Pages

Followers

Sunday, April 15

Abang Si Pengemop Lantai

Bismillahi Arrahman Arrahim
Hari itu sungguh terik. Panas seakan tak kenal erti simpati. Peluhku tidak henti-henti membasahi baju Nike bundle yang baru ku beli. ‘Oh, panasnya!’ teriak aku, bergema hanya dalam hati. Tak mampu aku menjerit kerana tekak terasa kering amat perit. Aku meninjau ke seberang jalan. Kelihatan kelibat gerai minuman di situ. Sedikit gembira, tapi melihatkan duit poket yang amat sikit, niat ku terbatal. ‘Ah, lain kali jelah aku minum.’

Matahari semakin galak meningkatkan suhu sekeliling dengan gembira. Sedikit pening, kepala ku pusing. Dengan tidak semena-mena pergerakan aku seperti dikawal pemain boneka halimunan, mengarah jasadku lurus ke gerai minuman tadi. Jalan raya yang tadinya milik pemandu kenderaan, kini milik ku. Pantas sahaja aku melintas tanpa perlu menunggu tiang bermata tiga memancarkan sinar merah.

Tangan ku pula tiba-tiba bergerak, meraba-raba poket bahagian belakang. Aku cuba menghentikannya, tapi tak mampu. Terpaksa jua aku menuruti. Sekeping not berwarna merah terkeluar. Not merah itu kini bertukar milik. Aku dihadiahkan sekeping not hijau, 3 keping not biru dan kepingan-kepingan besi yang tiada ku pasti nilainya. Melihatkan sebotol minuman Pulpy di tangan, aku cuba membukanya. Dan, ‘Ah, leganya tekak aku rasa.’

Sinaran kebahagian jelas memancar-mancar dari setiap sudut ruang roma di muka ku. Aku ternyata berpuas hati. Minum lagi. Dan lagi dan lagi. ‘Eh, dah habis?’ aku terkesima berseorangan. Botol itu ku buang lurus ke dalan tong sampah kitar semula. Mencari teduhan, aku lekas duduk di bangku yang berdekatan. Tekak kembali berasa kering. Aku mengosok-gosok lembut tekak ku merayu agar bertahan sedikit lagi.

Aku mengeluarkan dompet ku dan menilai isi di dalamnya. ‘Alamak. Duit dah nak habis lah.’ Runsing. Wang hampir ketandusan. Tekanan kewangan betul-betul menguji tahap kewarasan ku ketika itu. Kalau aku tidak beragama, pasti saja aku sudah mengusha mak cik yang berbeg tangan Labucci. Lalu, memanaskan badan untuk meragut begnya. Alhamdulillah. Aku dilahirkan sebagai seorang muslim. :)

Oh, ya. Terlupa aku nak cerita. Sebenarnya, aku sedang menunggu seorang sahabat ku yang dari tadi sibuk membeli-belah. Jangan risau. Aku tak keluar dengan sahabat yang berlainan jantina ya. Mungkin belum tiba masanya lagi. Wahaha. Kebosanan menunggu, aku lantas merayau-rayau sekeliling bandar. Dan kini aku sedang terdesak untuk segera tiba ke kolej. “Woi, cepat lah sikit beli barang!” Uhuk.. Uhuk.. Uhuk.. Ergghh.. Sakitnya tekak~

Ketandusan wang membenarkan aku hanya untuk duduk diam-diam di bangku itu. Memerhati sekeliling, baharu aku perasan aku sedang duduk di hadapan premis KFC. ‘Woah! Sedapnya ayam!” Aku terliur. Tapi hanya bauan dan aroma sahaja yang dapat memuaskan nafsu kelaparan tahap ke lapan ku. Sedikit mengeluh tapi tak mengapalah. Aku terus berada di situ menanggung kebosanan yang tidak langsung melampau.

Dalam kesibukan ku memerhati indahnya suasana di dalam KFC, hadir satu jasad membawa baldi dan mop, berjalan gah ke pintu utama premis berkenaan. Dia lalu mengambil sekeping papan (?) bertulis ‘Lantai Licin’ dan meletaknya di situ. Sesudah meregangkan otot, dia terus mencapai batang mop yang dibawa. Matanya seakan bersinar. Dia mencelup mop ke dalam baldi dan pantas sahaja mengemop lantai.

Melihatkan fon telinga yang terpasang di kedua belah telinganya, aku yakin dia sedang mendengar lagu. Gerak-gerinya seperti seorang penari yang sedang asyik menghiburkan penonton dan menambat hati juri di atas pentas tarian. Berpusing-pusing. Moon walk. Dan kedengaran suara kecil menyanyi. Selang beberapa minit kemudian, selesai. Tugasnya sudah selesai. Lantai itu ternyata kelihatan amat lah bersinar. Dia tersenyum sedikit bangga. Dan entah kenapa, aku pun turut berbangga.

Namun, kegembiraan itu tidah bertahan lama. Tiba-tiba sahaja, wajah nya berubah masam. Jelas, dia amat geram. Beberapa remaja belasan tahun melalui lantai yang baru di mop. Disebabkan lantai belum seratus peratus kering, ia kembali menjadi kotor. Tekanan memainkan peranannya. Wajah abang pengemop lantai bertukar agresif. Dia mencapai mop dan mengemop kawasan itu kembali. Aku kagum.

Kemudian, lalu lagi beberapa pelanggan yang kurang budiman. Aku hanya melihat. Abang pengemop lantai sekali lagi melaksanakan tugasnya. Dan lalu lagi pelanggan yang lain. Abang itu tidak berputus asa. Mulut di kunci, tenaga pula di kerah dengan lebih hebat. Gerakan mop bertambah pantas. Sedihnya, masih ada pelanggan yang agaknya kurang mahir menghormati, melalui kawasan tersebut.

Abang pengemop lantai menukar strategi. Tangan kanannya erat memegang batang mop manakala tangan kirinya memegang papan ‘Lantai Licin’. Dia meneruskan usahanya bagi memastikan sinaran lantai itu kembali gemilang. Akhirnya, dia berjaya. Setiap kali ada yang ingin lalu, dia menunjukkan papan tanda itu dan menyuruh mereka keluar atau masuk melalui pintu masuk kedua. Mungkin strateginya, kini berjaya.

Hadir pula satu suara dari belakang. Satu suara yang agak selalu aku dengari. Oh, sahabat ku sudah selesai membeli-belah. Kami pun segera pulang kerana hari telah lewat petang. Aku sempat menoleh ke belakang. Abang pengemop lantai itu masih mengemop. Mungkin masih ada kelompok manusia yang tanpa segan-silu melalui kawasan tersebut. Aku tersenyum melihat kesungguhannya, ‘Semoga kau berjaya, saudaraku.’

~ Sebuah analogi yang dikarang semula hasil perkongsian cerita seorang akh. Lantai itu ibarat hati. Setiap kali dibersihkan, pasti ada anasir-anasir yang mengotori. Tidak pula kita harus berputus asa kerana hati itu seharusnya terjaga. Rancanglah strategi mu agar hati itu sentiasa kembali memberikan sinaran nya yang gemilang terang. Sekian.

No comments:

Post a Comment