Pages

Followers

Tuesday, June 12

Kita Hidup Bukan Seorang.

Hidup Saling Bergantung
Manusia adalah makhluk yang amat spesel. Manusia hidup di dunia dengan saling bergantung antara satu sama lain. Dengan erti kata lain, manusia dicipta untuk saling tolong-menolong. Bagaikan binaan yang menyokong antara satu sama lain agar sentiasa kukuh tidak roboh.

Dan sesungguhnya sebaik-baik tempat bergantung adalah kepada Allah SWT sahaja. Walaubagaimanapun, sesetengah dari manusia mudah berasa cukup. Berasa cukup dengan hidup seorang tanpa perlu bermasyarakat, tanpa perlu berhubung, tanpa perlu bersilaturahim.  

Ketiadaan rasa untuk bergantung kepada manusia yang lain adalah satu sifat mazmumah yang wajib dihindari. Pabila diri terasa cukup, akan lahir rasa gah dan bangga diri. Orang lain yang lebih lemah terasa hina dan dipandang rendah.

Sedarlah, kita hanyalah manusia; makhluk yang hina dan lemah. Tercipta dari mani dan diangkat darjatnya dengan ugama Islam. Kalau difikirkan kembali, kita memang banyak bergantung antara satu sama lain. Cuma kita sahaja yang pura-pura tidak mahu sedar. Hadoi!

Andai tiada tukang paip, siapa yang nak baiki paip yang bocor di dapur? Andai tiada penghantar surat, siapa yang nak uruskan perihal surat-menyurat? Andai tiada nelayan, siapa yang nak supply makanan laut untuk kita makan?

Rasulullah SAW sendiri pun mempunyai para sahabat yang sentiasa teguh menyokong baginda dalam misi menyebar risalah suci. Rasulullah SAW merupakan kekasih Allah SWT, insan teragung sepanjang zaman. Siapa pula kita untuk tidak bergantungan dengan orang lain?

Dalam kembara mengenal erti perhambaan, kita semua wajib bersatu hati memikul beban dakwah ini. Tak boleh seorang-seorang. Kita hendaklah berpegang pada jemaah dan jangan bersendiri kerana syaitan yang direjam suka orang yang duduk seorang.

Perbezaan Itu Satu Rahmat
Setiap manusia tercipta dengan kelemahan dan kelebihan mereka yang ternyata tersendiri. Jarang benar, kita jumpa dua manusia yang berkongsi segala mak datuk ciri-ciri yang sama. Baik dari segi zahirnya atau batinnya. Jarang sekali!

Bahkan, pelanduk dua serupa juga tak mungkin serupa keseluruhannya. Mengetahui perkara ini, kita wajarlah melengkapi satu sama lain dengan erti kata; mana yang terkurang, kita top-up kan. Mana yang terlebih, kita kongsikan.

Segala ilmu yang ada, kita kongsi walau seciput cuma. Kerana setiap manusia itu hebat dalam bidangnya yang tersendiri. Jika kita lihat ikan itu bodoh kerana tak mahir panjat pokok, selama-lamanya ikan itu rasa terhina akan diri sendiri. Er. Faham?

Manusia dicipta berkaum-kaum agar saling berkenalan dan belajar antara satu sama lain. Tidak kisahlah kulit warna apa, sokong parti mana atau dah kahwin ke belum. Kita semua adalah sama. Cuma yang membezakan adalah ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Nilai Manusia Ada Pada Masyarakat Sekeliling
Manusia hanya ada erti nilainya bila manusia itu hidup bermasyarakat. Hidup secara berkelompok dalam satu kumpulan manusia. Bayangkan jika manusia hidup dalam kelompok monyet. Haish. Entahlah. Bagaimana mungkin manusia dapat bermasyarakat bersama monyet?

Apa yang kita cakap pun mereka tidak faham. Tabiat manusia dan monyet pun berbeza. Agak-agaklah kan, wujudkah ketamadunan jika manusia sibuk hidup bersendiri? Wujudkah erti kemanusiaan jika manusia hidup dalam kelompok monyet dan bukan kelompok manusia?

Pernah tonton cerita Jungle Book, kisah seorang budak yang hidup bersama kelompok binatang. Pernah tengok cerita Tarzan, pujangga yang dipelihara sekumpulan gorilla. Kehidupan mereka kosong. Namun, masyarakat manusialah yang mengisi kekosongan itu dengan erti kehidupan.

Nilai manusia benar-benar bergantung pada masyarakat. Jika buruk masyarakat, tanpa segan silu tersipu malu, individu dalam kumpulan masyarakat tersebut juga akan di cap sebagai orang yang teruk. Mudah betul mengstereotaipkan orang, kan?

Kita Perlu Rasa Bersama
Hm. Dari individu muslim akan terbitlah baitul muslim, yang seterusnya membentuk masyarakat muslim yang ternyata ideal. Disebabkan itu, kita wajib hidup berganding bahu, sama-sama mengembleng tenaga menuju matlamat terulung.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2, maksudnya, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan bertaqwa.”

Sudah jelas tak perlu lagi bersuluh. Kita memang saling memerlukan antara satu sama lain. Bukan sahaja ketika kita hidup, bahkan, selepas kita mati sekalipun. Kalau kita tidak mahu bermasyarakat, siapa yang nak mandikan jenazah kita? Siapa yang nak kafankan kita, tanamkan kita? Siapa?

Tak akanlah kita nak buat semua sendiri kan. Pabila kita sedar akan keperluan dan kepentingan bermasyarakat, akan timbullah rasa toleransi yang unggul. Ikatan persaudaraan yang erat akan pasti terjalin antara jiwa-jiwa muslim.

Tidak kira kita berada di mana, kita hendaklah saling berhubung. Janganlah rasa rugi hendak meluangkan sedikit masa bersama para ikhwah. Jangan juga rasa lokek untuk membelanjakan harta kita. Janganlah rasa aneh untuk berSMS mesra riang gembira dengan para ikhwah sejantina.

Kita betul-betul saling memerlukan! Kita lemah pabila berseorang dan hebat bila bersama bukanlah suatu yang harus dipersendakan. Hanzalah, seorang sahabat, juga rasa lemah semangatnya pabila tidak bersama Rasulullah SAW.

Oleh sebab itu, mari menyeru sesama kita walau berjauhan beribu kilometer. Kita bukan nak masuk syurga seorang-seorang, kan? Syurga itu ternyata amatlah luas untuk menempatkan seramai mana pun manusia yang beriman kepada Allah SWT.

Konklusi pendek
Tidak bergantung itu hanya layak untuk Allah SWT. Allah SWT sahajalah yang paling layak untuk berasa cukup. Allah SWT tidak akan pernah sekali pun perlu berharap kepada mana-mana makhluk ciptaanNya. Allah Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Besar.

Jika kita tidak solat pun, Allah SWT tetap berkuasa. Jika kita tidak mahu berusaha pun, Allah SWT tidak rugi apa-apa. Sebaliknya, kitalah yang ternyata amat rugi sekali. Allah itu Maha Hebat, Maha Kaya.

Bukan pula seperti dewa-dewa karut dalam cerita.. Er.. Em.. Cerita Clash of the Titans. Bila tiada yang mahu worship dewa-dewa, dewa-dewa akan hilang kuasa. Oh, lemahnya! Sebaliknya, Allah SWT akan kekal Tuhan Maha Kaya, Maha Pemurah lagi Maha Pengasih tak kira apa pun yang dilakukan oleh makhlukNya.

Jadi, rasalah beruntung kerana kita telah terpilih hidup bertuhankan Allah SWT. Jangan sekali-kali persiakan peluang ini. Mari bersama-sama kita melangkah gagah tersusun, mencapai mardhatillah. Insha’Allah.

Wallahu’alam. Sekian.

(p/s: Rindu betul kepada ikhwah yang tercenta. Sob. Sob. )

No comments:

Post a Comment