Ahmed Kassim bin Mansur merupakan pelajar baharu di sebuah kolej persediaan yang terletak di Daerah Hulu Sangat. Dia merupakan pelajar yang amat cemerlang, hebat, kacak, kool dan beriman. Dia menjadi tumpuan ramai pihak, baik pelajar mahupun guru-guru.
Nak dijadikan cerita, setelah 3 bulan berpenat lelah mengharungi kehidupan kolej yang langsung tak mudah. Cuti tengah penggal pun hampir tiba. Er. Lupa saya nak kata, kampung halaman Ahmed Kassim bin Mansur terletak di Negeri Indah Sungguh.
Dia menelefon papa dan mamanya untuk memaklumkan akan keberangkatan pulangnya ke rumah. Seperti yang disangka-sangka, kedua papa dan mamanya tidak mungkin berpeluang untuk mengambilnya ekoran masalah kegawatan ekonomi rumah tangga.
Walaupun tadi saya kata dia ni pandai, hensem dan sebagainya, rupa-rupanya dia ni seorang anak yang sangat manja. (Hm. Apa boleh buat? Manusia memang tidak sempurna.) Tahapan berdikarinya agak rendah.
Dia konpius tentang bagaimana mahu pulang ke rumah. Dia buntu dalam kebingungannya sendiri. Alhamdulillah. Tanpa disedari, masalah Ahmed Kassim mendapat perhatian rakan-rakannya. Mereka pun tiba-tibalah datang membantu.
Rakan yang pertama bernama Tuan Ismail bin Tuan Deraman. Dia mengajak Ahmed Kassim untuk pulang bersamanya menaiki tren keretapi. Dia amat yakin, jiwa Ahmed Kassim adalah sebati dengan atmosfera kenderaan beribu roda ini.
Namun begitu, Ahmed Kassim tidak terus memberikan jawapan.
Datang pula Ikram Haafiz bin Jaffar Onn, rakan kedua. Dia pula mencadangkan agar Ahmed Kassim pulang menaiki kapal terbang. Dia amat yakin dengan kepantasan kenderaan udara tersebut, Ahmed Kassim akan lebih seronok untuk pulang ke kampung halamannya.
Sekali lagi, Ahmed Kassim tidak memberi sebarang kata putus.
Pasli Ahmad Jufari bin Mukhriz al-Falak kemudiannya datang menyusul. Sambil menunjukkan kunci kereta Papakupulangdarikota nya, dia mempelawa Ahmed Kassim untuk pulang sekali dengannya stret ke Negeri Indah Sungguh.
Dan lagi sekali, Ahmed Kassim hanya terdiam.
Dia sibuk betul memikirkan baik buruknya ajakan dan pelawaan rakan-rakannya tadi. Dia mencongak, tambah tolak, darab bahagi sambil makan kismis. Dalam pada itu, ketiga-tiga rakannya tadi asyik sahaja datang meyakinkan Ahmed Kassim untuk mengikut mereka. Mereka juga tumpang sekaki makan kismis. Er.
Tidak dinafikan, kesemua mereka menuju ke satu tempat yang sama iaitu Negeri Indah Sungguh. Walaubagaimanapun, transportasi yang mereka gunakan adalah lain sama sekali. Masing-masing mahu mempromosikan kenderaan masing-masing.
Dalam hal ini, mereka bertiga wajib berlapang dada akan keputusan mutakhir Ahmed Kassim. Mereka tidak boleh bergaduh dan saling bercakaran. Jika ini berlaku, sudah tentu Ahmed Kassim akan melupakan begitu sahaja akan ajakan mereka.
Hm. Saya sendiri pun tidak boleh beritahu yang mana pilihan yang paling gembira. Nak kata itu baik, yang ini baik juga. Saya pun akan pening jika saya jadi Ahmed Kassim. Mujurnya, saya hanyalah si tukang cerita. Hihi.
Bila saya fikir semula, tiada salah pun kalau ada tiga mahupun berjuta kenderaan yang berbeza, asalkan semuanya mampu membawa Ahmed Kassim pulang ke rumahnya. Dan juga, setiap masing-masing pula wajib tidak menjatuhkan antara satu sama lain.
Er. Disebabkan saya sudah mengantuk dan mahu tidur kerana esok ada kelas, Ahmed Kassim masih belum sempat untuk menyatakan keputusan. Lama betul dia berfikir. Saya pula yang tiba-tiba tension. Wahaha.
Tapi selagi Ahmed Kassim tak buat pilihan, saya juga mungkin akan turut mempelawanya pulang bersama saya. Kalau dia sudah buat pilihan, tak apalah. Saya berdoa agar dapat berjumpa dengannya di Negeri Indah Sungguh di suatu hari nanti. Amiin.
Okey. Saya tidur dahulu. Zzz.
(p/s: Harap dapat mimpi tren keretapi, kapal terbang dan kerete Papakupulangdarikota bergabung menjadi Megazord.)