Pages

Followers

Saturday, April 14

Kaching! Kaching!

Bismilillah Arrahman Arrahim

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.

Bila berbicara tentang harta, pasti semua ingat dunia. Materialistik, dan individualistik jadi pegangan. Erat tangan mu tak mahu lepaskan. Hoi, ingat harta itu bukan milik Tuhan? Kau hanya pinjam, guna tak mahu ucap kesyukuran. Belanja, belanja dan belanja hingga hati masuk syaitan. Lupa cerita akhirat, dunia kau tukar jadi kiblat. Cubalah kau guna untuk jalan kebaikan. Pasti dapat semula lebih dari yang kau belanjakan.

Harta itu sering dibazirkan. Tanpa perlu ada rasa jemu, nafsu itu terus-menerus mengasak jiwa-jiwa manusia untuk menghabiskan harta mereka tanpa perlu ada fakta yang jelas. Bazirkan, bazirkan, bazirkan. Terus jangan berhenti. Hingga akhir nanti tiada apa lagi untuk kau belanjakan. Di saat itu pasti sang akal ligat menghasilkan rotasi, mengerah setiap inci kudrat untuk menjana manifestasi yang baru. “Ah, bagaimana perlu lagi untuk aku mengumpul harta untuk dibelanja?”

Dan masa akan terus beredar dan berlalu tanpa mengenal erti tunggu. Harta yang kau peroleh dari harta itu akhirnya bertukar menjadi longgokan sampah yang tiada lagi digunakan, tiada lagi dibanggakan dan tiada lagi menjadi bahan tunjukkan. Ketika itu, pasti timbul bisikan terngiang-ngiang menyeru, “Apa lagi yang ditunggu? Pergi lah beli yang baru.” Hati menjadi punca jasad melaksana tuntutan nafsu durjana. Beli, beli dan beli. Mungkin akan tiba satu ketika nanti pabila dikau tertanya, “Mutlakkah harta ini milik ku?”

Jawapannya, “Tidak!”

Harta itu milik takdir tika kita masih hidup. Mungkin berlaku inflasi. Mungkin berlaku tragedi. Mungkin berlaku judi. Takdir itu amat misteri. Tiada lagi yang mampu merungkai, mengorek rahsia takdir Ilahi. Apa yang dirancang tak semestinya akan berjaya. Kerana Allah jualah sebaik-baik perancang. Jadi, harta itu bukan mutlak milik kita kerana ia samada lesap atau bertambah dalam kadar sekelip mata.

Harta itu milik pewaris tika tiba saat kematian. Pasti berlaku pembahagian atau berlaku perbalahan. Harta tinggalan menjadi rebutan. Jika tak dapat, nyawa dipertaruhkan. Kerana harta itu dipandang tinggi nilainya berbanding nyawa yang tiada harga. Tapi tidak kisahlah. Mana pula bahagian kita? Kita yang menternak harta, mereka pula sibuk bermandi peluh merebutnya. Apa boleh buat? Harta itu belum lagi mutlak milik kita.

Harta itu hanya jadi milik mutlak kita pabila dibelanjakan di jalan yang haq. Di saat harta itu terbelanja dengan nawaitu yang satu; membantu yang memerlu tanpa mengharapkan balasan yang beribu. Di saat harta itu disucikan dengan zakat, rahmat bakal menyinar penuh berkat. Di saat harta itu tidak dilangsungkan pada yang tidak perlu, akan kecewalah sang nafsu. Ketika itulah harta menjadi hak mutlak (!)

Harta yang terbelanja dengan benar akan menjadi harta mutlak kita untuk dibelanja walau di mana kita berada. Baik ketika hidup atau ketika mati.

Ia menjadi harta yang menghiasai. Sebagai perhiasan budi pekerti yang luhur lagi murni. Memberi cahaya kepada wajah dan mengukuh iman di hati. Sebarang kecelakaan pasti dapat dihindarkan, pabila menjadi hambaNya yang sungguh mensyukuri. Tiada yang dapat meragut keberkatan, mencuri kebahagiaan, mewarisi keimanan, merompak ketaqwaan, memonopoli keredhaan kerana itu semua urusan Ilahi. Asalkan niat ikhlas bertakhta di hati.

Ia menjadi bekalan ketika tiba saat perhitunggan. Maka beratlah timbangan amal kebajikan. Jangan kau lupa di akhir sana ada neraca keadilan, Al-Mizan. Setelah harta itu dicukupkan, nikmat syurga yang terbentang luas pastikan jadi ganjaran buat jiwa-jiwa hamba yang beriman. Pinta apa sahaja pasti kau dapat, kerana syurga itu milik Allah Yang Maha Hebat. Ayuh, tiada rugi dalam perbelanjaan di atas jalan kebenaran kerana kau sedang berurus niaga dengan Tuhan.

Sekian. :D

No comments:

Post a Comment