ini jalan, anda tidak keseorangan. Jom! Kita bersama menuju Ustaziatul Alam.” Aku senyum sendirian. Menggapai tangannya, segala kekuatan ku kini bagai mengalir semula ke seluruh inci urat nadi ku yang tadi nya seakan tidak bernyawa. Aku segera bangkit dari fantasi kekecewaan, melangkah berani menuju alaf kejayaan :D

Kami lah, The Pembela. (!)

[ p/s: Aku tak tahu cerita keseluruhan, sebab aku hanya baca sinopsis dan tengok trailer nya sahaja. Mungkin agak lame, tapi ini merupakan mujahadah aku untuk tidak lagi ke panggung wayang. :) ]

Saturday, April 28

Kuku Tak Diketip Lagi

Bismillahi Arrahman Arrahim

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh


“Aku rasa, kebanyakkan budak kat sini macam penting kan diri sendiri lah,” kata seorang ikhwah menyampaikan buah-buahan fikiran yang baru sahaja bertunas. Aku hanya duduk diam, setia mendengar.

“Aku bukan nak kutuk taw. Tapi cuba kau bayang kan, most of them yang bangun awal untuk solat Subuh, tak pernah pun cuba try test kejut orang lain. Aku rasa, kalau diorang ni kejut orang lain, mesti penuh surau tu time Subuh,” sambung nya lagi, penuh petah. Ragu-ragu, kepala ku tiba-tiba di garu.

“Sebab tulah aku macam tak selalu sangat turun Subuh,” dia mengakhiri kata-katanya. Perasaan ingin memberontak itu kini memenuhi rongga-rongga. Rasa terkilan bercampur sedikit tidak puas hati hampir sampai kemuncak. Namun, aku masih berdiam. (?)

Ohoi! Manusia yang berakal sekalian; aku, kau, kamu, dia dan juga mereka yang duduk di sana-sini. Bukan lah diri ini ingin mencetus kan provokasi. Bukan juga mahu menunding jari dan jauh sekali nawaitu ku untuk mengguris hati. 


Ini cuma satu entri untuk menegur mereka dan memperingat diri ini yang serba marhaen. Ya, aku suka memberontak dengan cara yang amat kool. Eh, tiba-tiba sahaja. Wahaha. Okay. Ayuh, penglipur lara bermula!

Bangun pagi lambat. Subuh solat lewat. Hari-hari pagi-pagi, pasti kan berulang lagi. Bangun lewat bagai hobi, bangun awal oh jauh sekali. Bila nak berubah? Tentu kan mana arah. Dosa, pahala, neraka, syurga. Mana satu yang kau damba?


Hah, pilih lah. Kita kan dah besar. Kita kan dah sedar. Mata terbuka, telinga mendengar, jasad dah ada TAPI hati bagaimana? Mana hati kita? Dah sorok dekat mana? Bila nak guna nanti, mampu ke jumpa semula?

Ayuh, buka minda. Anjakkan paradigma. Buka mata luas-luas. Kita selalu mengharap mereka, dia dan seantero dunia untuk selalu sahaja memberi senang, laluan mudah kepada kita. 


Tanpa secebit rasa bersalah, terus-menerus menuding jari telunjuk menyalahkan mereka yang di sekeliling. “Sebab kau lah, aku tak turun Subuh pagi tadi!” “Orang sekarang, ramai ikan-sendiri (self-fish), Nak masuk syurga sorang-sorang je.” Tapi salah mereka kah keseluruhannya?

Ya, aku sendiri tidak menidakkan kesalahan mereka yang tidak mahu berkongsi ilmu. Ilmu yang di ternak dada itu hanya lah umpama perhiasan yang tidak mungkin di kongsi bersama. Oh, alangkah!


Namun, kita sering lupa, alpa, terleka bahawasanya kesalahan itu juga milik kita sebahagiannya. Kita terlalu menaruh harapan, sehingga tidak ingat bahawa kita juga mampu mencipta harapan. Hey, kita semua manusia lah. (!)

“Ramai orang ingin mengubah dunia tapi terlupa mereka juga sebahagian dari keseluruhan dunia. Kenapa tidak mengubah diri dahulu?”

Jika kita lambat Subuh, kita salahkan orang. Tapi tahu kah kita, mereka juga mungkin sahaja menyalahkan kita semula. Jadi, apa yang ingin aku tekan kan di sini adalah, “Apa inisiatif kita dalam menangani permasalahan sedemikian rupa?” 


Dah tahu ada masalah tapi masih tiada konklusi kendiri. Adakah dengan menuding jari dapat melerai konflik yang tersimpul erat? Adakah dengan menuding jari dapat membawa kita terus masuk ke Syurga Ilahi?

Kita tahu kita berdepan masalah, jadi apa jalan yang di ambil untuk menempuhi? C’mon lah people. Adakah kesalahan mereka punca utama kita tak dapat melaksanakan amanah yang di beri? Mari aku beri tahu, punca utama masalah individu adalah individu itu sendiri. 


Jika malam tidur lewat; main DoTA, tengok bola, Real kalah dengan Bayern, Barca kalah dengan Chelsea, terguling aduh, rasa kecewa. Petang pula main super penat; beriadah bagai dunia tak ingat, macam menang boleh dapat pingat.

Dan masih layak kah kita menyifatkan mereka dan dia sebagai tunjang simpulan kecelakaan? Ayuh, koreksi diri. Ayuh, belum terlambat lagi.  Sudah-sudah lah menuding jari, yang kuku nya tak sempat di ketip lagi. Chiaww.

(p/s: Lalala. Mari menyibuk kan diri dengan assignment yang terlambak di atas katil. )

Wednesday, April 25

Bukan Sekarang

Bismillahi Arrahman Arrahim

Pernah suatu ketika, perasaan itu muncul. Ketika diri rasa keseorangan. Jiwa rasa sepi, bebas melayang di ruang angkasa yang luas memutih. Satu rasa yang sungguh nikmat dan tidak pernah gagal membuat aku terasa ingin ke arahnya. Pffft. Mungkin kedengaran kelakar, kerana tulisan ini hakikatnya terjemahan minda separa sedar seorang lelaki yang sedang sibuk melayani yang tidak perlu. Ya, tidak perlu untuk masa sekarang. Iaitu perasaan untuk dicintai dan mencintai seseorang.

Hahah. Memang kelakar. Tergelak sendirian aku dibuat nya. Bayangkan, seorang lelaki yang mempunyai wajah yang dikatakan serius memanjang berbicara tentang cinta. Tak masuk akal. ‘Gila kah sang penulis? Menulis sesuatu yang di luar bidang nya.’ Tak mengapalah. Endah kan sahaja perkhabaran kurang indah yang terkeluar dari mulut mereka-mereka. Hanya aku sahaja yang tahu kenapa perlu untuk aku menulis tentang ini.

(Lagu Tapi Bagaimana oleh Spider, dimainkan dengan tiba-tiba)

Ya, hari itu, panahan dewa cinta jelas menusuk tepat ke arah kalbu yang sedia ada tertutup setelah tamat cerita lama yang tak langsung indah. Cerita lama yang menjadi satu cakar penyebab parut yang tak akan hilang. Panahan itu sendiri menjadikan aku gila sebentar. Susah untuk melupakan, dan lagi susah kalau lupa. Hati jadi kecamuk, jiwa muda ku bergelora. Umpama belayar di lautan samudera yang indah terbentang. Bezanya, aku tidak pula mabuk laut. (?)

Hanya sekadar satu siri pelayaran yang terhenti sejenak. Terhenti dek manis gula madu nya rasa cinta. Sumpah, aku ingin lagi merasa penangan itu! Oh, alangkah! Kehidupan bagai sifar masalah, hanya keindahan yang tersedia di hadapan ku. Tiada satu pun yang mampu menjadi aral yang melintang. Bah kan, jika ada, pasti sahaja aku lepasi. Diri terasa begitu gagah untuk menghadapi apa-apa sahaja dugaan yang bakal mendatang.

Namun, saat perasaan itu sampai kemuncak sakti, datang pula fikiran yang menghalang. Sebuah fikiran murni bersama misi yang suci, ‘Sedalam mana kah cinta ku terhadap Rabb Yang Maha Mencintai? Jika cinta suci ini belum aku takluki, layak kah aku untuk mengejar cinta dari makhluk yang dicipta?’ Zass~ Panahan itu kini layu. Patah. Terbelah. Hanya tinggal luka kecil yang kian sembuh hari demi hari.

‘Layak kah aku untuk bercinta dengan ciptaanNya walhal cintaNya sendiri tidak aku puja? Layakkah aku untuk merindui ciptaanNya walhal rindu itu tidak pula pernah tertumpu kepadaNya? Layakkah aku? Layakkah aku? Allah begitu kasih kepada ku, memberi setiap apa yang perlu, tapi tidak pernah pula aku sibuk walau sedetik, duduk rasa terharu. Layakkah aku, bergelar hamba kepada Rabb Yang Maha Esa?’

Bagaimana untuk aku jelaskan? Kau buat ku teruja, kau buat ku tertawa. Terbit rasa tersembunyi beku. Bagaimana untuk aku lepaskan perasaan itu? Hingga rasa cemburu seperti pasangan kekasih yang hangat bercinta. Dan tak sanggup berpisah. Walau hanya sekejap. Aku sangat merindui kau. Senang sekali kau ada. Tapi aku tahu tanggungjawab yang terutama; mengejar cinta Allah, Rabb Azza Wa Jalla.

Tapi bagaimana nak ku kata padanya, yang ada seperti tiada. Haruskah aku kejam demi rasa? Tolong lepaskan ku dari sengsara ini. Akhirnya, satu kata putus di buat. Apa nak jadi, jadi lah. Ini jalan aku. Walaupun payah tapi ini jalan aku. Jalan yang akan membawa ku jauh dari mimpi seorang pemuda yang di anggap indah tapi sebenarnya hanya lah dusta. Aku yakin, ini jalan yang benar. Saat jari-jemari menari indah di atas telefon touch-screen, aku hanya buat tak tahu. Biarkan sahaja jari itu berkarya dengan sendiri.

Tanpa segan silu, punat send di picit mesra. Dan berakhir lah satu ritual cinta yang mungkin sahaja akan membuat aku terleka dan terluka buat kali kedua. Dia bukan tak cantik, dia bukan tak baik. Hanya kekosongan yang ada. Di sudut hati ku tak bisa diusik. Hingga cinta jadi kematu. Tiada yang nak gaduh. Tiada yang nak tentang. Hingga rasa menjadi kering kontang. Jika ada jodoh, pasti ada masanya. Tapi mungkin, bukan sekarang. :’)

[ p/s: Walla! Berpeluh-peluh Penulis Jalanan menulis entri kali ini. Wahaha. Hurm. :’) ]

Kucing Makan Burger.

Bismillahi Arrahman Arrahim

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Hai, aku ada satu cerita. Tentang kucing makan burger. Tak kisah burger apa. Ayam, daging atau telur saja. Sebuah kisah yang aku reka-reka. Tapi bukan saja-saja. InsyaAllah ada manfaat untuk kita semua.

Ada satu hari, nampak seekor kucing Parsi. Jalan-jalan, seekor-seekor ke sana ke mari. Mungkin makan angin, mungkin juga cari nasi. Hidu sana, hidu sini. Ikut naluri yang Tuhan bagi. Sekejap berhenti, sekejap perhati, tengok kanan kiri. Sampai satu tempat, terus buat muka basi. Depan manusia, muka simpati. Kejap lagi, buat tak reti. Time lapar semua jadi. Janji perut dapat isi. Mengiau-ngiau, menyanyi-nyanyi, dan jilat bulu sendiri.

Manusia pulak ada pelbagai persepsi. Ada suka, ada benci, ada marah, ada simpati. Kalau suka, belai-belai. Kalau benci, kasi kaki. Kalau marah, maki-maki. Kalau simpati, kongsi nasi. Nasib kau lah kucing, apa yang nak jadi. Okay. Sambung cerita tadi. Kucing Parsi jalan lagi. Pergi sana, pergi sini, bukan untuk makan gaji. Bila orang hulur, kucing datang muka kebulur. Lepas orang bagi, kucing datang mintak lagi.

Eh, bukan sebarang makanan. Kucing tak makan, macam manusia makan. Manusia selera lain-lain.  Ada makan apa ada, janji halal, harga biasa. Ada suka pilih-pilih, “Eh, aku tak suka makan dadih.” Tapi ada satu benda kena fasih. Nanti kau pasti kan berterima kasih, hati bertambah gembira, bebas dari duka lara. Ia tentang satu cerita. Kucing tak makan burger. Kenapa kucing tak makan burger? Pernah tak kita tertanya?

Kucing Parsi jalan-jalan. Offer burger, buat tak layan. Aku naik hairan. Ini burger mahal, bukan benjo tepi jalan. Kucing Parsi bangun bukak mulut nak bagi jawapan. “Hey, aku tak makan burger. Tuhan tak suruh, bukan aku reka-reka. Aku tahu burger sedap. Aku tahu burger lazat. Kalau Tuhan tak bagi, tak akan aku berani buat. Ini bukan fitrah aku di cipta. Ini juga bukan tugas aku di dunia. Nah, aku dah bagi jawapan. Sekarang, cepat bagi aku makan.”

Em. Apa tugas kita, ya?


[ p/s: Ayat berbelit penuh makna. Wahaha. Em. 1 bulan sebelum exam SEM 2. ]

Sunday, April 15

Abang Si Pengemop Lantai

Bismillahi Arrahman Arrahim
Hari itu sungguh terik. Panas seakan tak kenal erti simpati. Peluhku tidak henti-henti membasahi baju Nike bundle yang baru ku beli. ‘Oh, panasnya!’ teriak aku, bergema hanya dalam hati. Tak mampu aku menjerit kerana tekak terasa kering amat perit. Aku meninjau ke seberang jalan. Kelihatan kelibat gerai minuman di situ. Sedikit gembira, tapi melihatkan duit poket yang amat sikit, niat ku terbatal. ‘Ah, lain kali jelah aku minum.’

Matahari semakin galak meningkatkan suhu sekeliling dengan gembira. Sedikit pening, kepala ku pusing. Dengan tidak semena-mena pergerakan aku seperti dikawal pemain boneka halimunan, mengarah jasadku lurus ke gerai minuman tadi. Jalan raya yang tadinya milik pemandu kenderaan, kini milik ku. Pantas sahaja aku melintas tanpa perlu menunggu tiang bermata tiga memancarkan sinar merah.

Tangan ku pula tiba-tiba bergerak, meraba-raba poket bahagian belakang. Aku cuba menghentikannya, tapi tak mampu. Terpaksa jua aku menuruti. Sekeping not berwarna merah terkeluar. Not merah itu kini bertukar milik. Aku dihadiahkan sekeping not hijau, 3 keping not biru dan kepingan-kepingan besi yang tiada ku pasti nilainya. Melihatkan sebotol minuman Pulpy di tangan, aku cuba membukanya. Dan, ‘Ah, leganya tekak aku rasa.’

Sinaran kebahagian jelas memancar-mancar dari setiap sudut ruang roma di muka ku. Aku ternyata berpuas hati. Minum lagi. Dan lagi dan lagi. ‘Eh, dah habis?’ aku terkesima berseorangan. Botol itu ku buang lurus ke dalan tong sampah kitar semula. Mencari teduhan, aku lekas duduk di bangku yang berdekatan. Tekak kembali berasa kering. Aku mengosok-gosok lembut tekak ku merayu agar bertahan sedikit lagi.

Aku mengeluarkan dompet ku dan menilai isi di dalamnya. ‘Alamak. Duit dah nak habis lah.’ Runsing. Wang hampir ketandusan. Tekanan kewangan betul-betul menguji tahap kewarasan ku ketika itu. Kalau aku tidak beragama, pasti saja aku sudah mengusha mak cik yang berbeg tangan Labucci. Lalu, memanaskan badan untuk meragut begnya. Alhamdulillah. Aku dilahirkan sebagai seorang muslim. :)

Oh, ya. Terlupa aku nak cerita. Sebenarnya, aku sedang menunggu seorang sahabat ku yang dari tadi sibuk membeli-belah. Jangan risau. Aku tak keluar dengan sahabat yang berlainan jantina ya. Mungkin belum tiba masanya lagi. Wahaha. Kebosanan menunggu, aku lantas merayau-rayau sekeliling bandar. Dan kini aku sedang terdesak untuk segera tiba ke kolej. “Woi, cepat lah sikit beli barang!” Uhuk.. Uhuk.. Uhuk.. Ergghh.. Sakitnya tekak~

Ketandusan wang membenarkan aku hanya untuk duduk diam-diam di bangku itu. Memerhati sekeliling, baharu aku perasan aku sedang duduk di hadapan premis KFC. ‘Woah! Sedapnya ayam!” Aku terliur. Tapi hanya bauan dan aroma sahaja yang dapat memuaskan nafsu kelaparan tahap ke lapan ku. Sedikit mengeluh tapi tak mengapalah. Aku terus berada di situ menanggung kebosanan yang tidak langsung melampau.

Dalam kesibukan ku memerhati indahnya suasana di dalam KFC, hadir satu jasad membawa baldi dan mop, berjalan gah ke pintu utama premis berkenaan. Dia lalu mengambil sekeping papan (?) bertulis ‘Lantai Licin’ dan meletaknya di situ. Sesudah meregangkan otot, dia terus mencapai batang mop yang dibawa. Matanya seakan bersinar. Dia mencelup mop ke dalam baldi dan pantas sahaja mengemop lantai.

Melihatkan fon telinga yang terpasang di kedua belah telinganya, aku yakin dia sedang mendengar lagu. Gerak-gerinya seperti seorang penari yang sedang asyik menghiburkan penonton dan menambat hati juri di atas pentas tarian. Berpusing-pusing. Moon walk. Dan kedengaran suara kecil menyanyi. Selang beberapa minit kemudian, selesai. Tugasnya sudah selesai. Lantai itu ternyata kelihatan amat lah bersinar. Dia tersenyum sedikit bangga. Dan entah kenapa, aku pun turut berbangga.

Namun, kegembiraan itu tidah bertahan lama. Tiba-tiba sahaja, wajah nya berubah masam. Jelas, dia amat geram. Beberapa remaja belasan tahun melalui lantai yang baru di mop. Disebabkan lantai belum seratus peratus kering, ia kembali menjadi kotor. Tekanan memainkan peranannya. Wajah abang pengemop lantai bertukar agresif. Dia mencapai mop dan mengemop kawasan itu kembali. Aku kagum.

Kemudian, lalu lagi beberapa pelanggan yang kurang budiman. Aku hanya melihat. Abang pengemop lantai sekali lagi melaksanakan tugasnya. Dan lalu lagi pelanggan yang lain. Abang itu tidak berputus asa. Mulut di kunci, tenaga pula di kerah dengan lebih hebat. Gerakan mop bertambah pantas. Sedihnya, masih ada pelanggan yang agaknya kurang mahir menghormati, melalui kawasan tersebut.

Abang pengemop lantai menukar strategi. Tangan kanannya erat memegang batang mop manakala tangan kirinya memegang papan ‘Lantai Licin’. Dia meneruskan usahanya bagi memastikan sinaran lantai itu kembali gemilang. Akhirnya, dia berjaya. Setiap kali ada yang ingin lalu, dia menunjukkan papan tanda itu dan menyuruh mereka keluar atau masuk melalui pintu masuk kedua. Mungkin strateginya, kini berjaya.

Hadir pula satu suara dari belakang. Satu suara yang agak selalu aku dengari. Oh, sahabat ku sudah selesai membeli-belah. Kami pun segera pulang kerana hari telah lewat petang. Aku sempat menoleh ke belakang. Abang pengemop lantai itu masih mengemop. Mungkin masih ada kelompok manusia yang tanpa segan-silu melalui kawasan tersebut. Aku tersenyum melihat kesungguhannya, ‘Semoga kau berjaya, saudaraku.’

~ Sebuah analogi yang dikarang semula hasil perkongsian cerita seorang akh. Lantai itu ibarat hati. Setiap kali dibersihkan, pasti ada anasir-anasir yang mengotori. Tidak pula kita harus berputus asa kerana hati itu seharusnya terjaga. Rancanglah strategi mu agar hati itu sentiasa kembali memberikan sinaran nya yang gemilang terang. Sekian.

Saturday, April 14

Kaching! Kaching!

Bismilillah Arrahman Arrahim

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.

Bila berbicara tentang harta, pasti semua ingat dunia. Materialistik, dan individualistik jadi pegangan. Erat tangan mu tak mahu lepaskan. Hoi, ingat harta itu bukan milik Tuhan? Kau hanya pinjam, guna tak mahu ucap kesyukuran. Belanja, belanja dan belanja hingga hati masuk syaitan. Lupa cerita akhirat, dunia kau tukar jadi kiblat. Cubalah kau guna untuk jalan kebaikan. Pasti dapat semula lebih dari yang kau belanjakan.

Harta itu sering dibazirkan. Tanpa perlu ada rasa jemu, nafsu itu terus-menerus mengasak jiwa-jiwa manusia untuk menghabiskan harta mereka tanpa perlu ada fakta yang jelas. Bazirkan, bazirkan, bazirkan. Terus jangan berhenti. Hingga akhir nanti tiada apa lagi untuk kau belanjakan. Di saat itu pasti sang akal ligat menghasilkan rotasi, mengerah setiap inci kudrat untuk menjana manifestasi yang baru. “Ah, bagaimana perlu lagi untuk aku mengumpul harta untuk dibelanja?”

Dan masa akan terus beredar dan berlalu tanpa mengenal erti tunggu. Harta yang kau peroleh dari harta itu akhirnya bertukar menjadi longgokan sampah yang tiada lagi digunakan, tiada lagi dibanggakan dan tiada lagi menjadi bahan tunjukkan. Ketika itu, pasti timbul bisikan terngiang-ngiang menyeru, “Apa lagi yang ditunggu? Pergi lah beli yang baru.” Hati menjadi punca jasad melaksana tuntutan nafsu durjana. Beli, beli dan beli. Mungkin akan tiba satu ketika nanti pabila dikau tertanya, “Mutlakkah harta ini milik ku?”

Jawapannya, “Tidak!”

Harta itu milik takdir tika kita masih hidup. Mungkin berlaku inflasi. Mungkin berlaku tragedi. Mungkin berlaku judi. Takdir itu amat misteri. Tiada lagi yang mampu merungkai, mengorek rahsia takdir Ilahi. Apa yang dirancang tak semestinya akan berjaya. Kerana Allah jualah sebaik-baik perancang. Jadi, harta itu bukan mutlak milik kita kerana ia samada lesap atau bertambah dalam kadar sekelip mata.

Harta itu milik pewaris tika tiba saat kematian. Pasti berlaku pembahagian atau berlaku perbalahan. Harta tinggalan menjadi rebutan. Jika tak dapat, nyawa dipertaruhkan. Kerana harta itu dipandang tinggi nilainya berbanding nyawa yang tiada harga. Tapi tidak kisahlah. Mana pula bahagian kita? Kita yang menternak harta, mereka pula sibuk bermandi peluh merebutnya. Apa boleh buat? Harta itu belum lagi mutlak milik kita.

Harta itu hanya jadi milik mutlak kita pabila dibelanjakan di jalan yang haq. Di saat harta itu terbelanja dengan nawaitu yang satu; membantu yang memerlu tanpa mengharapkan balasan yang beribu. Di saat harta itu disucikan dengan zakat, rahmat bakal menyinar penuh berkat. Di saat harta itu tidak dilangsungkan pada yang tidak perlu, akan kecewalah sang nafsu. Ketika itulah harta menjadi hak mutlak (!)

Harta yang terbelanja dengan benar akan menjadi harta mutlak kita untuk dibelanja walau di mana kita berada. Baik ketika hidup atau ketika mati.

Ia menjadi harta yang menghiasai. Sebagai perhiasan budi pekerti yang luhur lagi murni. Memberi cahaya kepada wajah dan mengukuh iman di hati. Sebarang kecelakaan pasti dapat dihindarkan, pabila menjadi hambaNya yang sungguh mensyukuri. Tiada yang dapat meragut keberkatan, mencuri kebahagiaan, mewarisi keimanan, merompak ketaqwaan, memonopoli keredhaan kerana itu semua urusan Ilahi. Asalkan niat ikhlas bertakhta di hati.

Ia menjadi bekalan ketika tiba saat perhitunggan. Maka beratlah timbangan amal kebajikan. Jangan kau lupa di akhir sana ada neraca keadilan, Al-Mizan. Setelah harta itu dicukupkan, nikmat syurga yang terbentang luas pastikan jadi ganjaran buat jiwa-jiwa hamba yang beriman. Pinta apa sahaja pasti kau dapat, kerana syurga itu milik Allah Yang Maha Hebat. Ayuh, tiada rugi dalam perbelanjaan di atas jalan kebenaran kerana kau sedang berurus niaga dengan Tuhan.

Sekian. :D

Friday, April 13

5S (Sisih-Sapu-Susun-Seragam-Sentiasa amal)

[ PERHATIAH: Ini adalah artikel promosi projek pemula gaya (baca: trend setter) 5S. Tiada yang mustahil! ]

Sisih.
Sisih segala kejahilian dalam sanubari hati hingga ke seluruh laman nurani. Pastikan ketiadaan penyakit hati yang kronik seperti dengki, syakwasangka, ujub dll. Jika ada, sila sisihkan dengan kadar yang ekstra cepat dan bergaya. Diingatkan juga, jangan benarkan sebarang item yang mampu menjerumuskan umat manusia ke dalam lembah berapi, Neraka Yang Menyala-Nyala, berada di dalam lingkungan jarak kehidupan rutin sebagai hamba Allah yang sejati.

Jika didapati kelibat apa-apa objek yang mencurigakan, keperluan untuk beraksi dengan cemerlang bagi menyisihkannya adalah amat vital. Tiada alasan sebagai pembela, sisihkan sahaja dengan hati yang riang ria gembira tidak kira masa. Sisih segala video, movie serta lagu sang kerapu tanpa malu-malu kucing Parsi. Recycle Bin (untuk lappy) yang tersedia, pasti mampu menerima penyisihan yang berlaku. Malahan pula, mereka pasti berasa bangga tidak ingat dunia kerana dapat berkhidmat dengan mesra.

Sapu.
Sapu habis segala saki baki kekotoran dan habuk-habuk jahiliah yang bertebaran merata-rata. Tidak dilupa sesawang jahiliah yang berasa diri mereka selamat di siling, sapu mereka habis-habisan. Gunakan keupayaan penglihatan yang sungguh nikmat bagi mengesan dan membersihkan ruang atau sudut yang tercemar. Jika kesan kekotoran terlalu amatlah sukar untuk ditangani, jangan segan untuk mempergunakan Hikmat Mop Basah Merata-Rata dan Hikmat Gosok Sampai Berkilat Gosok dengan senang hati.

Berusaha dengan gigih tanpa ada rasa pelik (!). Gunalah kelengkapan seperti penyapu, kain buruk basahan serta penyodok sesampah agar setiap aksi yang dilakukan insyaAllah bertambah efisien. Jangan pula lupa akan kekotoran najis-najis burung yang kental mencorakkan cermin-cermin tingkap nako. Sapu juga sampai selesa. Setelah selesai, anda patut berasa bersyukur. Minum sedikit air dan rehat buat seketika sebelum meneruskan lagi perjalanan yang sumpah panjang.

Susun.  
Susun segala strategi hebat-hebat bagi melawan seteru jahiliah yang tiba-tiba kian mengganas. Ingat, jahiliah yang tersusun akan mengalahkan haq yang tiada tersusun (!). Dalam menyusun atur gerakan yang versatile, komrad yang berhati mulia, berhati suci dan berhati-hati akan memudahkan lagi segala urusan. Tambahan pula, disebabkan jahiliah itu berbahaya untuk jiwa-jiwa manusia yang nipis ibarat kaca cermin mata, anda perlu bergerak dalam kumpulan.

Sesungguhnya, biri-biri putih yang seekor, pasti dibaham serigala kelaparan yang tidak pernah cukup makan. Sebaliknya, jika bebiri itu hidup dalam satu kawanan yang kukuh ukhuwahnya, nescaya serigala tiada lagi memberanikan diri untuk menerkam, mengigit dan makan tanpa baca doa makan. Malah, mungkin sahaja serigala itu akan teringin untuk jadi bebiri putih dan akhirnya turut menyertai kawanan bebiri tersebut. Eh, itu amat mencurigakan?

Seragam.
Seragamkan semua percaturan seperti yang telah dirancang. Jangan ada yang berlainan cara kerjanya, karena kita punya fikrah yang sama. Kita berjuang hanya untuk agama Allah. Kita berjuang hanya untuk mendakap redha Allah. Kita berjuang bukan atas urusan peribadi. Kita berjuang segalanya kerana Allah. Nawaitu setiap komrad perlu seragam. Pabila keseragaman jelas tercapai, jalan menuju sinar kejayaan pasti akan menyinar dengan gemilang. Ini pasti!

Tapi ingatlah, jalan ini penuh dengan onak duri ranjau beribu batu. Salah niat, pasti terundur kembali ke belakang. Oleh itu, seragamkan niat, kerana tujuan kita satu. Ayuh. Mari menuju seraya mengecap kejayaan yang telah dijanjikan. Ayuh. Jangan pula kita terlepas. Kerana peluang hanya mengetuk-ngetuk muka pintu sekali sahaja dan tidak pula berkali-kali. Mungkin sahaja peluang itu akan lesap jika dibiarkan tanpa genggam. Jadi, kembali seragamkan niat.

Sentiasa Amal.
Sentiasa amal apa yang dipelajari, jangan tahu cakap sahaja. Sesungguhnya Allah melihat pada amal, bukan pada berjaya atau gagal. Semoga segala usaha sisih, sapu, susun, seragam dan sentiasa amal kita diredhaiNya. Amiin. :)

p/s: Keep heart clean. Buat tanda aman.